Pages

Friday, November 26, 2010

Tipu Daya Iblis Zaman Ini



PENDAHULUAN
Surah Al Baqarah [2] : [255]
.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki(memberitahu kepadanya).
PENGENALAN
Tipu Daya Iblis Zaman Ini
Pengenalan ringkas antara jin, iblis dan syaitan boleh kita dapati dalam firman Allah yang Maha Tinggi di bawah,
Surah Al Kahfi [18] : 50
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.
Di dalam ayat yang lain tentang perkaitan antara iblis dan syaitan,
Surah Al Israa' [17] : 63-64
Allah berfirman (dituju kepada iblis (rujuk ayat 61-62)): "Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya neraka Jahannamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup. 

Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut - campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu)". Padahal 
tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.
Secara umumnya dapatlah kita mengetahui berdasarkan ayat Al-Quran di atas bahawa iblis dan syaitan itu adalah dari golongan jin. Perlu diingatkan sekali lagi, iblis itu adalah dari golongon jin, bukan malaikat seperti yang dinyatakan sebilangan kecil orang yang tersalah faham dan kebanyakan orang yang sesat.
Tipu daya iblis itu berbagai-bagai dan dikerahkan penyokong-penyokongnya untuk menyesatkan umat manusia keseluruhannya tanpa mengira keturunan, pangkat, bangsa apatah lagi agama, kerana memang itulah tujuan iblis yang menginginkan kesesatan seluruh manusia.
Dalam Al-Quran, Allah yang Maha Penyayang berfirman tentang keazaman iblis untuk menyesatkan manusia;
Surah Al Hijr [15] : 39
Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku (iblis) akan menyesatkan mereka semuanya...
ISI PERBINCANGAN
Mengenali Bisikan Hati
Iblis melancarkan tipu dayanya melalui bisikan-bisikannya ke dalam hati sanubari manusia. Perlu kita ketahui bahawa bisikan di dalam hati manusia itu ada tiga, iaitu;
1. Bisikan Malaikat : Berdasarkan;
Surah Fushshilat [41] : 30
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.
Malaikat membisikkan agar manusia berbuat kebaikan, mentaati perintah Allah yang Maha Tinggi dan perkara-perkara yang baik dan terpuji. (Rujukan Tafsir Ibn Katsir, dan Tafsir Al-Munir dalam Surah Al-Nas)
2. Bisikan Diri : Berdasarkan;
Surah Qaaf [50] : 16
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,
Kita berbisik dengan diri kita sendiri dari segi berfikir, citarasa, keinginan samada baik atau buruk dan sebagainya. Dalam satu hadis sahih yang di nukil dari tafsir Ibn Katsir,
Rasulullah saw bersabda : “Sesungguhnya Allah Ta’ala memaafkan apa yang dibisikkan oleh hati umatku, selama ia tidak mengatakan atau mengerjakannya.” (Sahih Muslim, dengan lafaz yang sedikit berbeza)
3. Bisikan Iblis atau Syaitan : Berdasarkan,
Surah Al An'aam [6] : 112
Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan jinsetengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.
Faktor yang ketiga ini adalah yang hendak dikongsi bersama kerana dengan bisikan inilah membuatkan kaum yahudi sesat, kaum nasrani sesat, umat Islam sesat dan manusia umumnya, akibat kurangnya prihatin akan kebahayaannya.
Cara-Cara Iblis Menyesatkan
Iblis menyesatkan manusia melalui beberapa kaedah yang licik sehingga kita tidak sedar akannya. Penyesatan ini kadangkala mengambil masa yang lama, sedikit demi sedikit, sehingga akhirnya kita menyangkakan apa yang kita fikirkan adalah benar dan bukannya dari syaitan; antaranya:
Pertama : Memberi nasihat, dan tipu daya ini diakui sendiri oleh syaitan,
Surah Al-A’raaf [7] : 21
Dan ia bersumpah kepada keduanya ((Adam dan Hawa) dengan berkata): "Sesungguhnya aku (syaitan) adalah dari mereka yang memberi nasihatkepada kamu berdua".
