Pages

Sunday, November 21, 2010

Dua kanak-kanak hilang empat jam disembunyikan bunian?





NOOR Shaiera Aunie (kanan) dan adiknya, Noor Alia Safilah menunjukkan gambaran lembaga hitam yang menyorok mereka di Taman Krubong Jaya, Melaka, semalam.


MELAKA 20 Nov. - Kehilangan dua kanak-kanak perempuan selama hampir empat jam sebelum ditemui semula dalam keadaan terpinga-pinga tidak jauh dari rumah mereka menjadi misteri kepada penduduk di Taman Krubong Jaya, di sini.
Malah, ini bukan kali pertama berlaku kerana dua kanak-kanak itu, Noor Shaiera Aunie Zulkarnain, 8, dan Noor Alia Safilah, 6, pernah 'hilang' di tempat yang sama iaitu berhampiran taman permainan rumah mereka pada bulan Mei lalu.
Kejadian misteri yang terbaru itu berlaku pukul 7 petang semalam, ketika dua kanak-kanak tersebut bermain di taman permainan yang terletak kira-kira 50 meter dari sebuah pusat asuhan kanak-kanak, tempat ibu mereka bekerja.
Ibu mereka, Erny Yunista Hashim, 36, berkata, sebelum itu kedua-dua anaknya berada bersamanya di pusat asuhan kanak-kanak.
Kira-kira pukul 6.30 petang, katanya, dua anaknya itu pergi taman permainan dan pulang setengah jam kemudian untuk minum air sebelum ppergi semula ke taman permainan tersebut.
"Lima minit kemudian, saya pergi mencari mereka di kawasan taman permainan tersebut dan sekitarnya termasuk berhampiran beberapa batang pokok pisang di situ tetapi tidak menemui mereka.
"Saya kemudian pulang ke rumah kerana menyangka dua anak saya itu sudah pulang ke rumah kami yang terletak kira-kira 100 meter dari situ," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.
Namun, kata Erny Yunista, selepas mendapati dua anaknya itu tiada di rumah, dia meminta bantuan beberapa orang penduduk untuk mencari mereka di sekitar kawasan taman permainan sehingga ke kawasan sungai berhampiran, namun hampa.
Tambahnya, dua anaknya itu hanya ditemui kira-kira pukul 10.45 malam dalam keadaan terpinga-pinga di kawasan pokok pisang, hanya 50 meter dari rumah mereka sebaik sahaja seorang bilal membaca selawat dan melaungkan azan.
"Saya pelik, kerana sebelum itu saya dan penduduk sudah cari mereka di situ tetapi tidak jumpa," katanya.
Tambahnya, pada Mei lalu, dua beradik itu pernah hilang ketika bermain di taman permainan yang sama pada pukul 7.30 malam.
Sementara itu, Noor Shaiera berkata, dia dan adiknya didatangi dua lelaki berwajah hitam yang tidak memakai baju menaiki sebuah kenderaan hitam ketika dalam perjalanan pulang dari taman permainan itu kira-kira pukul 7 petang.
Ketika itu, katanya, dia nampak kedua-dua lelaki itu mengikut mereka dari arah belakang dalam keadaan marah.
Dakwanya, dua lelaki itu kemudian mendukung dia dan Noor Alia sebelum mencampakkan mereka di sebuah tempat yang kotor.
"Lelaki ini kemudian memukul saya dan adik di kedua-dua kaki dengan kayu sehingga menyebabkan saya pengsan.
"Sebelum pengsan, saya ada nampak ibu mencari-cari kami namun tidak mampu menjerit memanggil ibu," katanya.
Dakwanya, kedua-dua lelaki hitam itu hanya melarikan diri apabila melihat kedatangan bilal.

1 comment:

  1. ALLAH suruh manusia berfikir dengan baik.DIA akan lihat siapa yang ambil pengajaran daripadanya.

    ReplyDelete