Sukar untuk menghilangkan rasa kagum tatkala menikmati keindahan candinya yang besar dan masih mampu bertahan sehingga kini meskipun sudah lebih 1,000 tahun ia dibina di Kemboja.
Kagum dan terpegun dengan keindahan dan saiznya yang amat besar, saya memilih untuk menikmati pemandangan yang indah di depan mata. Itulah yang saya rasakan apabila berhadapan dengan salah satu monumen terbesar dan sangat terkenal di dunia iaitu candi purba Angkor Wat, di Kemboja, yang masih bertahan selepas lebih 1,000 tahun ia mula dibina.
Kebetulan pula, cahaya matahari sedang terbenam menambahkan lagi suasana dramatik pada langit yang luas terbentang. Ini bukan kali pertama saya berada di sini. Tahun lalu saya berpeluang mengunjungi tempat yang sangat istimewa dan suci di kalangan rakyat
Kemboja yang menganut agama Buddha ini.
Walaupun mengunjunginya buat kali kedua, perasaan yang sama terbit di dalam hati. Seni bina yang dihasilkan pada awal abad ke-12 oleh Maharaja Suryavarman II ini sememangnya amat menakjubkan membuatkan sesiapa sahaja yang melihatnya terpukau dengan bukan sahaja kecantikannya, malah dari segi saiz dan ketelitian binaannya yang mengambil masa lebih kurang 30 tahun untuk dibina.
Sesiapa sahaja yang melihatnya pasti terpukau bukan sahaja dek keindahannya, malah ketakjuban saiz dan ketelitian binanya.
Dua tahun lalu, sekumpulan penyelidik antarabangsa telah membuat kenyataan bahawa Angkor dahulukala merupakan bandar pra-industri terbesar di dunia dengan keluasan lebih 3,000 kilometer persegi. Ini dibuktikan dengan gambar yang diambil daripada satelit dan penyelidikan yang intensif.
Angkor Wat pula merupakan permata kepada Angkor. Ia merupakan contoh unggul seni bina mewah dan klasik Khmer yang telah menjadi lambang kebanggaan Kemboja. Lambang Angkor Wat boleh dilihat pada bendera rasmi Kemboja dan menjadi ikon utama bagi negara itu. Ia juga menjadi sumber inspirasi dan kebanggaan rakyat mereka. Pada kurun ke-16, nama Angkor Wat, yang bermaksud 'kuil bandar', mula digunakan. Angkor yang diterjemahkan daripada perkataan 'Nokor', yang merupakan perkataan vernakular untuk perkataan sanskrit 'Nagara', bermaksud bandar manakala Wat pula bermaksud 'Kuil' bagi bahasa Khmer. Sebelum itu, seni bina ini dinamakan sempena gelaran Maharaja Suryavarman II, 'Preah Pisnulok'.
Terletak 5.5 kilometer dari Bandar Siem Reap, Angkor Wat merupakan sumber utama ekonomi bagi penduduk tempatan. Setiap tahun, Siem Reap dibanjiri pelancong dari serata dunia yang tertarik dengan keindahan seni bina lama yang bersejarah ini. Bandar Siem Reap yang kaya dengan sejarah kegemilangan empayar Hindu dan Buddha, penuh dengan kuil yang masih bertahan walau negara Indochina ini lama dilanda perang.
Angkor Wat merupakan sumber utama ekonomi untuk penduduk tempatan…
Untuk memasuki Angkor Wat, pemerintah Kemboja mengenakan bayaran masuk AS$20 ($30) untuk pas sehari, dan AS$40 untuk pas tiga hari bagi pelancong asing manakala rakyat Kemboja tidak dikenakan sebarang bayaran.
Seawal 4.30 pagi, ribuan pelancong akan menunggu di kolam berhadapan Angkor Wat untuk menyaksikan pemandangan matahari terbit yang indah. Saya sendiri berpeluang merakamkan peristiwa ini yang disaksikan beribu pelancong dari serata dunia hampir setiap hari.
Sejurus selepas itu, saya dan rakan menikmati sarapan pagi, berlatar belakangkan Angkor Wat. Suasana yang tenang dan udara pagi yang nyaman melengkapkan lagi pengalaman tersebut. Di sekeliling kawasan Angkor Wat juga terdapat banyak pilihan gerai yang menjual pelbagai jenis juadah dan cenderahati. Namun, harga makanan dan barang-barang di sini mungkin agak mahal bagi sesetengah pelancong dari Asia Tenggara kerana penggunaan dolar Amerika yang berleluasa dan juga peniaga yang mengambil kesempatan di atas kebanjiran pelancong.
Untuk menerokai kuil Angkor Wat dengan temboktemboknya diukir indah, lengkap dengan gambar raja-raja yang tebal dengan pengaruh Hindu, anda boleh memilih untuk menaiki tuk-tuk yang merupakan pengangkutan paling popular, berbasikal, atau membonceng motosikal sewa.
Dengan keluasan 202 hektar, dengan bangunan tertingginya mencakar langit mencapai ketinggian 213 meter, adalah sesuatu yang amat mencabar stamina jika anda memilih untuk berjalan kaki sambil menikmati keindahan struktur binaan ini.
Saya sendiri mengambil masa tiga hari untuk menjelajah kuil-kuil lain yang terletak di keliling Angkor Wat. Saya mendapati sesetengah Wat lebih menarik daripada Angkor Wat. Wat Bayon dan Ta Promh merupakan Wat yang amat unik bagi saya. Wat Bayon merupakan antara tarikan yang popular disebabkan seni binanya yang menarik dan unik. Ia memaparkan potret Maharaja Jayavarman VII. Ia dibina kira-kira 100 tahun selepas Angkor Wat dan kaya dengan unsur-unsur
agama Hindu. Wat Ta Promh yang dibina Jayavarman VII pula menyerupai set penggambaran filem terkenal Tomb Raider yang dibintangi Angelina Jolie.
Pokok-pokok besar menjalar di dinding Wat Ta Promh menghasilkan suatu pemandangan yang sangat unik. Walau begitu, akar-akar pokok yang menjalar di dinding dan struktur wat ini mengancam jangka hayatnya, dan pihak berkuasa Kemboja dengan bantuan pemerintah India bekerjasama untuk memulih dan memelihara Wat Ta Promh. Dengan status "Tapak Warisan Dunia" yang dianugerahkan oleh pihak Unesco, kerajaan Kemboja mendapat banyak bantuan dari luar negara untuk terlibat dalam usaha memulihara semula tapak-tapak dan monumen yang sangat tinggi nilainya pada tamadun manusia.
Pada saya, peluang untuk menyaksikan warisan kegemilangan empayar zaman dahulu ini adalah pengalaman yang sangat saya hargai. Angkor Wat bukan sahaja merupakan monumen keagamaan bagi masyarakat di sini, ia juga merupakan nadi kepada Siem Reap secara khususnya, dan Kemboja secara umumnya dengan menarik ramai pelabur
dan pelancong dari luar negara. Tarikan ini sangat membantu dalam usaha Kemboja meningkatkan taraf hidup rakyatnya yang majoritinya golongan miskin sekali gus memberikan harapan kepada mereka. Saya terbang pulang dengan harapan, Angkor Wat akan terus memberi kesan positif di dalam kehidupan masyarakat setempat pada masa hadapan dan terpelihara untuk tatapan generasi hadapan.
-cyberita
Selamat Tahun Baru. Pengalaman yang berharga
ReplyDeleteSelamat Tahun Baru, semoga panjang umur dan murah rezki.
ReplyDelete