Sekiranya datang iblis kepada kita secara terang-terangan memberi nasihat, mahukah kita mengikutinya? Tentu tidak. Jadi secara halus iblis itu membisikkan tanpa kita sedari, tapi kita boleh mengenalinya; iaitu dengan ilmu.
Antara contoh nasihatnya (iblis) pada zaman ini;
(a). “Tidak solat pun takpe, selagi kita ucap kalimah tauhid pasti masuk syurga,” dan yang semaksud dengannya. Mengikut Imam Syafie dan para ulama salaf lainnya, jika orang yang berkata seperti itu beritikad tidak wajibnya solat, maka hukumnya kufur.
Al Baqarah [2] : 80
...."Kami sekali-kali tidak akan disentuh oleh api neraka, kecuali selama beberapa hari saja." Katakanlah: "Sudahkah kamu menerima janji dari Allah sehingga Allah tidak akan memungkiri janji-Nya, ataukah kamu hanya mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?"
Pernahkah kita membuat janji dengan Allah yang Maha Suci, bahawa kita akan masuk syurga? Atau kita cuma mendengar dari perkataan orang lain atau agak-agak sahaja?
(b). “Masa muda adalah masa untuk enjoy, dah tua nanti baru bertaubat, kerana taubat muda-muda nanti buat dosa balik.”
(c). “Jangan sebut pasal mati, tak elok, nanti mulut masin” (yakni meyakini kata-kata seseorang yang boleh menyebabkan kemudaratan dan secara tidak langsung mengingkari takdir).
Itu adalah sebahagian contoh dari nasihat dan hasutan iblis kepada kita.
Kedua : Menjadikan keburukan nampak baik dan sebaliknya.
Dalam Surah Al Hijr [15] : 39 Allah yang Maha Tinggi berfirman,
Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,
Antara contoh-contohnya di zaman ini adalah seperti ada orang yang berkata,
(a). “Walaupun aku tidak menutup aurat, tapi hati aku baik dan mengerjakan solat,” dan yang semaksud dengannya.
Sebenarnya perkara ini melibatkan orang Islam yang lain. Terutama kanak-kanak, mereka belajar dari orang dewasa dan mereka menyangkakan tidak menutup aurat itu adalah ‘perkara yang dibolehkan’ dalam agama.
(b). “Kalau kita solat tak khusyuk tak guna jugak, jadi tak perlu sembahyang kerana kita perlu belajar untuk khusyuk dahulu.”
Al Baqarah [2] : 110
Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. Dan kebaikan apa saja yang kamu usahakan bagi dirimu, tentu kamu akan mendapat pahala nya pada sisi Allah. Sesungguhnya Alah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan.
Solat itu wajib, dan selepas itu bertawakallah;
Surah Hud [11] : 123
Dan kepunyaan Allah-lah apa yang ghaib di langit dan di bumi dan kepada-Nya-lah dikembalikan urusan-urusan semuanya, maka sembahlah Dia, dan bertawakkallah kepada-Nya. Dan sekali-kali Tuhanmu tidak lalai dari apa yang kamu kerjakan.
Ketiga : Menghalangi jalan yang lurus (jalan kebenaran dan keselamatan dunia dan akhirat).
Berdasarkan Surah Al-A’raaf [7] : 16
Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempatmenghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;
Contoh-contoh di zaman ini dapat kita perhatikan menerusi perkataan syaitan-syaitan dari jenis manusia samada dari orang bukan Islam mahupun orang yang menggelar dirinya ‘orang Islam’.
Surah Al Baqarah [2] : 8
Dan di antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.
Perkataan orang munafik seperti ini lebih merbahaya kerana perkataan mereka lebih mudah diikuti seperti di dalam;
Surah Al Baqarah [2] : 11
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan".
Surah Al Baqarah [2] :14
Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: " Kami telah beriman ", dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:" Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)".
Antara kesesatan yang mereka lakukan dalam perkataan dan perbuatan mereka (nampak seolah-olah benar tetapi menyalahi Al Quran) seperti;
(a). “Semua manusia mempunyai hak masing-masing, jadi manusia bebas mengamalkan cara hidup mereka.”
