Pages

Wednesday, November 17, 2010

Tiga beradik terpisah bertemu semula di Mekah


ARAFAH 16 Nov. - Ibadah haji musim ini bukan sekadar menunaikan rukun Islam kelima tetapi bagi tiga adik beradik wanita yang terpisah selama berpuluh-puluh tahun, ia adalah pertemuan semula yang tidak pernah dirancang.
Shahana Mirza, Farzana dan Durdana yang berasal dari bandar Allahabad, utara India kini masing-masing menetap di Karachi, Pakistan; Chicago, Amerika Syarikat (AS) dan Bangalore, India.
Pertemuan tiga saudara wanita dalam suasana hiba itu berlangsung di sekitar Kaabah minggu lalu. Mereka saling berpelukan, menangis dan berkongsi cerita tentang zaman kanak-kanak selepas berpuluh-puluh tahun tidak berjumpa.
"Kami pernah bertemu beberapa kali sebelum ini di India dan Pakistan tetapi tidak pernah berada di satu tempat sama pada satu-satu masa. Pertemuan ini ibarat cerita dongeng. Kami sangat gembira hingga tidak mampu digambarkan dengan kata-kata.
"Kami terpisah sejak Shahana tinggal di Pakistan. Permohonan visa masuk ke India menyukarkan dia pulang," kata adik bongsu, Durdana.
Tiga beradik itu mula terpisah apabila Shahana, 55, berkahwin dengan sepupu jauh mereka di Karachi pada 1977 diikuti Farzana yang menetap di Chicago selepas berkahwin dengan pembantu penyelidik, Yawar Siddiqui pada 1979.
Durdana yang berkahwin dengan jurutera komputer, Shakir Bazmi berkata, dia menulis sepucuk surat kepada Shahana memberitahu dia dan suami bakal mengerjakan haji tahun ini, sebelum kakak sulung mereka itu menyatakan akan turut ke Mekah.
Katanya, tanpa diduga, Farzana di AS juga menghubungi menyatakan perkara sama.
"Semasa berada di Arafah, kami berdoa supaya Allah tidak memisahkan ahli-ahli keluarga dengan orang tersayang. Kesakitan akibat perpisahan memang tidak tertanggung.
"Kami juga berdoa supaya perbezaan politik antara India dan Pakistan akan berakhir supaya rakyatnya tidak hidup menderita," kata Durdana. - Agensi

No comments:

Post a Comment