Pages

Tuesday, November 16, 2010

Penduduk mula pulang

SUKOHARJO: Beribu-ribu penduduk di sekitar lereng Gunung Merapi semalam pulang ke rumah masing-masing selepas menyelamatkan diri daripada letupan gunung berkenaan akhir bulan lalu.
Bagaimanapun, saintis memberi amaran, gunung berapi paling aktif di Indonesia itu masih berbahaya.

Dalam pada itu, lebih banyak mayat ditemui di sebalik timbunan debu yang dimuntahkan Merapi sejak akhir bulan lalu, menjadikan jumlah korban 259 orang.

“Proses letupan masih berlaku tetapi kekerapannya semakin berkurangan.

“Status Merapi masih ditahap berjaga-jaga,” kata pakar gunung berapi, Subandrio.

Sehingga petang semalam, lebih 30,000 orang sudah meninggalkan pusat perlindungan sejak kerajaan mengurangkan jarak zon bahaya di di beberapa daerah.

Pasukan penyelamat menemui 17 lagi mayat di kampung sekitar lereng gunung itu yang mula meletup 26 Oktober lalu.

Sebahagian besar daripada 259 korban Merapi itu mati apabila gunung berkenaan meletup pada 5 November, yang paling kuat dalam tempoh 100 tahun.

Sementara itu, kebanyakan keluarga yang pulang begitu teruja kerana meninggalkan pusat perlindungan yang penuh sesak. Di Kampung Sukoharjo, bahagian selatan lereng Merapi, Sukirah, 57, terus mengusahakan sawahnya sebaik tiba.

“Saya gembira dapat pulang. Sekurang-kurangnya saya dapat hidup seperti biasa, sama seperti sebelum ini,” katanya.

Menurut Subandrio, Merapi masih mengeluarkan gas dan debu setinggi empat kilometer ke udara semalam.

Tetapi katanya, ia amat kecil berbanding ketika ia memuntahkan gas dan debu setinggi 14 kilometer yang dimuntahkannya beberapa hari lalu.

“Ia selamat untuk penduduk kembali ke rumah mereka selagi mereka berada di luar zon bahaya,” kata pakar berkenaan. - AFP

No comments:

Post a Comment