Pages
▼
Tuesday, December 7, 2010
Antara 'tahu dan hafal', dan 'tahu dan faham'.
Oleh: Yussamir Yusof - Negeri Sembilan
“Antara ‘tahu dan hafal’ dan ‘tahu dan faham’, mana yang lebih utama?” Ini adalah antara soalan yang ditanyakan kepada saya semasa di Masjidil Haram. Seorang lelaki tua, berjubah putih dan berserban putih,
Semasa saya berada di Makkah, saya sempat mengikuti kuliah Syeikh Abdul Kadir al-Mandili di Masjidil Haram secara Talaqi. Antara kuliah beliau yang masih saya ingati ialah cerita beliau tentang beza jamaah haji yang ‘tahu dan hafal’ dan ‘tahu dan faham’. Salah seorang yang mengikuti kuliah tersebut bertanya, “Apa beza ‘tahu dan hafal’ dan ‘tahu dan faham’?”
Apa yang menariknya, penjelasan beliau tentang hal ini dijelaskan berdasarkan contoh yang sangat melucukan. Kata beliau, “ada sekumpulan jamaah haji sedang melakukan sai’e antara Saffa dan Marwah. Kumpulan ini diketuai seorang Mutawif dan Mutawif ini biasanya dikalangan mereka yang asalnya dari sini atau dari sekitar tanah Arab. Mereka memakai pakaian seperti saya ini (berjubah putih, berserban putih ataupun berserban merah), dan pastilah kumpulan jamaah haji ini beranggapan bahawa Mutawif ini seorang yang alim berdasarkan penampilan beliau. Untuk memendekkan cerita, ketika sampai di salah satu pintu semasa sai’e, Mutawif ini tergelincir dan dia terjatuh sambil tangannya menyapu salah satu pintu di situ. Yang melucukan semua orang di kumpulan itu, buat-buat jatuh dan menyapu tangan mereka di pintu tersebut. Mutawif itu kehairanan dan beliau bertanyakan kepada sebahagian orang dikumpulan itu, dan mereka menjawab, “kami fikir, itu antara cara bersai’e.”
Semua orang didalam kuliah itu ketawa dan ada juga yang kehairanan dengan kejahilan jamaah haji tersebut. Begitulah analoginya seorang pelajar atau penuntut ilmu yang tahu dan hafal ilmunya tanpa memahami, dengan seorang pelajar yang tahu dan memahami ilmu yang dia pelajarinya. Orang yang tahu dan hafal, mereka tidak akan ada usaha untuk menyelidik dan mengetahui lebih lanjut tentang ilmu yang dia pelajari, sama ada ilmu itu dilandasan yang benar atau tidak. Orang sebegini akan menjawab atau menyampaika apa sahaja yang dia perolehi seperti apa yang dia dapat didalam buku/kitab. Pemikiran mereka beku, terpenjara dan statik.
Jika sesuatu pandangan ataupun pendapat yang berlainan dengan apa yang mereka hafal, mereka akan menentang dengan sangat keras. Sehinggakan sanggup melabelkan orang-orang yang tidak selari dengan mereka dengan pelbagai label.
Situasi ini sama sahaha dengan orang menghafal Quran dan menjadi al-Hafiz, tetapi tidak mengetahui dan tidak memahami isi kandungan Quran yang dia hafal. Hafalan mereka hanya tersekat dikerongkong mereka, Sehinggakan Nabi s.a.w pernah berpesan dan mengingatkan tentang golongan ini dengan berkata, “Akan muncul satu golongan yang selalu membandingkan solat kamu dengan solat mereka, puasa kamu dengan puasa mereka, amalan kamu dengan amalan mereka sambil membaca al-Quran tetapi bacaan itu langsung tidak melebihi kerongkong mereka. Malah, merekalah yang paling ramai keluar daripada agama seperti anak panah keluar daripada busurnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Tetapi bagi orang yang belajar dan memahami ilmu yang dipelajari, mereka sangat-sangat berguna kepada dirinya dan orang yang berada di sisinya. Orang begini tidak hanya sekadar tahu, tetapi mereka cuba menyelidik, dan mengkaji mengapa, bagaimana dan apakah ilmu yang dia perolehi. Mereka terbuka menerima kepelbagaian pandangan, tidak mudah untuk melabel-labelkan seseorang atau kumpulan yang berbeza dengan pandangan mereka. Mereka akan menilai dan mengkaji kepelbagaian pandangan ini, dan berkongsi dengan orang ramai dengan semudah dan seringkas yang boleh. Apabila ditanya sesuatu masalah, dan masalah itu mempunyai pelbagai jawapan dan pandangan, mereka tidak segan-silu untuk menjelaskan kesemuanya, dan memberikan kebebasan kepada orang yang bertanya itu untuk mengikuti pandangan yang mana sesuai dengan mereka dan sesuai dengan keadaan mereka.
Selagimana pandangan itu kuat berdasarkan Quran dan Hadith, maka selagi itulah kita tidak boleh memenjarakan pemikiran dan membekukan institusi akal yang memerlukan percambahan ilmu dan kepelbagaian perbincangan yang ilmiah. Orang-orang yang memelihara tradisi ilmu ini dan tradisi ulama’ salaf ini, mereka inilah yang dikatakan sebagai Ulul-Albab.
http://www.al-fikrah.net
No comments:
Post a Comment