Pages

Sunday, November 28, 2010

Amaran Komander Korea Selatan



POLIS rusuhan bergelut dengan bekas anggota pasukan Underwater-Demolition Team semasa perhimpunan antikerajaan di Seoul, Korea Selatan, semalam. – Agensi


SEOUL 27 Nov. - Komander Tentera Marin Korea Selatan, Leftenan Jeneral Yoo Nak Joon berikrar akan membalas dendam 'beribu-ribu kali ganda' atas serangan Korea Utara yang meragut dua anggotanya ketika penunjuk perasaan menuntut kerajaan bertindak lebih keras terhadap negara jirannya itu.
Dua anggota marin yang maut hari ini diberi penghormatan dengan tembakan meriam ketika keranda mereka diarak sambil diiringi kaum keluarga dan para pegawai memberikan tabik hormat semasa perarakan, beberapa hari selepas Korea Utara melancarkan tembakan meriam ke sebuah pulau kecil dalam satu serangan paling buruk sejak perang sivil 1950-1953.
"Semua anggota marin termasuk yang sedang berkhidmat atau dalam pasukan simpanan akan menuntut bela di atas kematian mereka dalam apa juga cara kerana kemarahan dan permusuhan ini tidak akan kami lupakan.
"Kami juga akan serapkan rasa marah ke tulang kami untuk membalas dendam terhadap Korea Utara," katanya di hadapan kereta mayat yang dilitupi sedikit salji.
Dua anggota marin dan dua penduduk awam maut dalam serangan ke atas Pulau Yeonpyeong di sempadan yang menjadi rebutan Korea Utara.
Tiga tunjuk perasaan turut diadakan di ibu negara selepas majlis pengkebumian, ketika kapal induk pesawat pengangkut Amerika Syarikat (AS) tiba bagi menyertai latihan tentera bersama Korea Selatan esok, yang mendatangkan amaran dari satu-satu sekutunya, China.
"Masanya sudah tiba untuk kita bertindak. Kita perlu serang istana Presiden di Pyongyang," laung kira-kira 1,000 veteran marin di pusat bandar raya Seoul sambil membakar gambar pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il dan anaknya, Kim Jung-un.
Di lokasi lain, anggota-anggota pasukan Underwater-Demolition Team turut membantah Korea Utara dan kerajaan kerana mengabaikan pengorbanan mereka dalam misi risikan. Penunjuk perasaan terpaksa bersurai selepas polis menggunakan pemadam api.
Agensi berita Yonhap dalam pada itu melaporkan, Presiden Lee Myung-bak mengadakan satu mesyuarat dengan pegawai keselamatan.
Media tempatan menyatakan, Menteri Pertahanan Korea Selatan yang baru, Kim Kwan-jin meminta supaya tindakan lebih tegas diambil selain rancangan kerajaan untuk menaikkan peruntukan pertahanan tahun depan.
"Kita perlu bertindak balas terhadap provokasi Korea Utara dengan tegas. Kita juga perlu melancarkan serangan balas dengan lebih teruk," katanya. - Reuters

No comments:

Post a Comment