Pages

Saturday, October 30, 2010

Tsunami: Bekalan bantuan sukar



Penduduk kampung membantu menutup mayat-mayat mangsa tsunami di Kampung Muntei Baru di daerah kecil Cikakap Kepulauan Mentawai dengan plastik. Pihak berkuasa Indonesia kini berhadapan kesulitan untuk menghantar bekalan bantuan kepada mangsa di pulau-pulau terpencil yang terjejas akibat tsunami. - REUTERS


PAGAI UTARA 29 Okt. - Indonesia hari ini berhadapan kesulitan untuk menghantar bekalan bantuan ke pulau-pulau terpencil yang dilanda tsunami, yang setakat ini telah mengorbankan lebih 400 nyawa.
Mayat-mayat ditemui bergelimpangan dan ditimbus pasir, beberapa hari selepas ombak besar itu melanda ekoran gempa bumi sekuat 7.7 pada skala Richter pada Isnin lalu.
Pegawai bencana percaya, angka korban akibat tsunami yang menghentam kepulauan Mentawai di Sumatera, Isnin lalu, boleh mencapai 600 orang, apabila kebanyakan mayat dihanyutkan ke laut selepas ombak besar reda.
Kira-kira 13,000 mangsa yang terselamat kini ditempatkan di khemas-khemah sementara di gugusan kepulauan tersebut, setelah rumah mereka musnah dipukul ombak yang dicetuskan gempa bumi tersebut.
Di kepulauan Mentawai, mayat-mayat temui bergelimpangan di pantai, tertanam di dalam pasir dan tersangkut di pokok-pokok.
Angka rasmi kematian tsunami hari ini meningkat kepada 408 dengan 303 dilaporkan masih hilang.
Pegawai berkata, seramai 200 daripada yang hilang, dipercayai tidak akan ditemui hidup-hidup.
Sementara itu, di Sleman, Yogyakarta, gunung berapi paling aktif, Gunung Merapi, hari ini terus menghamburkan lahar dan debu, mengancam penduduk yang pulang ke rumah masing-masing selepas letusan Selasa lalu membunuh 34 nyawa.
"Ia menghamburkan awan panas pada pukul 6.10 pagi ini waktu tempatan sejauh kira-kira 3.5 kilometer ke cerun bahagian selatan, diikuti debu tebal," kata ahli vulkanologi, Heru Suparwoko kepada AFP.
Tambah beliau, gumpalan awan tersebut 'sangat berbahaya' kepada orang ramai yang enggan mematuhi arahan meninggalkan zon bahaya di pulau Jawa atau kepada individu yang kembali ke rumah masing-masing.
Kira-kira 50,000 penduduk kini ditempatkan di pusat penempatan sementara, namun masih ramai yang berdegil dengan kembali ke rumah pada waktu siang, walaupun amaran Gunung Merapi dijangka meletus lagi telah dikeluarkan. - AFP

No comments:

Post a Comment