Pages

Thursday, November 11, 2010

Lebih banyak penerbangan dibatal


Gunung Merapi terus menghamburkan debu di udara menyebabkan banyak syarikat penerbangan terpaksa membatal sementara penerbangan. - REUTERS


JAKARTA 10 Nov. - Lebih banyak penerbangan dibatalkan hari ini ekoran debu daripada letupan gunung berapi paling aktif di Indonesia terus menyelubungi ruang udara negara ini.
Seorang pakar gunung berapi kerajaan berkata, letupan Gunung Merapi di Jawa Tengah semakin perlahan tetapi disebabkan abu gunung berapi yang menyelubungi ruang udara, syarikat penerbangan Hong Kong, Cathay Pacific dan Australia, Qantas telah membatalkan penerbangan mereka.
Abu gunung berapi menjadi punca utama gangguan penerbangan di dalam dan luar Indonesia hujung minggu lalu serta memaksa Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memendekkan lawatannya ke negara ini.
Menurut Cathay, mereka membatalkan penerbangan dari dan ke Jakarta hari ini dan esok, sementara Qantas membatalkan pernerbangan Sydney-Jakarta hari ini.
"Cathay Pacific akan memantau dan menilai situasi serta kemungkinan menyambung semula penerbangan," kata syarikat penerbangan itu di dalam laman webnya, hari ini.
Jetstar, syarikat penerbangan tambang murah Qantas, turut mengubah jadual penerbangan mereka untuk penerbangan ke dan dari Bali.
Ekoran kebimbangan debu gunung berapi, lapangan terbang Yogyakarta yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Gunung Merapi mungkin terus ditutup hingga Isnin ini, menurut pegawai kerajaan.
Sementara itu, angka korban akibat letupan Gunung Merapi yang meletus sejak akhir bulan lalu dilaporkan meningkat kepada 191 orang hari ini dengan lebih 340,000 lagi terpaksa dipindahkan ke kem-kem sementara. - AFP

No comments:

Post a Comment