Pages

Wednesday, November 17, 2010

Pelan Arab Saudi atasi kesesakan di Jamrah berjaya



Ribuan jemaah haji berjalan dalam tiga lorong khas yang disediakan oleh kerajaan Arab Saudi bagi memastikan kesesakan dapat dikawal semasa para jemaah menuju ke Jambatan Jamrah untuk melakukan rukun melontar batu sebagai simbolik merejam syaitan dan mengawal hawa nafsu di Mina, dekat kota suci Mekah, semalam. - AFP



MEKAH 16 Nov. - Jabatan Pertahanan Awam Arab Saudi menyediakan pelan rapi yang bertujuan untuk mengawal kesesakan di Jambatan Jamrah semasa jemaah haji mula melontar jamrah di Mina pagi ini.
Menurut pelan tersebut, jemaah yang tiba di Jambatan Jamrah dengan tren Masyair akan dikumpulkan semula untuk memastikan mereka melaksanakan kerja melontar di semua tingkat kompleks itu.
Komander Pertahanan Awam di Jamrah, Brigadier Jeneral Zuhair Seibiyah berkata, fokus pelan itu juga adalah untuk mengelakkan pergerakan terlalu ramai jemaah di laluan masuk dan laluan keluar di kompleks jambatan lima tingkat itu semasa waktu puncak.
Katanya, lebih 1,300 pegawai melaksanakan pelan tersebut yang membenarkan jemaah melakukan lontaran antara 11 pagi hingga 6 petang (4 petang hingga 11 malam waktu Malaysia) selama empat hari mulai hari ini sehingga 19 November (10-13 Zulhijjah).
"Segala persiapan sudah dilakukan bagi mencegah kesesakan jemaah di tingkah bawah dan tingkat satu jambatan dan mengagihkan mereka untuk melakukan kerja melontar di kesemua lima tingkat jambatan," ujarnya.
Seibiyah berkata, Pertahanan Awam sudah membuat persiapan khas untuk menerima jemaah yang menaiki tren Masyair di tingkat empat jambatan.
"Kemudian eskalator akan digunakan untuk membawa mereka ke tingkat lain sebagai sebahagian langkah untuk mengelakkan kesesakan dan insiden rempuhan.
"Dengan siapnya kelima-lima tingkat, struktur jambatan raksasa mempunyai kapasiti untuk mengendalikan 400,000 jemaah sejam," katanya.
Kemudahan tersebut juga telah melipatgandakan keupayaan pasukan Pertahanan Awam untuk bertindak pantas sekiranya berlaku kecemasan, tambah komander itu.
Selain itu, bilangan lokasi pemantauan di Jamrah ditingkatkan daripada 51 kepada 102 bagi membolehkan anggota Pertahanan Awam mengawasi pergerakan jemaah dan menghantar bantuan kepada jemaah yang memerlukan pertolongan cemas. - Agensi

No comments:

Post a Comment