Pages

Thursday, November 4, 2010

'Amarah' Merapi belum reda'



Laporan dari Yogyakarta, Indonesia oleh Syed Azman Syed Ali
bhnews@bharian.com.my
2010/11/04

SARJU gigih memotong tumbuhan untuk makanan ternakan berhampiran bekas sungai lahar Gunung Merapi (belakang) di desa Balentren tanpa menghiraukan keselamatan diri.
SARJU gigih memotong tumbuhan untuk makanan ternakan berhampiran bekas sungai lahar Gunung Merapi (belakang) di desa Balentren tanpa menghiraukan keselamatan diri.
Penduduk kembali teruskan kerja harian tanpa hiraukan keselamatan 

SEHINGGA semalam, Gunung Merapi yang mengorbankan 38 mangsa belum menunjukkan tanda kembali tenang apabila terus meletuskan awan panas dan guguran lahar kecil.
Namun, ketika status awas gunung berapi masih dikekalkan, terdapat ramai warga desa sekitar radius 10 kilometer (km) mula kembali ke kawasan itu meneruskan aktiviti melombong pasir, mencari rumput gunung dan menjaga ternakan.
Kebanyakan penduduk ditemui percaya ‘amarah’ Merapi semakin lemah dan kemungkinan gunung berapi paling aktif di dunia itu meletup adalah kurang selepas mengeluarkan awan panas atau wedhus gembel dan isi laharnya, beberapa kali sebelum ini. 

Ramai berulang-alik dari tempat pemindahan ke kawasan rawan bencana itu setiap hari dengan pelbagai tujuan. 

Antaranya bapa kepada seorang anak, Sarju, 27, yang ditemui sedang mencari rumput gunung untuk dijual di kawasan bekas laluan lahar di Balerante di daerah Klaten, 7km dari kaki Gunung Merapi, iaitu kawasan yang terletak dalam status awas (bahaya). 

“Kalau keadaan aman begini tidak takut. Awan panas tidak ke sini,” katanya ketika ditemui di Belarante, yang juga kawasan perlombongan pasir di timur gunung berapi, ketika Merapi meletuskan awan panas ke arah bertentangan ke kawasan Kali Gendol. 
Beliau berulang-alik dari Balai Pemindahan Sementara di Bauan, tempat anak dan isterinya tinggal dan mula kembali mencari rumput untuk dijual dan sebagai makanan ternakan lembu selepas Merapi meletus awan panas seminggu lalu. 

Rakan Sarju, Triono, 21, bekerja sebagai pelombong pasir masih belum berani melombong pasir walaupun ada beberapa warga desa mula ke kawasan perlombongan berhampiran gunung itu. 

“Libur (rehat) dulu, bila kondisi (keadaan) makin baik lantas sambung kerja,” katanya yang menerima upah sekitar RM20 sehari sebagai pelombong pasir gunung berapi yang digunakan sebagai bahan binaan. 

Katanya, penduduk kembali ke kawasan itu untuk melihat rumah dan ternakan masing-masing pada sebelah siang sebelum kembali berlindung di tempat pemindahan sementara yang lebih selamat pada sebelah malam. 

Tinjauan Berita Harian di kawasan terjejas termasuk di Sleman dan Klaten mendapati kebanyakan mangsa dipindahkan, masih trauma khususnya golongan wanita, warga tua dan kanak-kanak. 

Sukarelawan Yayasan ACT di balai pemindahan sementara di Wukirsari, Didi Abdul Rahman, berkata mangsa terutama kanak-kanak memerlukan sokongan moral untuk menghadapi situasi sukar itu. 

“Kita mahu mereka melupakan kesedihan itu dengan mengadakan pelbagai aktiviti,” katanya sambil memantau 50 kanak-kanak yang menangkap ikan untuk dilepaskan dalam dua kolam buatan berdekatan lokasi pemindahan itu, antara aktiviti menangani pos-traumatik anjuran NGO itu. 

Selain menonton filem di layar pacak, pertandingan bola sepak dan permainan lain turut diadakan di pusat pemindahan bagi mengelakkan mangsa berasa bosan, sekalipun keadaan di pusat pemindahan kurang selasa serta serba terhad. 

Bagi ibu anak satu, Sriwahyu Nisrom, 23, yang sudah 10 hari berada di pusat pemindahan di SMP Negeri 2, Changkringan, berkata beliau berdoa keadaan semakin baik supaya dapat pulang ke rumahnya di Kampung Jambu yang terletak 7km dari pusat pemindahan itu. 

Seperti puluhan ribu penduduk terjejas, Sriwahyu berharap Gunung Merapi kembali tenang selepas mengorbankan 38 orang termasuk jurukunci, Mbah Maridjan ketika tsunami dan gempa bumi di kepulauan Mentawai, Sumatera Barat.

No comments:

Post a Comment