Pages

Saturday, December 25, 2010

Cincin RM1.3j



Brad Pitt, Angelina Jolie dikatakan akan berkahwin di India, Januari ini 



WALAUPUN tiada khabar pasti mengatakan pasangan popular Brad Pitt dan Angelina Jolie akan melangsungkan perkahwinan selepas kira-kira lima tahun hidup bersama, namun perkembangan terbaru kehidupan kedua-dua bintang popular ini seakan menjurus kepada sebuah majlis yang menyatukan mereka secara sah sebagai suami isteri, tidak lama lagi.Baru-baru ini, aktres tersohor berusia 35 tahun yang muncul bersama filem terbaru, The Tourist, itu dikatakan menghadiahkan sebentuk cincin yang difahamkan tertulis namanya dan anak-anak mereka kepada lelaki yang dicintainya, sempena ulang tahun hari lahir Pitt yang ke-47. Cincin itu dilaporkan bernilai RM1.3 juta!

Lalu, apabila pemberian cincin tanda kasih sudah terlaksana, tentu saja peminat kini boleh mengharapkan berita mengenai perancangan perkahwinan mereka pula menyusul kemudian. Namun, ketika ini, kedua-duanya masih mengunci mulut berhubung perkara berkenaan. Malah tiada laporan rasmi memetik dua pelakon ini menyuarakan apa-apa berkaitan majlis pernikahan. 

Bagaimanapun, menurut beberapa laporan, pasangan yang sentiasa mendapat tempat di hati peminat dan media ini dikatakan bakal mengikuti jejak langkah Liz Hurley, Russell Brand dan Katy Perry, dengan melangsungkan perkahwinan mengikut adat Hindu. 

Menurut Hindustan Times, perkahwinan dua bintang ternama ini akan berlangsung di Jodhpur, Rajasthan, serta mendapat restu sami Hindu yang didakwa pernah menyelamatkan perhubungan mereka menerusi amalan yoga berpasangan. 

Gurudev Ramlalji Siyag, lelaki berusia 83 tahun yang menggambarkan dirinya sebagai seorang daripada wali India yang masih hidup dilaporkan pernah mengajar yoga dan teknik meditasi kepada dua bintang Hollywood berkenaan, ketika dia mengadakan siri jelajahnya di Amerika Syarikat. 
Menurut seorang teman mereka, aktiviti berkenaan berjaya mengendurkan ketegangan akibat kehidupan mereka yang sentiasa sibuk. Maklum saja, pasangan ini selalu terbang ke sana ke mari sama ada untuk menjayakan sesebuah filem atau kerja amal, sambil membesarkan enam anak mereka. 

"Mereka mengamalkan yoga Sidhha yang diajarkan guru terbabit dan kedua-duanya juga memulakan serta mengakhiri hari mereka dengan menyanyikan ayat keramat yang diberikan lelaki itu. Nyata, kaedah berkenaan mengubah corak perhubungan mereka kepada lebih baik. Mereka tidak minum arak sebanyak dulu dan juga tidak lagi bertegang urat," kata sumber berkenaan. 

Pitt dan Jolie kini dikatakan merancang perkahwinan cara Hindu di sebuah lokasi diberi nama Adhyatm Vigyan Satsang Kendra, milik guru terbabit, pada Januari ini. 

Beberapa kakitangannya memberitahu wartawan tempatan, pasangan itu mungkin tiba di bandar berkenaan untuk meraikan tahun baru dan kemudian menjalani acara pernikahan. Jika diikutkan kalendar Hindu, Pitt dan Jolie mungkin melangsungkan pernikahan pada pertengahan Januari nanti. 

Rajasthan kian mendapat tempat di kalangan selebriti untuk dijadikan lokasi perkahwinan mereka, selepas Liz Hurley melakukannya pada 2007, diikuti pelawak Russell Brand dan isterinya, bintang pop Katie Perry di Ranthambore, Oktober lalu. 

Negeri itu mempunyai banyak istana diraja yang kini dijadikan hotel mewah, di mana privasi golongan selebriti dapat dijaga sebaiknya. 

Apa saja cerita yang dilaporkan, wakil kedua-dua bintang berkenaan nyata enggan mengeluarkan sebarang ulasan. 

No comments:

Post a Comment