Pages

Wednesday, November 24, 2010

378 mati dipijak

ANGGOTA polis Kemboja memeriksa mayat  mangsa  di luar Hospital  Calmette di Phnom Penh, semalam.
ANGGOTA polis Kemboja memeriksa mayat mangsa di luar Hospital Calmette di Phnom Penh, semalam.


Foto
SEORANG pengunjung cuba menyelamatkan diri dari celah timbunan tubuh yang tidak sedarkan diri.

Foto
MAYAT pengunjung bergelimpangan di atas jambatan.


PHNOM PENH (Kemboja): Pasukan penyelamat, semalam meredah sungai berlumpur untuk mencari ramai lagi mayat ketika Kemboja meratapi tragedi kematian 378 rakyatnya manakala beratus-ratus lagi cedera akibat dipijak beribu-ribu pengunjung festival.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen menyifatkan ia tragedi terbesar negara itu sejak tragedi pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Khmer Rouge pada 1970-an.
Beribu-ribu pengunjung panik yang meraikan festival berakhirnya musim hujan di sebuah pulau di tengah sebuah sungai cuba untuk melarikan diri melalui jambatan yang sempit di Phnom Penh pada lewat malam, semalam.

Ramai pengunjung yang dipijak ataupun jatuh ke dalam sungai. Mangsa yang keliru pula cuba untuk menyelamatkan diri di tengah-tengah lautan manusia dengan menolak sesama sendiri di setiap arah. Selepas insiden pijak-memijak itu, beratus-ratus mayat bertindihan antara satu sama lain di jambatan berkenaan, sementara pasukan penyelamat memenuhi kawasan itu.


Operasi mencari mayat di dalam dan sepanjang Sungai Bassac diteruskan, semalam.
Kejadian mengerikan malam itu yang disiar di televisyen kebangsaan menunjukkan mangsa sama ada yang masih hidup atau sudah mati bertindihan sesama sendiri.

Sesetengahnya pula menghulurkan tangan sambil menjerit meminta tolong dan ada yang menarik tangan petugas penyelamat yang bersusah-payah membantu mereka yang terperangkap.

Tidak dapat dipastikan apakah punca ynag menyebabkan insiden pijak-memijak itu berlaku. Pihak polis dan saksi kejadian mendakwa jambatan sempit itu tidak menyediakan laluan keluar masuk yang cukup luas ke pulau itu.

Dua ahli perniagaan warga Singapura yang mengendalikan sistem bunyi dan lampu untuk festival itu berkata, pihak berkuasa menutup laluan di jambatan lain sejak awal-awal lagi hingga memaksa berpuluh-puluh ribu pengunjung menggunakan satu laluan saja.

Seorang saksi berkata, insiden mengerikan itu bermula apabila beberapa pengunjung pitam akibat ditolak dalam kesesakan itu. Seorang lagi saksi yang terselamat pula berkata, dia mendengar siren polis sebelum pengunjung mula panik.

“Saya benar-benar terkejut. Saya sangka saya akan mati di situ juga. Mereka yang kuat dapat menyelamatkan diri tetapi ramai wanita dan kanak-kanak terkorban,” kata Chea Srey Lak, seorang wanita 27 tahun yang ditolak oleh ribuan pengunjung yang panik di jambatan itu.

Dia berjaya menyelamatkan diri tetapi memberitahu seorang wanita tua berusia 60 tahun yang terbaring di sebelahnya mati dipijak beratus-ratus pengunjung yang berlari menyelamatkan diri.

“Saya dengar banyak tangisan dan jeritan meminta tolong di mana-mana saja, tetapi kami tidak dapat membantu antara satu sama lain. Semua orang hanya berlari,” ujar Chea di Hospital Calmette, di mana dia menerima rawatan di kaki dan tangannya yang tercedera.

Sementara itu, van ambulans bergegas pergi dan balik berulang kali dari tempat kejadian ke hospital selama beberapa jam. Hospital Calmette yang menjadi pusat perubatan utama di Phnom Penh dipenuhi dengan mayat mangsa, selain mereka yang cedera hingga ada yang terpaksa dirawat di ruang masuk utama, manakala sanak-saudara mencari orang yang tersayang. - AP

No comments:

Post a Comment