Pages

Saturday, October 30, 2010

Siti Balqis mula bengis



Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail dan Mohammad Muda
bhnews@bharian.com.my
2010/10/30

Ibu mahu anak jalani pemeriksaan pakar psikiatri 

JERTIH: Siti Balqis Mohd Nor, 22, yang didakwa sering ghaib dan mengalami gangguan makhluk halus kini berubah sikap apabila berperangai bengis serta enggan makan dan minum selain tinggal dalam bilik khas yang dihias kain kuning serta berbau harum.
Ibunya, Norizan Said, 47, berkata perubahan sikap anaknya itu disedari selepas dibawa pulang dari Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan, kelmarin dan puncanya mungkin kerana emosi tertekan akibat gangguan berterusan dialami gadis berkenaan.
“Saya akan berusaha apa saja kaedah perubatan supaya dia dapat kembali menjalani kehidupan normal. Saya juga akan membawanya mendapatkan pemeriksaan dengan pakar psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu, esok,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Dr A Rahman Mokhtar, berkata kerajaan negeri sedia membantu gadis itu mendapatkan rawatan di mana-mana hospital kerajaan, tambahan pula Siti Balqis adalah pesakit Thalassaemia (Penyakit Sel Darah Merah). 

“Penghidap penyakit ini memerlukan sokongan dan perhatian serius keluarga kerana jika dibiarkan pesakit boleh menjadi tertekan dan emosi yang tidak terkawal,” katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, pakar psikiatri berpendapat Siti Balqis perlu dibawa berjumpa pakar bidang berkenaan bagi mendapatkan penilaian jelas secara saintifik agar gadis itu tidak mengalami tekanan perasaan yang boleh membahayakan termasuk mencederakan diri sendiri. 
Pakar Runding Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahari, berkata penilaian dengan pakar psikiatri membolehkan mas-alah sebenar Balqis diketahui, sekali gus membantu gadis itu mendapatkan penjelasan keseluruhan dengan cara saintifik apa yang berlaku terhadapnya. 

Kisah Balqis dari Kampung Gong Nangka, di sini menggemparkan negara apabila dilaporkan ‘ghaib’ di beberapa tempat termasuk gua dan kubur. Terbaru keluarganya mendakwa Balqis disorok ‘jin Islam’ di Gunung Jerai, Kedah, tetapi dia kemudian ditemui polis di rumah seorang kenalannya di Kuala Klawang, Negeri Sembilan, kelmarin. 

Gadis itu juga sebenarnya keluar seorang diri dari rumahnya di Jertih dan menaiki bas ekspres ke Shah Alam sebelum ke Seremban dan meneruskan perjalanan menaiki teksi ke Kuala Klawang. 

Pakar Psikiatri yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nik Shaliza Hussin, berkata berjumpa pakar psikiatri tidak bermakna Balqis mempunyai masalah mental, tetapi untuk mengetahui jenis bantuan untuk gadis itu. 

“Andai kata Balqis mempunyai masalah psikologi dan tidak diberikan rawatan sepatutnya, pelbagai perkara boleh berlaku seperti berputus asa, murung, putus semangat serta kompilasi dengan diri sendiri. Keluarganya boleh meneruskan rawatan tradisional tetapi pada masa sama perlu mendapatkan khidmat psikologi,” katanya.

No comments:

Post a Comment