Pages

Thursday, November 11, 2010

Mangsa simbah asid oleh ahli keluarga mohon bantuan kos pembedahan




Mangsa simbah asid oleh ahli keluarga mohon bantuan kos pembedahan

Derita mangsa disimbah asid dapat perhatian pelbagai pihak



ISMAIL Abi Hashim (kiri) bertanyakan keadaan Azri Abdullah (dua dari kiri) yang menderita akibat disimbah asid di Taman Tunku Putra, Kulim, Kedah kelmarin. - utusan/ ABD RAZAK OSMAN



KULIM 25 Jun - Nasib seorang bekas pekerja kilang, Azri Abdullah, 41, yang menderita akibat kecederaan di seluruh tubuh selepas menjadi mangsa disimbah asid Disember lalu, mula mendapat perhatian pelbagai pihak.
Kisahnya yang tersiar dalam akhbar ini bukan sahaja mendapat perhatian orang ramai, malah Pertubuhan Keselamatan Sosial turut melahirkan rasa simpati dengan menghulurkan sumbangan kewangan kepada Azri.
Pengarah Perkeso Kedah, Ismail Abi Hashim berkata, pihaknya bersetuju menghulurkan bantuan pencen ilat kepadanya mulai bulan ini.
Katanya, buat permulaan, Azri akan mendapat bantuan wang sebanyak RM410.75 seperti mana yang ditetapkan dalam syarat-syarat caruman majikannya sebelum ini.
"Kita bersimpati dengan nasib yang dialami Azri dan berharap sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban dan menampung makan minumnya," katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, Azri, dari Taman Tunku Putra di sini kini terpaksa menahan sakit akibat kecederaan di seluruh tubuh selepas menjadi mangsa disimbah asid sejak enam bulan lalu.
Azri yang masih bujang adakalanya menangis akibat tidak tahan menanggung kesakitan apabila kulitnya ditumbuhi ruam dan kepanasan.
Kesakitan yang dideritainya menyebabkan dia tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan kerana tidak mampu banyak bergerak selain mata kanannya menjadi kabur.
Lebih malang, dia yang kini disisihkan keluarga terpaksa bergantung harap kepada tiga rakan karib iaitu Md. Dori Osman, 34; Shahrel Mohd. Ali, 28, dan Shahrul Kamel Jamaluddin, 41, yang menyewa rumah untuk menjaganya.
Kejadian malang tersebut berlaku sekitar Disember lalu selepas dia disimbah asid ketika perselisihan faham antara ahli keluarga.
Dalam pada itu, Azri berkata, dia kini memerlukan wang hampir RM40,000 bagi membiayai pembedahan mata kanannya yang hampir buta serta pembedahan lain.
"Dengan bantuan rakan-rakan, saya kini dirujuk ke Pusat Pakar Mata Antarabangsa (ISEC) di Kuala Lumpur baru-baru ini. Bagaimanapun, kos yang diperlukan agak tinggi dan saya terpaksa menunggu sehingga duit cukup," katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, pihaknya kini sedang menggerakkan satu tabung khas bagi mendapatkan dana untuk membantu kos rawatan Azri.
"Kita amat bersimpati dengan nasib yang dialami Azri dan berharap dengan tabung khas sejumlah sumbangan boleh dijana untuk membantu membiayai kos perubatan," katanya.
Tambah beliau, pihaknya sebelum ini turut berjaya mendapatkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kulim sebanyak RM300 sebulan mulai April lalu.
Orang ramai yang bersimpati dengan penderitaan yang dialami Azri boleh menghulurkan bantuan kepadanya menerusi akaun simpanan RHB Bank bernombor 10702800602905 atau menghubungi rakannya, Shahrul Kamel di talian 012-5772130.


No comments:

Post a Comment