Pages

Friday, December 17, 2010

Juri arah Putera Jefri bayar RM66.14 juta


THOMAS dan Faith Zaman.


NEW YORK - Adik Sultan Brunei, Putera Jefri Bolkiah kalah kepada satu pasangan peguam suami isteri, Thomas dan Faith Zaman di sebuah mahkamah di sini kelmarin.
Ekoran kekalahan itu, juri memutuskan Jefri perlu membayar AS$21.10 juta (RM66.14 juta) kepada pasangan tersebut.
Bayaran itu meliputi AS$10.1 juta (RM31.66 juta) kepada Thomas dan AS$11 juta (RM34.5 juta) untuk Faith.
Pasangan itu mendakwa Putera Jefri berhutang dengan mereka berjuta-juta dolar dalam bentuk yuran perkhidmatan.
Juri mendapati pasangan itu tidak melakukan sebarang kesalahan dan Putera Jefri berhutang sebanyak AS$10.1 juta kepada mereka dalam bentuk yuran perkhidmatan.
Peguam Faith, Mark Cymrot berkata, pihak juri memberikan award sebagai ganti rugi kepada pelanggannya, AS$11 juta selepas mendapati satu perjanjian pekerjaan dengan putera berkenaan adalah ikhlas dan perlu dihormati.
Putera Jefri sebelum ini mendakwa dalam perbicaraan itu bahawa pasangan peguam tersebut mencuri lebih AS$7 juta (RM21.9 juta) daripadanya menerusi pelbagai bentuk penipuan.
Namun, Thomas dan Faith menyatakan mereka menerima gaji yang rendah selain diberi kebebasan untuk melakukan apa yang perlu dilaksanakan.
Perbicaraan kes tersebut kemudiannya menjadi hangat ekoran pendedahan beberapa patung erotik bekas tunang Putera Jefri, Micha Raine.
Putera Jefri sebelum ini melantik pasangan tersebut untuk membantunya mengelak daripada menyerahkan sebahagian daripada asetnya sebagaimana yang diarahkan oleh kerajaan Brunei yang diperintah oleh abangnya, Sultan Hassanal Bolkiah.
Keputusan juri itu menggembirakan pasangan tersebut.
"Bagi kami, ini adalah justifikasi yang besar buat orang biasa. Kami bukan individu seperti Putera Jefri," kata Faith. Namun, para pegawai di Hotel New York Palace milik Putera Jefri nyata kecewa dengan keputusan itu.
"Kami tetap yakin bahawa berdasarkan kepada bukti yang dikemukakan, hotel ini menjadi mangsa kepada skim penipuan," jelas pihak pengurusan hotel terbabit dalam satu kenyataan.
Pasukan peguam Putera Jefri akan mengemukakan rayuan. Putera Jefri tidak hadir ketika keputusan itu diumumkan. - Agensi

No comments:

Post a Comment