Pages

Wednesday, October 20, 2010

Suasana politik Indonesia makin panas



Kumpulan pelajar membaling batu ke arah polis semasa mengadakan demonstrasi di Makasar, Sulawesi Selatan membantah lawatan Susilo Bambang Yudhoyono ke wilayah itu, semalam. - AFP


JAKARTA 19 Okt. - Suhu politik Indonesia semakin panas ekoran ura-ura terdapat gerakan untuk menjatuhkan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono melalui demonstrasi jalanan esok, iaitu genap setahun beliau terpilih untuk penggal kedua pemerintahannya.
Walaupun gerakan tersebut dijangka tidak sebesar seperti yang berlaku pada 1998, sehingga menjatuhkan Presiden Indonesia kedua iaitu Suharto, tetapi ia dikhuatiri menjejaskan kestabilan politik republik ini.
Pertemuan Susilo dengan pemimpin Dewan Rakyat dan Dewan Negara semalam, turut dikaitkan dengan perkembangan semasa itu, walaupun ia dinafikan oleh para elit politik terbabit.
Ia adalah pertemuan kedua dilakukan oleh Susilo iaitu kali pertama selepas 100 hari beliau dipilih sebagai Presiden untuk penggal kedua dan berikutan diancam untuk dipecat oleh lembaga pemerintahan tersebut akibat kegagalan Susilo menangani skandal Bank Century.
Ekoran itu Susilo dikatakan akan mengadakan rombakan Kabinet bagi memastikan parti-parti komponen terus memberi sokongan kepada beliau.
Umpan kerusi Kabinet itu dikatakan turut menarik minat Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) pimpinan Megawati Soekarnoputri yang pada masa ini merupakan parti pembangkang yang lantang di Indonesia untuk menyertai komponen pemerintahan Susilo.
Akhbar tempatan, Media Indonesia di dalam lidah pengarangnya mengkritik tindakan Susilo sebagai tidak beretika kerana menjadikan kerusi Kabinet seperti 'urusan jual beli lembu' semata-mata untuk berkuasa.
Namun, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Priyo Budi Santoso menafikan pertemuan itu membincangkan rombakan Kabinet atau soal penggulingan pemerintahan Susilo. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment