Pages

Monday, December 6, 2010

IBLIS LAKNATULLAH DIHALAU, JIBRIL A.S. DAN MIKAIL A.S. MENANGIS...



Dalam sebuah kitab karangan Imam al-Ghazali menyebutkan bahawa iblis laknatullah itu sesungguhnya namanya disebut sebagai al-Abid (ahli ibadah) pada langit yang pertama, pada langit yang keduanya disebut az-Zahid. Pada langit ketiga, namanya disebut al-Arif. Pada langit keempat, namanya adalah al-Wali. Pada langit kelima, namanya disebut at-Taqi. Pada langit keenam namanya disebut al-Kazin. Pada langit ketujuh namanya disebut Azazil manakala dalam Luh Mahfudz, namanya ialah iblis.

Dia (iblis) lupa akibat urusannya. Maka Allah SWT telah memerintahkannya sujud kepada Nabi Adam AS. Lalu iblis berkata: "Adakah Engkau mengutamakannya daripada aku, sedangkan aku lebih baik daripadanya. Engkau jadikan aku daripada api dan Engkau jadikan Adam daripada tanah." Lalu Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Aku perbuat apa yang aku kehendaki."

Oleh kerana iblis laknatullah memandang dirinya penuh keagungan, maka dia enggan sujud kepada Nabi Adam AS kerana bangga dan sombong. Dia berdiri tegak sampai saatnya malaikat bersujud dalam waktu yang berlalu. Ketika para malaikat mengangkat kepala mereka, mereka mendapati iblis laknatullah tidak sujud sedang mereka telah selesai sujud. Maka para malaikat bersujud lagi bagi kali kedua kerana bersyukur, tetapi iblis laknatullah tetap angkuh dan enggan sujud. Dia berdiri tegak dan memalingkan wajahnya dari para malaikat yang sedang bersujud. Dia tidak ingin mengikut mereka dan tidak pula dia merasa menyesal atas keengganannya.

Akibat keangkuhan iblis, Allah SWT mengubahkan mukanya yang pada asalnya yang sangat indah cemerlang kepada bentuk sepertibabi hutan. Allah SWT membentukkan kepalanya seperti kepala unta, dadanya seperti daging yang menonjol di atas punggung, wajah yang ada di antara dada dan kepala itu seperti wajah kera, kedua matanya terbelah pada sepanjang permukaan wajahnya. Lubang hidungnya terbuka seperti cerek tukang bekam, kedua bibirnya seperti bibir lembu, taringnya keluar seperti taring babi hutan dan janggut terdapat sebanyak tujuh helai.

Setelah itu, lalu Allah SWT mengusirnya dari syurga, bahkan dari langit, dari bumi dan ke beberapa jazirah. Dia tidak akan masuk ke bumi melainkan dengan cara sembunyi. Allah SWT melaknatnya sehingga ke hari kiamat kerana dia telah kafir. Walaupun iblis laknatullah itu pada sebelumnya sangat indah cemerlang rupanya, mempunyai sayap empat, banyak ilmu, banyak ibadah serta menjadi kebanggaan para malaikat dan pemukanya, tetapi semua itu tidak menjadi jaminan sama sekali baginya.

Ketika Allah SWT membalas tipu daya iblis laknatullah, maka menangislah Jibril AS dan Mikail AS. Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Apakah yang membuat kamu menangis? (Walhal Allah Maha Mengetahui)" Lalu mereka menjawab: "Ya Allah! Kami tidaklah aman dari tipu dayamu." Firman Allah SWT lagi bermaksud: "Begitulah Aku. Jadilah engkau berdua tidak aman dari tipu dayaku."

Setelah diusir, maka iblis laknatullah pun berkata: "Ya Tuhanku, Engkau telah mengusir aku dari Syurga disebabkan Adam, dan aku tidak menguasainya melainkan dengan penguasaanMu." Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Engkau dikuasakan atas dia (yakni atas anak cucunya), sebab para nabi adalah maksum." Berkata lagi iblis laknatullah: "Tambahkanlah lagi untukku." Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Tidak akan dilahirkan seorang anak baginya kecuali tentu dilahirkan untukmu dua padanya." Berkata iblis laknatullah lagi: "Tambahkanlah lagi untukku." Lalu Allah SWT berfirman: "Dada-dada mereka adalah rumahmu, engkau berjalan di sana sejalan dengan peredaran darah."

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment