Pages

Sunday, December 12, 2010

Kisah penari bogel tua




LEBIH tiga dekad lalu ketika umurnya baru 16 tahun, dia ialah penari bogel paling popular di ibu negara yang sangat digilai lelaki berhidung belang.
Pun begitu, pekerjaannya itu sebenarnya berpunca daripada perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang menganiaya dan mengeksploitasi dirinya demi wang dan nafsu serakah.
Namun, ketika umurnya kini sudah di ambang senja, Mak Uda (bukan nama sebenar), 54, menganggap dirinya ibarat sisa buangan yang tidak lagi diingini oleh mereka yang pernah mendambakan tubuhnya.
Justeru, dia sentiasa menguatkan hati dan tidak kisah jika hidupnya kini dicemuh segelintir masyarakat yang tidak pernah cuba memahami keperitan hidup yang dilaluinya.
Mengimbas punca dia terjebak ke kancah maksiat, Mak Uda memberitahu, segala-galanya bermula selepas dia melarikan diri dari rumah di Terengganu kerana tidak tahan didera ibu kandungnya sendiri.
“Saya tidak dibenarkan ke sekolah dan dipaksa melakukan macam-macam kerja tetapi semua wang upah saya bekerja diambil ibu.
“Selepas bekerja, kaki pula dirantai. Saya juga selalu dipukul oleh ibu dan ayah tanpa sebab.
Dirantai
“Mak saya pasang rantai besi di kaki supaya saya tidak dapat bergerak jauh dari kawasan rumah. Saya tidak tahu kenapa emak dan ayah sangat benci kepada saya.
“Tetapi suatu hari, rantai itu yang sudah berkarat dapat saya putuskan, jadi saya terus melarikan diri.
“Selepas keluar dari kampung, seorang lelaki tidak dikenali datang menegur semasa saya duduk di tepi jalan dan membawa saya pergi bersamanya menaiki kereta,” kata anak kedua daripada empat beradik itu.
Tambah Mak Uda, sejak itu hidupnya berubah 360 darjah. Lelaki tersebut membawanya ke sebuah bangunan usang di Klang, Selangor dan Mak Uda dirogol bergilir-gilir oleh beberapa lelaki. Dia juga didera secara seksual.
“Selepas itu saya diserahkan (dijual) kepada sebuah kelab bogel di Kuala Lumpur. Saya menjadi penari bogel mengikut rentak cha-cha serta dipaksa melacur selama beberapa bulan.
“Apabila polis menyerbu kelab itu, saya ditangkap dan dipenjarakan. Setelah bebas, saya tiada tempat bergantung dan terpaksa melacur sebagai cara untuk menyara hidup.
“Selama beberapa bulan, saya pergi dari satu negeri ke negeri yang lain untuk melacur.
“Saya berpindah-randah kerana tidak mahu ditangkap lagi,” katanya.
Pada usia 21 tahun, Mak Uda menemui seorang lelaki di Pulau Pinang yang kelihatan baik pada matanya. Mak Uda berasa selamat apabila berada di sampingnya. Mereka kemudian berkahwin.
Dia penagih
“Rupa-rupanya dia (bekas suami) penagih dadah dan kami bercerai tanpa anak.
“Hidup saya terdesak semula dan kembali menjadi pelacur sehingga hari ini dengan harga diri semurah RM30 sahaja,” jelasnya. Matanya berkaca menahan air mata apabila mengenangkan nasibnya itu.
Mak Uda merupakan sebahagian daripada kisah wanita pekerja seks di Kuantan, Pahang yang mengikuti program Pusat Singgah Masuk Wanita (PSMW) kendalian Komuniti Pencegahan Dadah (DIC) Pahang bagi membantu golongan tersebut memilih cara hidup sihat.
Menurut Pengurus Program PSMW-DIC Kuantan, Sazura Sarif, seramai 157 wanita pelbagai peringkat umur di sekitar Kuantan yang berisiko dijangkiti virus HIV mengikuti program tersebut termasuk pekerja seks seperti Mak Uda.
“Daripada jumlah itu, seramai 61 orang adalah pasangan kepada penagih dadah jenis suntikan, 57 pekerja seks, 22 wanita berisiko yang bukan pekerja seks, lapan wanita penagih dadah jenis suntikan dan seorang pengguna dadah sintetik.
“Selain itu, seramai 27 orang disahkan sebagai pembawa virus HIV.
“Manakala sembilan anak pekerja seks dan wanita penagih dadah itu dirujuk ke rumah-rumah perlindungan untuk diberikan kemudahan persekolahan,” katanya.
MAK UDA bergelar pelacur setelah melarikan diri dari rumah di Terengganu kerana tidak tahan didera ibu kandungnya sendiri.


Berisiko
Tambah Sazura, pihaknya menyediakan bantuan termasuk makanan berkhasiat, kemahiran asas, rawatan kesihatan oleh pihak perubatan sukarela dan sesi terapi bagi memulihkan semangat golongan tersebut.
“Kami memberi bantuan kepada wanita-wanita ini kerana mahu mereka hidup dengan cara yang lebih sihat.
“Kami tidak memaksa mereka berubah dan jika mereka memilih untuk meninggalkan cara hidup sekarang, kita sangat menggalakkannya.
“Kami juga membantu mereka mencari pekerjaan yang lebih baik jika mereka mahu berubah,” katanya sambil memberitahu program itu menerima bantuan dana daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis AIDS Malaysia.
Sementara itu, Kaunselor PSMW-DIC Kuantan, Wan Norizan Wan Othman berkata, kebanyakan wanita berisiko yang diberi bantuan terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai tempat bergantung.
“Ada juga kes melibatkan perceraian, berisiko atau sudah dijangkiti HIV kerana suami menjadi penagih dadah dan banyak lagi.
“Kita bersikap terbuka dan menerima setiap wanita berisiko seperti itu untuk datang ke pusat ini.
“Masyarakat tidak wajar mencemuh kerana ia tidak membantu, sebaliknya mereka perlu ditolong supaya berubah,” kata beliau semasa ditemui di PSMW-DIC di No.14 Jalan Bukit Ubi berhampiran Jalan Wong Ah Jang, Kuantan.

No comments:

Post a Comment