Pages

Friday, November 12, 2010

Ujian penerbangan ditangguh



GAMBAR fail menunjukkan enjin Rolls-Royce Trent 1000 pada sayap pesawat Boeing 787 di sebuah lapangan terbang di Seattle, Amerika Syarikat (AS) pada 27 Oktober lalu.


DALLAS - Syarikat Boeing menggantung semua ujian penerbangan pesawat penumpang baru, Boeing 787 kelmarin selepas asap keluar dari kabin dalam ujian sebuah pesawat model itu menyebabkan ia mendarat cemas di Texas pada Selasa lalu.
Pada Selasa lalu. sebuah pesawat Boeing 787 yang menggunakan enjin Rolls Royce Trent 1000 terpaksa mendarat cemas semasa menjalani ujian penerbangan selama enam jam selepas krew-krewnya melaporkan asap keluar dari belakang pesawat itu.
Boeing menyatakan ia perlu masa selama beberapa hari untuk menganalisis data penerbangan dari pesawat berkenaan.
Menurut pihak pengurusan syarikat itu, semua ujian penerbangan pesawat Boeing itu ditangguhkan sehingga pihaknya memahami punca kejadian.
Jurucakap Boeing, Loretta Gunter berkata, pihaknya masih tidak mengetahui tempoh penangguhan itu.
Gunter berkata, kebakaran bermula di panel kawalan kuasa di dalam pesawat ujian itu.
Api memutuskan kuasa elektrik pesawat itu.
Menurut Boeing, sistem sokongan termasuk sebuah turbin penyedut udara terutamanya generator berkuasa angin telah berfungsi dengan sempurna ekoran masalah itu.
Syarikat Boeing kini memeriksa panel kuasa bagi menentukan sama ada kerja-kerja pembaikan perlu dilakukan.
Pesawat itu menggunakan enjin keluaran Rolls-Royce tetapi tidak sama dengan digunakan oleh pesawat Airbus A380 milik syarikat Qantas yang terpaksa mendarat cemas di Singapura pada 4 November lalu kerana salah sebuah enjinnya terbakar.
Pesawat dua tingkat Airbus A380 menggunakan enjin Rolls-Royce Trent 900.
Dalam kejadian yang berlaku pada Selasa lalu, sebuah pesawat Boeing 787 yang melakukan penerbangan ujian berlepas dari Yuma, Arizona dan terbang ke Montana di selatan Texas.
Juruterbang pesawat itu memaklumkan berlakunya satu kecemasan dan membuat pendaratan cemas di sebuah lapangan terbang di Laredo, Texas dekat sempadan Mexico.
Menurut Boeing, seramai 42 orang berada dalam pesawat itu termasuk krew dan juruteknik.
Ekoran insiden itu, saham syarikat Boeing Co jatuh AS$2.18 (RM6.73) atau 3.2 peratus kepada AS$67.07 (RM207.246 ) kelmarin.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah menyatakan kebakaran daripada kebocoran minyak mungkin menjadi punca kegagalan enjin pesawat gergasi dunia, Airbus A380 milik Airbus berfungsi sehingga ia terpaksa mendarat cemas pada 4 November lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.
Dalam kejadian 4 November itu, bingkai sebuah daripada empat enjin pesawat itu pecah menyebabkan ia bertaburan di bandar Batam.
Agensi itu meminta pemeriksaan teliti dilakukan ke atas pesawat yang menggunakan enjin Rolls-Royce Trent 900 itu.
Syarikat Singapore Airlines yang menggunakan 11 pesawat Airbus A380 menyatakan ia mungkin akan menggantikan beberapa pesawat itu dengan yang lebih kecil ekoran arahan agensi tersebut yang meminta enjin Rolls-Royce Trent 900 perlu diperiksa dengan teliti.
Pesawat itu boleh membawa 525 penumpang. - Agensi

No comments:

Post a Comment