Pages

Sunday, December 5, 2010

Iran janji tidak serang jiran

MANAMA: Iran sama sekali tidak akan menggunakan kekerasan ke atas mana-mana negara jirannya yang beragama Islam, kata Menteri Luarnya, Manouchehr Mottaki, semalam.
Menurut Manouchehr, sejak sekian lama Iran tidak menggunakan kuasa tenteranya ke atas negara jiran kerana menganggap semuanya sebagai saudara seagama.

“Kekuatan anda di rantau ini adalah kekuatan kami, dan kekuatan kami pula bermakna kekuatan anda,” katanya di persidangan Dialog Manama, semalam.

Pemerintah Jordan, Raja Abdullah II menyampaikan ucap utama di majlis itu.

Kata Manouchehr, pelbagai pihak luar kini menekan negara rantau Timur Tengah untuk memecah-belahkan mereka serta mencetuskan suasana tidak stabil.

Katanya, kehadiran tentera asing tidak membantu meningkatkan keselamatan di rantau itu, sebaliknya ia boleh dicapai melalui kerjasama di kalangan negara Teluk.

“Sangat penting bagi Iran mempunyai kestabilan kerana kami dan negara Teluk membekalkan sebahagian besar petroleum kepada dunia.

“Iran tetap komited mahu menjamin keselamatan antarabangsa dalam bidang sumber tenaga,” katanya.

Sementara itu, Abdullah berkata, semua pihak perlu berusaha memastikan rundingan damai di antara Palestin dan Israel tidak gagal.

Katanya, kejayaan itu penting untuk membawa kestabilan di Teluk dan dunia.

“Keselamatan dan kestabilan Jordan tidak akan dicapai kecuali isu konflik Israel dan Palestin diselesaikan.

“Apabila konflik berkenaan diatasi, seluruh dunia Arab, Islam dan Israel akan menikmati keamanan,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment