Pages

Sunday, November 14, 2010

Perarakan kereta tertua di dunia


SALAH sebuah kereta yang beroperasi menggunakan kuasa stim.


LALUAN sekitar Hyde Park di Kota London pada pagi minggu lalu bingit dengan sorakan dan bunyian hon daripada kereta-kereta lama yang mengeluarkan kepulan asap putih.
Kemeriahan pada Sabtu pertama bulan November itu adalah hasil perarakan kereta-kereta klasik yang mengambil bahagian dalam Veteran Car Run dari London ke Brighton.
Acara tahunan yang dianjurkan oleh Kelab Automobil Diraja baru-baru ini menghimpunkan lebih daripada 500 buah kereta pelbagai jenama yang dikeluarkan sebelum tahun 1905.
Perarakan sejauh 60 kilometer (km) menuju ke selatan London melalui beberapa kawasan utama iaitu Brixton, Norbury, Croydon, Redhill, Horley, Gatwick dan Crawley sebelum tiba di Brighton.
Di Hyde Park awal pagi itu, perhimpunan jentera-jentera tua seperti mengembalikan kesibukan kota London ke zaman lampau dengan disaksikan oleh ribuan peminat kereta klasik yang datang dari seluruh dunia.
Sebahagian besar daripadanya adalah kereta tanpa bumbung yang bergerak dengan seorang pemandu dan seorang penumpang. Dengan tayar halus yang berlidi seperti basikal, masing-masing bergerak pada kelajuan antara 10 hingga 20 km/j.
Antara yang dipertontonkan adalah jentera keluaran Peugeot, Leon Bollee, Benz, Daimler, Orient Express, Salvesen, Delahaye, Panhard et Levassor, De Dion Bouton, Dechamps dan Locomobile yang sebahagiannya masih menggunakan kuasa stim.
Salah seorang daripada pemilik popular yang mengambil bahagian di dalam acara itu adalah bekas pelumba Formula Satu (F1) Jochen Mass.
Turut tampil pada hari itu adalah kereta Darracq 1904 yang digunakan di dalam pembikinan filem Genevieven pada tahun 1953.
Veteran Car Run dianjurkan sempena meraikan kejayaan manusia mencapai kelajuan 14 batu sejam (22.4 kilometer). Perarakan yang dimulakan sejak 1896 itu kini menjadi acara pemotoran tertua di dunia.
Jurucakap acara berkata, sebanyak 433 daripada 572 kereta yang mengambil bahagian berjaya tiba di garisan penamat di Brighton.
“Kesemua kereta yang digunakan dalam perarakan ini adalah kereta yang sudah berusia lebih 100.
“Ia bukanlah kenderaan terbaik untuk digunakan pada masa sekarang jadi kerosakan adalah perkara biasa bahkan beberapa buah kereta langsung tidak dapat dihidupkan,” ujarnya.
Ujarnya, selain kepulan asap stim yang memutih, suasana dimeriahkan lagi dengan gelagat penonton dan peminat yang berpakaian sezaman dengan kereta-kereta yang dipamerkan.
“Veteran Car Run adalah hari yang menakjubkan. Jumlah penonton yang hadir melebihi sasaran dan kita juga mungkin mencipta rekod,” jelasnya.
Pada penganjuran pertamanya, sebanyak 30 buah kereta dipandu ke sebuah resort di Sussex dengan hanya 14 buah yang berjaya menamatkan perjalanan.
Perarakan seterusnya pada 1927 dianjurkan oleh pengarang pemotoran The Daily Sketch yang berterusan sehingga hari ini. Ia pernah dihentikan pada zaman perang dunia (1947) dan zaman pencatuan petrol di London.

No comments:

Post a Comment