Pages

Thursday, December 16, 2010

27 maut, bot karam


PASUKAN penyelamat giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat pendatang tanpa izin selepas sebuah bot kayu yang mereka naiki dihempas ombak di perairan Pulau Krismas, semalam, – REUTERS


CANBERRA 15 Dis. – Sekurang-kurang 27 pendatang tanpa izin dikhuatiri mati lemas selepas bot kayu yang mereka naiki dihempas ombak kuat ke batu-batu di perairan Pulau Krismas, Lautan Hindi hari ini.
Bot itu karam dan 70 hingga 80 pencari suaka politik tercampak ke laut bergelora.
Pegawai kastam berkata, sekurang-kurangnya 27 orang maut dalam kejadian itu, manakala 42 lagi selamat tetapi operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Siaran televisyen merakamkan bot itu merempuh batu, berkecai lalu karam, dan para penumpangnya terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak dihempas ombak ke batu-batu tajam.
Penduduk tempatan berkata, mereka yang berada di dalam bot itu dipercayai warga Iraq atau Iran.
“Mangsa di dalam laut menjerit meminta pertolongan, tragedi berlaku di depan mata,” kata Presiden wilayah Pulau Krismas, Gordon Thomson kepada media Australia.
Lapor media tempatan, 41 orang diselamatkan, tetapi kira-kira 30 lagi masih hilang selepas bot itu berkecai dalam insiden pada kira-kira pukul 6 pagi (7 pagi waktu Malaysia) itu.
Perkhidmatan Flying Doctors di Australia berkata, angka kematian boleh mencecah 50 orang, manakala ‘kira-kira 33 lagi cedera tetapi masih boleh berjalan’.
“Kami melontar tali dan beberapa ratus jaket keselamatan dari lereng bukit, kira-kira 15 atau 20 orang dapat mencapai jaket itu tetapi terdapat mayat bayi, wanita dan kanak-kanak terapung di laut,” kata seorang penduduk Pulau Krismas.
Pulau yang terletak ke selatan Indonesia itu selalu menjadi destinasi bagi bot pendatang tanpa izin, selain menempatkan pusat tahanan imigresen Australia di luar pesisir. – REUTERS

No comments:

Post a Comment