Pages

Thursday, December 2, 2010

Halizan - anak bakal pulang dari Lombok



02/12/2010 4:52pm

KUALA TERENGGANU - Keluarga Halizan Ibrahim, wanita dari Terengganu yang lari mengikut kekasihnya ke Lombok, Indonesia gembira apabila mendapat khabar yang dia akan pulang ke Malaysia bersama anaknya tidak lama lagi.
Kakak kepada Halizan, Hartini Ibrahim, 39, yang tinggal di Kampung Nibong di sini berkata, beliau baru sahaja berhubung dengan adiknya melalui telefon petang semalam dan Halizan, 38, menyatakan dia akan pulang tidak lama lagi bersama anaknya yang hanya dikenali sebagai Zulfakar yang baru dilahirkan.
"Perkhabaran terbaru ini melegakan keluarga kami. Sebelum ini kami tidak tahu kesudahan apakah dia akan pulang atau sebaliknya," katanya di sini hari ini.
Hartini berkata, semasa perbualan semalam, adiknya menyatakan dia kini sudah tidak ada halangan lagi untuk pulang bersama anaknya.
Ini kerana Halizan sudah mendapat kebenaran daripada kerajaan Indonesia untuk membawa anaknya pulang bersamanya ke Terengganu, katanya.
Beliau berkata, sebelum ini adiknya bukan tidak mahu pulang ke kampung mereka tetapi disebabkan kesukaran untuk membawa pulang anaknya bersama.
"Halizan tidak akan pulang sekira anaknya tidak boleh dibawa bersama ke Terengganu," katanya.
Hartini berkata, keluarganya terutama ibunya sungguh gembira apabila mendengar perkhabaran terbaru itu.
"Jika sudah tinggal di kampung, susah senang kita sama-sama dapat membantunya," katanya.
Halizan bersama anaknya kini berlindung di Rumah Kebajikan Bude Rini setelah ditinggalkan kekasihnya yang dikenali sebagai Asitah yang kini kembali bekerja di Malaysia. - Bernama

No comments:

Post a Comment