Pages

Tuesday, November 2, 2010

Merapi hambur ‘awan panas’ penduduk bertempiaran lari





Seorang sukarelawan menunjukkan arah jalan kepada penduduk yang meninggalkan kampung mereka setelah Gunung Merapi di Cakringan, Yogyakarta, Indonesia terus menghamburkan ‘awan panas’ dan debu awal pagi semalam. – AP


YOGYAKARTA 1 Nov. – Kepulan ‘awan panas’ atau disebut ‘wedhus gembel’ bergulung-gulung keluar dari kawah Gunung Merapi menyebabkan orang ramai panik lalu bertempiaran lari menyelamatkan diri pagi ini.
Letusan yang lebih besar berbanding kejadian pertama pada 26 Oktober itu berlaku pada pukul 10.10 pagi ini ketika kebanyakan penduduk di sekitar Sleman, Klaten, Magelang, Boyolali pulang ke rumah masing-masing bagi melihat haiwan ternakan masing-masing.
‘Awan panas’ itu dilihat melepasi Bukit Kendil dan Gunung Merbabu yang terletak berhampiran Gunung Merapi – situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Visual yang ditayangkan oleh TvOne dari Magelang dan Kaliurang menunjukkan letusan yang cukup besar sehingga mengepul setinggi 7,000 meter.
Di Magelang 400 pelajar sekolah bertempiaran lagi setelah debu panas tiba-tiba menyelubungi kawasan sekolah berkenaan.
Sehingga tengah hari, kepulan ‘awan panas’ Merapi masih mengepul dan kelihatan semakin menebal serta kehitaman menuju ke arah utara dan timur laut.
Di kota Yogyakarta, jalan di Kaliurang menjadi sesak kerana dipenuhi oleh kenderaan orang ramai yang meninggalkan kawasan berkenaan kira-kira 20 kilometer dari Gunung Merapi.
Situasi panik itu menyebabkan kesesakan lebih teruk apabila ada kenderaan yang seolah-olah tidak tahu ke mana hendak dituju.
Bunyi siren kenderaan penyelamat yang hilir mudik dari kawasan bencana letusan ke pusat pemindahan mangsa bencana alam itu, menambah hingar-bingar.
Setakat ini 35 orang terbunuh dalam bencana yang berlaku pada 26 Oktober lalu termasuk juru kunci Merapi, Mbah Maridjan dan wartawan VIVAnews.com, Yuniawan Wahyu Nugroho. Yuniawan terbunuh ketika cuba memujuk penjaga Gunung Merapi itu turun menyelamatkan diri. – Utusan

No comments:

Post a Comment