Pages

Monday, November 8, 2010

Ginseng popularkan Korea Selatan



TANAMAN herba ginseng dan rakyat Korea tidak boleh dipisahkan.


"LIHAT! Ia sangat besar!" jerit Han Myung-Ja, 52, dengan wajahnya yang diselaputi lumpur. Namun, dia tetap ceria lalu terjun ke dalam rongga tanah yang baru digalinya untuk mencari akar ginseng gergasi.
Wanita itu kemudian meletakkan akar berbentuk manusia itu ke dalam bakul sebagai hadiah untuk keluarga dan rakan-rakannya. Myung-Ja ialah salah seorang daripada puluhan rakyat Korea Selatan yang melakukan perkara yang sama pada festival ginseng terbesar di negara itu.
Herba ginseng atau lebih dikenali masyarakat Korea sebagai 'akar kehidupan' disebabkan khasiatnya dalam bidang kesihatan, tumbuh liar di lembah dan lereng bukit yang redup. Ia mula ditanam di semenanjung itu sejak 1,500 tahun lalu.
Perangsang syahwat
Penggemar-penggemarnya percaya bahawa herba itu mampu meningkatkan daya ketahanan tubuh terhadap tekanan dan keletihan serta bertindak sebagai perangsang syahwat. Walaupun begitu, sesetengah dakwaan itu sukar dibuktikan secara saintifik.
Tahun lalu, Korea Selatan menghasilkan 27,460 tan ginseng, dianggarkan bernilai AS$700 juta (RM2.16 bilion) merangkumi nilai eksport lebih AS$21 juta (RM65 juta).
Daerah Geumsan, kira-kira 130 kilometer (km) di selatan Seoul, merupakan hab bagi industri berkenaan. Pasaran ginseng beroperasi sepanjang tahun dan menyumbang 80 peratus daripada keseluruhan perdagangan negara itu.
Geumsan juga menerima lebih sejuta pengunjung setiap tahun semasa festival ginseng berlangsung. Pada festival tersebut, akar ginseng dijadikan hadiah utama. Pada tahun ini, ia berlangsung pada 3 hingga 12 September lalu.

SEORANG petani di Geumsan menunjukkan akar ginseng yang berjaya digali keluar dari kawasan penanamannya.


Festival tahun lalu berjaya mengumpulkan sebanyak AS$76 juta (RM235 juta) termasuk penjualan ginseng mentah yang mencecah AS$27 juta (RM83 juta) dan mencatatkan penjualan pelbagai produk herba bernilai AS$13 juta (RM40 juta) sempena acara itu.
"Mengikut legenda, ginseng yang pertama di dunia ditemui di negara itu dan kualitinya sangat baik disebabkan kesuburan tanah dan cahaya matahari yang mencukupi," kata Datuk Bandar Geumsan, Park Dong-Cheol.
Acara sempena festival itu lebih daripada sekadar menggali akar-akar. Turut dianjurkan adalah pertandingan memasak menggunakan ginseng yang menggalakkan penyertaan kreatif para peserta.
Antara menu menarik adalah popia berinti ginseng dan sayur-sayuran yang digunakan untuk membentuk model rumah-rumah tradisional Korea.
"Ia nampak cantik dan menyelerakan," kata seorang pengunjung dari Rusia, Annar Krasnova, 22.
Pengunjung-pengunjung yang hadir boleh mencuba pelbagai produk secara percuma, sementara para peniaga, mereka sibuk melayan urusan tempahan.
"Kami berjaya menjual dengan jumlah yang banyak di sini. Saya datang sejak tahun lepas dan bercadang untuk datang lagi pada tahun hadapan disebabkan jumlah pengunjung yang begitu ramai," kata Lee Hyo-Jin, yang menjual jeli ginseng dan snek.
Sepanjang ekspo itu, lebih 150 tan produk-produk ginseng berjaya dijual setiap hari kepada pengunjung tempatan dan dari luar negara.
Kesuburan tanah
Festival itu turut menawarkan pengunjung peluang untuk menggali ginseng, selain aktiviti lain seperti pemeriksaan kesihatan percuma, mencuba topeng rawatan muka ginseng, urutan menggunakan minyak aromaterapi ginseng dan rendaman kaki dengan air yang dicampur pelbagai herba.
RAWATAN kosmetik ginseng semakin meraih populariti.


Kebanyakan pengunjung bersemangat melakukan pemeriksaan kesihatan dan menerima rawatan percuma tanpa mengeluh akibat barisan menunggu yang panjang.
Festival yang menyambut ulang tahunnya ke-30 tahun ini turut menyaksikan pembukaan Institut Penyelidikan Herba dan Ginseng Antarabangsa. Projek bernilai AS$14 juta (RM43 juta) itu mempunyai 11 orang penyelidik yang berdedikasi membuktikan khasiat kesihatan dari ginseng dan memajukan proses penanamannya.
"Kami bercadang untuk menambah jumlah penyelidik kepada 21 orang dalam tempoh lima tahun ini dan kini sedang membina beberapa makmal untuk penyelidikan projek," kata Park.
Datuk Bandar itu berkata, matlamat pelaburan itu adalah untuk menggiatkan pengeluaran ginseng secara saintifik. Ia sekali gus menjadikannya mudah didapati oleh pembeli. Dalam masa yang sama, semua usaha itu adalah untuk mempromosikan herba tersebut secara meluas di luar negara.
"Ginseng dan rakyat Korea tidak boleh dipisahkan. Ia merupakan ubat dan makanan kami, oleh itu kami akan cuba menunjukkan khasiatnya kepada orang luar melalui festival ini," ujar Park. - AFP

No comments:

Post a Comment