Pages

Tuesday, December 21, 2010

Derhaka dalam taat.



Ghurur  bererti tipu daya, yang berasal dari perkataan “Ghaara” (terpedaya). Selain bermaksud tipu daya, “Ghurur” juga diertikan dengan syaitan dan segala yang sia-sia. Orang yang terkena penyakit Ghurur selalunya lupa bahawa disebalik ketaatan yang ditunjukkan secara zahirnya tersembunyi sifat derhaka atau dalam perkataan lain, derhaka dalam taat!

Derhaka dalam taat ialah tidak sedar amalan yang kelihatan pada zahirnya baik, tetapi hakikatnya ia dibenci dan dimurkai Allah, kerana terselit niat dan perasaaan tidak ikhlas, riak, ujub, sombong, mengharapkan ganjaran dunia, pujian, mencari pengaruh, dan lain-lain.

Dua golongan yang dianggap derhaka dalam taat iaitu:

1.Amal yang tidak sempurna
Orang yang mengamalkan syari’at lahir dan batin tetapi kedua-duanya tidak sempurna dan dalam masa yang sama masih terlibat dengan dosa dan maksiat, sama ada maksiat zahir atau batin. Sebagai contoh, melakukan semua perintah fardhu disamping “Fadhilul A’mal” (solat sunat tahajjud, puasa sunat, baca al-Quran dan lain-lain.) dan adakalanya dia pemurah, lemah-lembut tetapi dalam masa yang sama kehidupannya masih lagi terlibat dengan riba’, mendedahkan aurat, bergaul secara bebas, mengumpat, menfitnah, mencerca, sombong, cinta dunia dan lain-lain.
Imam Ghazali pernah berkata: “ Kalau kamu tidak boleh (belum mampu) bangun untuk solat tahajjud malam (amalan sunat), janganlah membuat dosa (haram) di siang hari. Kerana tidak ada gunanya berbakti kepada Allah di malam hari (tahajjud) tetapi derhaka (membuat perkara-perkara haram) di siang hari”.

2. Cuai dengan amalan batin
Golongan ini  banyak mengerjakan amalan-amalan lahir tetapi cuai terhadap amalan-amalan batin. Secara zahirnya dia sempurna, baik, tetapi hatinya penuh dengan hasad dengki, jahat sangka, sombong, bakhil, riak, ujub, cinta dunia, mementingkan diri  selain suka menghina dan memandang rendah kepada orang yang kurang ibadah kerana menyangka dirinya jauh lebih hebat berbanding orang-orang lain hinggakan sentiasa rasa tenang dan senang dengan ibadahnya bahkan yakin akan selamat di akhirat. Ia menyangka dengan amalannya pasti Allah akan memberinya kedudukan yang mulia di dalam syurga. Orang ini dianggap derhaka pada Allah dalam amalan taatnya. Tetapi sebenarnya dia telah menjarakkan diri daripada Allah.

Oleh itu, dalam menilai amalan para ulama’ sepakat menyimpulkan bahawa 'Biar sedikit malan biarpun sekadar yang fardhu sahaja, tetapi di dalam hati tersemat rasa takut kepada Allah (taqwa) daripada banyak amal lahir tetapi tiada rasa taqwa.  Walaupun banyak dan hebat ibadah seseorang, tetapi selagi hatinya tidak zuhud dengan dunia, selama itu ibadahnya tidak bernilai '.

Seseorang manusia yang telah selesai melakukan segala perintah Allah, tetapi dalam masa yang sama, jika hatinya tidak beradab dengan Allah, masih ada riak, ujub, dan lain-lain, belum tentu Allah menerima alamalannya. Firman Allah:
“ Ada pun orang yang enggan dan menyombongkan diri, maka Allah akan menyeksa mereka dengan seksaan yang pedih”. (An-Nisa: 173)

Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya yang amat aku takuti sekali di antara segala perkara yang terjadi di atas kamu adalah syirik kecil”.  Lantas sahabat bertanya: “ Apakah syirik kecil itu?” Baginda s.a.w menjawab,” Riak (beramal dengan tidak ikhlas) kerana menunjuk-nunjuk . Di akhirat kelak iaitu sewaktu setiap manusia melihat amalnya, Allah s.w.t berfirman kepada mereka, “Pergilah kamu semua kepada sesuatu yang kamu niatkan (menunjuk-nunjuk) amalan kamu ketika di dunia. Lihatlah apa yang boleh kamu perolehi balasan dari mereka itu?” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi)
Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w menegaskan; “Allah s.w.t tidak menerima sesuatu amalan yang di dalamnya terselit perasaan riak walaupun sebesar zarah”. (hadis dalam kitab Ihya’ Ulumiddin oleh imam Ghazali)

Memang, mengurus hati itu sesuatu yang sukar. Berdoa dan bermujahadahlah dengan istiqamah agar hati itu sentiasa menjadi ’rumah’ yang mengingati Allah dan kematian. Didiklah hati, dan bernafaslah dengan jiwa seorang hamba. Persiapkan diri untuk melawan segala serangan Ghurur. InsyaAllah. Barakallahufikum.


No comments:

Post a Comment