Pages

Monday, November 15, 2010

Mati ditikam kekasih isteri

PETALING JAYA: Akibat cinta tiga segi, seorang lelaki yang baru tiba empat hari lalu dari Indonesia untuk bersama isterinya ditikam berkali-kali oleh sekumpulan enam lelaki termasuk kekasih isterinya, malam kelmarin.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Haryadi, 24, warga Indonesia ditikam ketika berada bersama isterinya yang berusia 22 tahun di rumahnya di tingkat lima, Taman Desaria, Taman Medan, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa sedang berehat bersama isterinya tiba-tiba didatangi enam lelaki sebelum mereka bertengkar dipercayai ada kaitan dengan hubungan cinta isteri mangsa dengan salah seorang suspek.

Keenam-enam suspek kemudian bertindak mengeluarkan parang dan pisau lalu menetak dan menikam mangsa berkali-kali. Mangsa cuba menyelamatkan diri, tetapi rebah di tingkat dua pangsapuri berkenaan.

Melihat keadaan mangsa yang sudah tidak bernyawa, semua suspek melarikan diri.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata pihaknya sudah menahan isteri mangsa yang juga warga Indonesia bagi membantu siasatan kerana dipercayai menjadi punca pergaduhan.

“Kita percaya motif pergaduhan berpunca daripada hubungan percintaan dan siasatan polis kini menjurus ke arah itu.

“Dengan penahanan isteri mangsa, kita percaya dapat mengesan semua suspek yang dipercayai masih bersembunyi di sekitar Lembah Klang,” katanya, semalam. Arjunaidi berkata, mangsa mati akibat cedera parah di kepala dan dada kerana ditikam dan ditetak berkali-kali dengan senjata tajam dan pihaknya menemui beberapa bilah parang dan pisau yang dipercayai senjata pembunuhan di tempat kejadian.

Menurutnya, berdasarkan rekod imigresen, mangsa baru saja tiba ke negara ini empat hari lalu manakala isterinya pula sudah lama berada di sini.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.

No comments:

Post a Comment