Antaranya orang Islam yang ingin murtad tidak perlu dihukum, lelaki dan wanita bebas berkahwin dengan pasangan sejenis mereka, orang yang berkahwin dengan orang Islam tidak perlu menukar agama mereka, pembahagian harta (faraid) perlu sama antara laki dan wanita dan banyak lagi kesesatan mereka.
(b). “Semua agama menuju pada keamanan dan kebenaran, jadi semua agama adalah benar.”
Kata-kata mereka secara tidak sedar sebenarnya memperlekehkan Nabi Muhammad saw yang berusaha membebaskan manusia dari penyembahan syaitan. Orang seperti ini, kita perlu katakan kepada mereka,
“Kami tidak mengatakan agama lain itu salah, kami cuma mengatakan Allah yang Maha Agung itu tunggal dan wajib kita menyembahnya. Allah yang Maha Mencipta segala sesuatu dari awal kehidupan sehingga kehidupan akan datang dan akhirnya; segala sesuatu dalam takdirNya.
Al Quran pula diturunkan supaya menjadi petunjuk kepada seluruh umat manusia dan wajib beriman dan beramal dengannya. Nabi Muhammad saw itu pesuruhNya untuk mengajar umat manusia tentang dunia dan akhirat; juga memperjelaskannya berdasarkan wahyu, iaitu Al Quran.”
Al-Ikhlass [112] : 1-4
Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".
(c). “Penafsiran orang dahulu (ditujukan pada ulama salaf) terhadap Al Quran dan fekah tidak relevan masa kini, kita hidup zaman moden.”
Sebenarnya kita tidak perlu kebaratan untuk menjadi moden. Perkataan merekalah yang tidak relevan, contohnya apabila antara ahli keluarga mereka mati, mereka juga mahu memandi dan mengafankannya. Kenapa tidak ikut cara moden?
Keempat : Mendatangi dari pelbagai arah.
Surah Al-A’raaf [7] : 17
......"Kemudian aku datangi mereka, dari 
hadapan mereka serta daribelakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".
Dari Ali bin Abi Thalhah mengatakan dari Ibnu ‘Abbas r.a yang dinukil dari tafsir Ibnu Katsir, maksud;
(a). Iblis datang dari hadapan adalah, iblis membuat kita ragu akan kehidupan akhirat.
(b). Iblis datang dari belakang pula, iblis akan menjadikan kita cinta kepada dunia.
(c). Iblis datang dari kanan, iaitu iblis menjadikan perkara agama kita menjadi samar. Kita akan meragui yang mana dari agama dan yang mana bersalahan dengan agama. Contohnya pergi ke kubur setiap pagi raya, duduk di kubur, memegang adat lebih dari syariat dan lain-lain.
(d). Iblis datang dari kiri adalah dengan menjadikan kita menjadi hamba hawa nafsu dengan menyukai kemaksiatan.
Kelima : Menakut-nakuti.
‘Ali Imran [3] : 175
Sesungguhnya mereka itu tidak lain hanyalah syaitan yang menakut-nakuti (kamu) dengan kawan-kawannya (orang-orang musyrik Quraisy),....
Syaitan menanamkan rasa takut dalam perasaan kita bahawa dia (syaitan) dan para pengikutnya termasuk dari kalangan manusia, memiliki kekuatan dan pengaruh.
Kita boleh melihat sekeliling kita. Perhatikan di negara kita sendiri dan di negara luar yang lainnya, betapa umat Islam sekarang dihina, ditindas, diperbudak-budakkan sewenangnya. Kita telah hilang semangat jihad dan rasa kasih sayang sesama Islam.
Mungkin persoalan negara terlalu luas, jadi perhatikan tempat kerja kita, sekolah kita, ekonomi, taraf hidup dan masyarakat kita umumnya, tidakkah anda berasa takut dan gentar pada mereka? Jangan kita berasa takut kerana kita adalah umat pilihan, umat Nabi Muhammad SAW.
Al Baqarah [2] : 143
Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.
‘Ali Imran [3] : 175
.....kerana itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu, jika kamu benar-benar orang yang beriman.
(Mengenai nombor ketiga, keempat dan kelima diulas dengan lebih lanjut dalam artikel yang berlainan bertajuk ‘Kemunculan Tentera Dajjal’)
Keenam : Angan-angan kosong.
Surah An Nisaa' [4] : 119
"Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan...
Iblis membisikkan kita dengan pelbagai perkara yang mulanya bermanfaat kemudian dirosakkan dengan hasutan dengan janjinya ‘inilah perkara yang benar dan lebih baik’, seperti;
(a). Membuat kenduri atau jemputan makan tahlil, kahwin dan sebagainya.
Kemudian dirosakkannya dengan kenduri arwah 40 hari atau 100 hari, dan dalam majlis perkahwinan pula, suami isteri disuruh berpelukan dan diambil gambarnya dan banyak lagi.
Malah ada juga yang tidak mahu beribadat ketika masih hidup, kerana berpendapat dia akan terselamat kerana ahli keluarganya akan membuat kenduri tahlil bila dia mati kelak.
(b). Berikhtiar dalam merawat penyakit atau kesulitan dalam kehidupan.
Kemudian dirosakkannya dengan mempercayai bomoh, tangkal, ramalan (rahsia-rahsia tarikh lahir, rahsia tahi lalat), sihir dan seumpamanya.
(c). Bersolat fardhu dan sunat, kemudian dirosakkannya dengan solat tergesa-gesa dan tanpa tukmaninah (diam sebentar pergerakan sebelum meneruskan gerak solat seterusnya).
Paling menonjol adalah waktu iktidal, ramai yang gagal untuk tukmaninah ketika iktidal ini.
(d). Menyambung silaturrahim atau mempereratkan silaturrahim di facebook dan sejenisnya (blog, myspace dan lain-lain).
Kemudian dirosakkannya dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya, gambar membuka aurat, memfitnah, menyeleweng fakta dan kerosakan lainnya.
Ketujuh : Mengubah ciptaan Allah yang Maha Mengetahui.
Surah An Nisaa' [4] : 119
...demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.
Di dalam tafsir Ibnu Katsir, diterangkan dua perkara mengenai ayat ‘mengubah ciptaan Allah’.
(a). Tentang pengubahan rekabentuk makhluk hidup seperti mengembiri binatang, bertatu, mencukur bulu kening untuk kecantikan dan apa-apa yang diubah keaslian ciptaanNya.
(b). Mengubah perintah Allah yang Maha Mengetahui dan sunnah Rasulullah saw, seperti melebihi pendapat orang-orang sekalipun telah mengetahui hadis dari Rasulullah saw.
Contohnya, tingkatan puasa yang dibolehkan adalah puasa selang sehari (puasa Nabi Daud), tapi kita mengingini puasa tiap-tiap hari.
Lainnya, kita berasakan zikir dari Rasulullah saw itu tidak mencukupi, lalu kita tambah-tambah pada zikirnya, akhirnya zikir dari Rasulullah saw itu kita tinggalkan, dan kita mula meniru zikir orang lain kononnya zikir itu lebih hebat dari zikir dari Rasulullah saw.
Malah kita juga tidak tahu makna dari zikir itu. Kita hanya mengikut-ikut sahaja.
Kelapan : Berkata (dusta) terhadap Allah.
Surah Al-Baqarah [2] : 169
Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).
Perkara yang keji dan jahat itu sudah kita ketahui tentangnya. Tetapi berkata dusta terhadap Allah yang Maha Tinggi tidak ramai sedar mengenainya.
Syaitan membisikkan pada kita agar,
(a). Takut untuk bercakap tidak tahu dalam soal agama juga soal lainnya, lalu bercakap sesuatu yang tidak kita ketahui (terutama perbincangan kedai kopi). Jadilah umpatan atau fatwa yang menyeleweng.
(b). Mendakwa berlakunya sesuatu musibah itu contohnya gempa bumi berlaku di sesuatu kawasan kerana penduduk di situ banyak berbuat kejahatan. Padahal kuasa Allah yang Maha Perkasa mentakdirkan itu semua.
(c). Seolah-olah mengetahui perkara ghaib atau pasti terhadap perkara yang belum berlaku, seperti,
a.1. meramal bilakah berlaku kiamat,
b.2. para pemotivasi yang menaikkan semangat, kononnya kejayaan kita adalah hasil kerja kuat kita atau apa yang kita lakukan pasti berjaya.
Surah Al Qasas [28] : 78
Qarun berkata: "Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku." Dan apakah ia tidak mengetahui, bahwasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta?.....
(Boleh untuk melakukan itu (memotivasi), tapi jangan sampai menolak takdir dan isikan dengan ayat-ayat Al Quran mengenai bagaimana ciri-ciri orang yang berjaya),
c.3. selepas kahwin pasti mempunyai anak, dan pelbagai lagi.
KESIMPULAN
Ini hanya beberapa antara kesesatan yang iblis bisikkan, tanamkan dalam hati dan fikiran kita untuk menyesatkan. Kesesatan-kesesatan ini kadangkala tidak kita sedari, kadangkala kita sedar, namun terperangkap dalam suasana masyarakat kini.
Bagaimana caranya mengatasi atau melawan tipu daya iblis yang jahat dan licik ini? Antaranya;
(a). Menuntut ilmu. Lengkapkan diri dengan ilmu fardhu ain kemudian baru ilmu-ilmu yang lainnya dan tanamkan sikap benci menjadi jahil.
Surah Thoha [20] : 114
"Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan."
Surah Al Hajj [22] : 54
Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya; dan sesungguhnyaAllah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.
(b). Berdoa agar jauh dari kesesatan.
Surah Ali ‘Imran [3] : 8
(Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurnia)."
Surah Ali ‘Imran [3] : 147
Tidak ada doa mereka selain ucapan: "Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."
Doa adalah senjata kita yang paling kuat dan sesungguhnya Allah yang Maha Penyayang itu tidak memungkiri janji,
Surah Al Baqarah [2] : 186
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.
(c). Bersatu hati sesama umat Islam serta berzikir dan sentiasa mengingati Allah yang Maha Penyayang dalam memerangi musuh dari kalangan syaitan jenis manusia dan jin.
Surah Al Anfaal [8] : 45
Hai orang-orang yang beriman. apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung.
(Tanda (c) juga diulas lebih lanjut dalam artikel ‘Kemunculan Tentera Dajjal’)
(d). Sentiasa mengingati mati.
Surah Az Zumar [39] : 42
Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati di waktu tidurnya;
maka Dia tahanlah jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditetapkan.
Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda- tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir.
Kita tidak tahu ajal kita, jadi buatlah yang terbaik dalam beribadah ketika di dunia ini sementara masih boleh.
Dan (e). Ingatlah bahawa tipu daya syaitan itu sangat lemah. Mereka (syaitan) tidak mampu berbuat apa-apa kecuali menghasut dan membisikkan sahaja.
Surah An Nisaa' [4] : 76
Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.
Serta ingatlah kita adalah umat terpilih, umat Nabi Muhammad saw.
Surah Ali 'Imran [3] : 139
Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi(mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.
Rujukan :
Al Quran (Tafsir Ibnu Katsir dan Tafsir Al Munir), Kitab-kitab hadis sahih (boleh juga didapati dalam blog saya www.KoleksiHadisNabi.blogspot.com).
Dahsyatnya Tipu Muslihat Iblis (Ibnu Qayyim Al Jauziah), Islam Liberal dan Pluralisma Agama (Riduan Mohamad Nor dan Ahmad Adnan Fadhil), Penyatuan Nilai Kebaikan (Harun Yahya), Ciri-Ciri Akhlak Mukminin dan Mukminat (Syeikh Abdul Aziz bin Baaz) dan Dunia Jin dan Setan (Dr. Umar Sulaiman al-AsyAsyqar).

No comments:

Post a Comment