Pages

Sunday, November 7, 2010

Dibunuh lebah betina








LEBAH mungkin akan menjadi haiwan yang paling diingati oleh Khersiyah Engku Hassan, 51, ibu lima anak di Kampung Tanah Lot, Pasir Gajah, Kemaman, Terengganu.
Peristiwa suaminya, Din Ali bergelut dengan serangan sekumpulan lebah di depan matanya sehingga menemui ajal baru-baru ini tentu sukar dilupakan.
Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, pasangan suami isteri itu berjalan pulang selepas menoreh getah di kebun mereka.
Ketika berjalan kaki, seekor lebah hinggap di pipi Khersiyah lalu dia menamparnya sehingga mati.
Sejurus selepas itu, muncul sekumpulan lebah yang tidak tahu dari arah mana terus menyerang dan menyengat mereka berdua.
Ia berlaku begitu pantas. Dalam keadaan kelam-kabut itu, Din mengarahkan agar mereka berpecah. Khersiyah melihat suaminya terjatuh beberapa kali ketika cuba menyelamatkan diri daripada amukan segerombolan lebah itu.
“Kaki kiri suami saya pernah patah akibat kemalangan. Dia juga mengalami sakit jantung dan kencing manis,” ujar Khersiyah.
Din, 54, akhirnya disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk menerima rawatan di Hospital Kemaman selepas terkena sebanyak 102 sengatan di muka dan badannya.


PADA kebanyakan masa, lebah tidak menyerang manusia kerana manusia bukan makanan serangga itu.




“Saya tidak tahu kenapa lebah tersebut menyerang kami, tapi saya rasa ia mungkin disebabkan saya telah membunuh seekor lebah yang hinggap di pipi saya,” ujarnya yang hanya dimasukkan ke wad hospital semalaman ekoran sengatan serangga itu.
Lain pula ceritanya dengan seorang pencari madu lebah, Zamri Zakariah, 37. Zamri sudah lali terkena sengatan lebah.
Katanya, setiap dua bulan sekali, apabila dia ke hutan mencari madu pasti dia akan disengat serangga itu.
Bisa
Kata Zamri, bila disengat lebah, dia memang akan tersentak kerana ia seperti jarum yang menusuk ke tubuh. Ia meninggalkan kesan bengkak.
“Kalau kena sengat lebah, saya biarkan sahaja. Takkan bunuhnya. Kalau saya bunuh, dalam seminit dua percayalah akan ada beratus ekor lebah menghurung saya,” katanya.
Menurutnya, jika terkena sengatan di bahagian sendi tubuh, sakitnya seperti sampai ke tulang. Rasa sakitnya boleh dirasai sampai lima hari.


HANYA lebah betina boleh menyengat mangsa.




“Apabila diserang lebah, elakkan bergerak kerana lebah amat sensitif terhadap benda bergerak. Jangan berlari sebaliknya cari semak dan menyorok. Meniarap juga boleh menyelamatkan diri.
“Mencari sungai atau kolam dan terjun ke dalamnya boleh membawa risiko bahaya lain,” katanya yang juga Pengarah Operasi sebuah syarikat pengeluar madu lebah, Syairtimur Enterprise.
Menurut pensyarah dari Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mengkaji tentang lebah, Datuk Prof. Dr. Makhdzir Mardan, jika mengambil kira isi padu dengan nisbah tubuh, lebah disifatkan lebih berbisa daripada ular.
“Cuma volum atau amaun bisa yang dikeluarkan seekor lebah lebih rendah.
“Jika sekawan lebah menyengat seorang manusia, bisa yang dihasilkan sudah tentu akan lebih kuat daripada seekor ular,” kata Makhdzir ketika dihubungi Jurnal.
Bagaimanapun, Makhdzir berkata, dalam 90 peratus kes, lebah tidak menyerang manusia. Ini kerana ia bukan serangga penyerang dan manusia bukan makanannya.
Ia adalah serangga yang bertugas menghimpun polen, manisan dan nektar. Ia hanya makan madu bunga dan debunga.
Lebah hanya menyerang jika ia terancam. Menurut Makhdzir, kebanyakan sebab ia menyerang adalah apabila diserang helang atau gangguan lain seperti dikacau manusia.

BAHAGIAN tubuh seekor lebah. Sengat yang berbisa terletak di hujung abdomen.



“Lebah yang menyerang dan boleh menyengat hanyalah lebah betina,” ujarnya sambil memberitahu kebanyakan mangsa serangan lebah ialah penoreh getah.
“Lebah yang berasa terancam akan mengeluarkan satu penggera feromon untuk memberitahu rakan-rakannya. Feromon juga boleh melekat pada bahagian tubuh manusia yang disengat.
“Oleh itu, jika seekor lebah telah menyengat di satu bahagian tubuh, lebah-lebah lain yang datang akan cenderung menyengat di bahagian yang sama,” katanya yang memberitahu bau feromon itu seperti bau pisang masak.
Makhdzir menambah, sungguhpun lebah itu mungkin menyerang manusia hingga mati, lebah yang menyengat itu juga akan mati.
“Apabila menyengat, lebah akan mengeluarkan sepertiga daripada pundi racunnya dan ada ototnya yang tertanggal, menyebabkan sistem tubuhnya terjejas dan mati.
“Lebah ialah serangga kamikaze yang sanggup terkorban demi melindungi ummahnya,” ujar Makhdzir.

No comments:

Post a Comment