Al-Quran adalah mukjizat Allah (s.w.t.) kepada kita. Ia mengandungi pelbagai peringatan dan nasihat secara terus daripada Allah (s.w.t.) dan disampaikan melalui Rasulullah (s.a.w.). Dan beberapa peringatan yang sama kerapa diulangi menandakan bahawa ia adalah sangat penting untuk kita ketahui, fahami dan bertindak.
Antara peringatan yang Allah (s.w.t.) kerap ulangi adalah kisah ketika Allah (s.w.t.) mencipta Nabi Adam (a.s.) dan bagaimana ketika itu Iblis ingkar dengan arahan Allah (s.w.t.).
Dek kekufuran Iblis, dia berjanji dan komited untuk terus menyesatkan Nabi Adam (a.s.) dan keturunannya (manusia). Maka, jika kita benar-benar memahami kisah ini, kita perlu memastikan bahawa diri kita benar-benar beriman dan bertakwa kerana hanya sedikit sahaja yang tidak mampu ditewaskan oleh Iblis dan tenteranya ; dan mereka adalah orang-orang yang beriman dan bertakwa.
Kebanyakan daripada kita pasti berjaya dikalahkan dengan bisikan dan tipu daya Iblis yang licik.
Menurut Al-Quran, mereka yang berjaya adalah sangat sedikit, dan mereka yang tewas adalah sangat banyak. Sungguh menakutkan apabila neraka Jahanam lah balasan bagi mereka yang tidak berjaya. Dan mereka kekal di dalamnya, selama-lamanya.
Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh dalam usaha menjadi hamba Allah (s.w.t.) yang beriman dan bertakwa. Berdoa lah selalu kepada Allah (s.w.t.) agar kita tergolong dalam golongan yang sangat sedikit itu.
Kita mahukan syurga, bukan?
(70) (Ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia, Adam dari tanah; (71) Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan-Ku) maka hendaklah kamu sujud kepadanya. (72) (Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali. (73) Melainkan Iblis; dia berlaku sombong takbur (mengingkarinya) serta menjadilah dia dari golongan yang kafir. (74) Allah berfirman: Hai iblis! Apa yang menghalangmu daripada turut sujud kepada (Adam) yang Aku telah ciptakan dengan kekuasaan-Ku? Adakah engkau berlaku sombong takbur ataupun engkau dari golongan yang tertinggi? (75) Iblis menjawab: Aku lebih baik daripadanya; Engkau (wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah.
(76) Allah berfirman: Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir. (77) Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatku terus menerus hingga ke hari kiamat! (78) Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat). (79) Allah berfirman: Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh; (80) Hingga ke hari masa yang termaklum. (81) Iblis berkata: Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, (82) Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan. (83) Allah berfirman: Maka Akulah Tuhan Yang Sebenar-benarnya dan hanya perkara yang benar Aku firmankan (84) Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi Neraka Jahanam dengan jenismu dan dengan orang-orang yang menurutmu di antara zuriat-zuriat Adam (yang derhaka) semuanya. (85)
~Surah Sad
(10) Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam, lalu mereka sujud melainkan Iblis, dia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud. (11) Allah berfirman: Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu? Iblis menjawab: Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah. (12) Allah berfirman: Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina.
(13) Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat). (14) Allah berfirman: Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu). (15) Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus; (16) Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur. (17) Allah berfirman: Keluarlah engkau dari Syurga sebagai makhluk yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi Neraka Jahanam dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya. (18)
~Surah Al-A'Raf
(60) Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; maka mereka sujudlah melainkan iblis; dia berkata: Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)? (61) Dia berkata lagi: Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya). (62) Allah berfirman (kepada iblis): Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya Neraka Jahanamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup.
(63) Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka dan turut campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka) dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu). Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata. (64) Sesungguhnya hamba-hamba-Ku (yang beriman dengan ikhlas), tiadalah engkau (hai iblis) mempunyai sebarang kuasa terhadap mereka (untuk menyesatkannya); cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pelindung (bagi mereka). (65)
~Surah Al-Isra'
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. (28) Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan-Ku) maka hendaklah kamu sujud kepadanya. (29) (Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali, (30) Melainkan Iblis; dia enggan turut bersama mereka yang sujud. (31) Allah berfirman: Hai Iblis! Apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?. (32) Iblis menjawab: Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.
(33) Allah berfirman: Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir. (34) Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus-menerus hingga ke hari kiamat. (35) Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangitkan (hari kiamat). (36) Allah berfirman: Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh. (37) Hingga ke hari (masa) yang termaklum.
(38) Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, (39) Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik. (40) Allah berfirman: Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya. (41) Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri). (42) Dan sesungguhnya Neraka Jahanam itu, tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka (yang menurutmu). (43)
~Surah Al-Hijr
No comments:
Post a Comment