Pages

Monday, November 22, 2010

Bulusan hambur debu kali keenam



PENDUDUK memerhatikan hamburan debu Gunung Bulusan yang terletak di wilayah Sorsogon, tengah Filipina, semalam. - REUTERS


MANILA 21 Nov. - Beratus-ratus penduduk terpaksa melarikan diri selepas gunung berapi Bulusan di Filipina hari ini menghamburkan debu yang menghujani kampung-kampung di sekitarnya.
Penduduk di dua kampung dekat Gunung Bulusan meninggalkan rumah mereka selepas kepulan abu menjulang kira-kira dua kilometer ke udara dari gunung setinggi 1,565 meter itu.
Ia merupakan letusan debu keenam sejak beberapa minggu kebelakangan ini namun tidak ada bahaya letusan besar, kata pakar gunung berapi kerajaan.
"Penduduk yang dipindahkan adalah mereka yang paling terdedah kepada ancaman abu seperti kanak-kanak, golongan tua, wanita mengandung dan ibu yang menyusukan anak," kata ketua kawalan bencana, Jose Lopez kepada televisyen ABS-CBN.
Mangsa dibawa ke sekolah-sekolah kerajaan yang digunakan sebagai pusat penempatan sementara, katanya.
Lebih 750 penduduk telah meninggalkan rumah masing-masing sejak Gunung Bulusan mula menghamburkan abu pada 6 November lalu.
Seorang lelaki yang menghidap asma meninggal dunia akibat abu dari gunung itu pada 11 November lalu. - AFP

No comments:

Post a Comment