Pages

Saturday, December 25, 2010

Assange ramal kena bunuh di AS



Julian Assange

Pengasas WikiLeaks diugut sejak siar kabel diplomatik 

LONDON: Pengasas WikiLeaks, Julian Assange percaya ada 'kemungkinan besar' dia akan dibunuh dalam penjara Amerika Syarikat jika diekstradisi dari Britain atas tuduhan mengintip.Warga Australia itu yang berada di Britain dengan ikat jamin, berusaha menghalang Sweden daripada mengekstradisinya berhubung dakwaan penderaan seks, tetapi Washington dipercayai sedang menimbang bagaimana untuk mengenakan tindakan ke atasnya berikutan pembocoran kabel diplomatik AS.

Assange, 39, memberitahu akhbar The Guardian, adalah ‘mustahil dari segi politik’ untuk Britain menyerahkannya kepada AS kerana kerajaan Perdana Menteri, David Cameron tidak mahu menunjukkan ia mengikut telunjuk Washington. 

“Dari segi undang-undang, United Kingdom berhak tidak mengekstradisi sesiapa kerana jenayah politik. Mengintip adalah satu contoh jenayah politik,” katanya. 
AS juga sedang berusaha berpakat dengan Bradley Manning, askar AS yang disyaki menyalurkan maklumat kepada WikiLeaks. 

Assange menambah, jika AS berjaya mengekstradisinya, kemungkinan besar dia akan dibunuh seperti yang dilakukan ke atas Jack Ruby ketika dalam tahanan AS. 
Ruby, pemilik kelab malam, ditembak Lee Harvey Oswald di balai polis Dallas, Texas beberapa hari selepas Oswald ditahan kerana membunuh Presiden John F Kennedy pada 1963. 
Assange sebelum ini menyatakan dia dan kakitangan WikiLeaks menerima ugutan bunuh sejak laman web berkenaan mula mendedahkan sebahagian daripada 250,000 kabel rahsia Jabatan Negara AS, November lalu. 

Sejak dibebaskan dari penjara minggu lalu, Assange, menumpang di rumah agam rakannya di timur England dengan jaminan ketat dia perlu melaporkan diri kepada polis setiap hari dan memakai alat pengesan elektronik. 

Mahkamah di London dijadualkan mengadakan perbicaraan penuh ekstradisinya ke Sweden mulai 7 Februari depan. 

Sementara itu, di DUBAI, Ketua Polis Dubai berkata WikiLeaks akan mengesahkan tuduhannya bahawa perkhidmatan perisikan Israel, Mossad, bertanggungjawab atas pembunuhan seorang komander Hamas yang sedang melawat negara berkenaan 20 Januari lalu. 

“Dokumen yang dibocorkan itu membuktikan kebenaran mengenai pembabitan Mossad, tetapi akan ada orang yang akan menafikannya walaupun ada dokumen yang dibocorkan,” kata Dahi Khalfan kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris di sini, Gulf News. – AFP

No comments:

Post a Comment