Pages

Sunday, November 21, 2010

Lelaki 'pupus' di Latvia



Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/10/24

Ketidakseimbangan jantina sukar buat wanita Latvia cari pasangan.
Ketidakseimbangan jantina sukar buat wanita Latvia cari pasangan.
Kadar kematian tinggi punca ramai wanita solo 

DUA dekad selepas kejatuhan pemerintahan komunis Soviet di Latvia, wanita negara itu mencapai kedudukan jauh lebih baik berbanding lelaki - mereka lebih berpendidikan dan kadar kematian pada usia muda juga semakin rendah.
Sayangnya, ia belum cukup melengkapkan kehidupan mereka sebagai wanita kerana kadar kematian tinggi di kalangan lelaki Latvia bermakna sukar mencari pasangan hidup.
Kesukaran itu dikongsi oleh Dania dan Zane yang masih bersendiri dan bertemu di sebuah kafe di Riga untuk berbual mengenai topik kegemaran mereka - kekurangan lelaki baik. 

Berusia 29 tahun, kedua-duanya cantik, bergaya dan berpendidikan tinggi tetapi di Latvia, bukan mudah mencari lelaki yang layak menjadi calon pasangan mereka. 

Dania bekerja di syarikat yang mana 98 peratus rakan sekerjanya ialah wanita. 

“Tiada masalahnya sebenarnya tetapi sesekali anda mahukan rakan lelaki untuk berfoya-foya atau berbual. Ia lebih menarik,” katanya sambil ketawa. 
Zane pula menambah: “Sebab itulah rakan saya ke luar negara dan menemui teman lelaki di sana.” 

Ketika lebih ramai lelaki dilahirkan di Latvia berbanding perempuan, keseimbangan di kalangan penduduk dewasa bertukar mendadak. 

Kadar kematian yang tinggi di kalangan lelaki bermakna bilangan wanita di negara itu lapan peratus lebih daripada lelaki. Malah ketidakseimbangan jantina itu jelas dapat dilihat di dewan kemasukan Universiti Latvia di Riga. 

Menurut pakar sosiologi dan pensyarah Baiba Bela, lebih 50 peratus penuntut yang diterima masuk ke situ adalah wanita. Katanya, itu bermakna wanita sukar menemui pasangan yang mempunyai tahap pendidikan sama tinggi. 

Lebih malang, apabila lelaki cenderung untuk mati muda dan empat kali lebih berkemungkinan membunuh diri. 

“Kali pertama ketidakseimbangan jantina ini nampak ialah antara 30 dan 40 tahun. Dalam kumpulan umur itu, kadar kematian lelaki ialah tiga kali lebih tinggi berbanding wanita umur saya. 

“Memandu, ketagihan alkohol dan kemalangan di tempat kerja lebih berisiko kepada lelaki berbanding wanita,” katanya. 

Wanita Latvia juga secara puratanya, hidup 11 tahun lebih lama berbanding lelaki - perbezaan jangka hayat paling tinggi antara jantina di Kesatuan Eropah. 

Agris Rieksts, jurutera perisian berusia 28 tahun, berkata wujudnya budaya gagah di Latvia, yang menggalakkan tindak tanduk berisiko seperti memandu laju, merokok dan mabuk. 

“Ia dikaitkan dengan kelelakian, lebih banyak ambil alkohol, anda lebih nampak jantan. Semua orang tahu itu mengarut tetapi ia masih berlaku,” katanya. 

Penganalisis psikologi, Ansis Stabingis, yang merawat lelaki kemurungan dan kecenderungan membunuh diri, berkata peralihan Latvia kepada negara kapitalis 20 tahun lalu tiba-tiba meletakkan tekanan berat ke atas lelaki untuk berjaya daripada segi kewangan. 

Krisis ekonomi, yang menjadikan kadar pengangguran meningkat 20 peratus, menjadikan usaha untuk selesa dalam kewangan semakin sukar dicapai. 

Akibatnya, menurut kerajaan Latvia, apabila krisis memuncak pada tahun 2008, kes bunuh diri yang sudah pun tercatat antara yang tertinggi di Kesatuan Eropah, meningkat kepada 16 peratus. 

“Ada tuntutan mengenai bagaimana lelaki sepatutnya hidup dan jika tidak memenuhi piawaian itu, mereka berdepan masalah kemurungan. Mereka juga mula mengambil alkohol atau berjudi kerana tidak dapat menyelesaikan masalah itu,” kata Ansis. 

Buat masa ini, lebih 80 peratus kematian disebabkan bunuh diri adalah lelaki. Ansis percaya wanita Latvia lebih tabah berdepan dengan masalah kemurungan dan lebih berkemungkinan meminta bantuan profesional berbanding lelaki. 

Ketika Latvia mencatatkan bilangan ibu tunggal paling tinggi di Kesatuan Eropah, Ansis, berkata wanita cenderung untuk meneruskan hidup demi anak-anak. 

Info 
Wanita Latvia
 


  •  Latvia memiliki lapan peratus lebih ramai wanita berbanding lelaki. 

  •  Dalam lingkungan usia 30 hingga 39 tahun, wanita 3,000 lebih ramai berbanding lelaki. 

  • Jangka hayat wanita secara purata 11 tahun lebih panjang, perbezaan paling tinggi di Kesatuan Eropah.
  • No comments:

    Post a Comment