Pages

Tuesday, October 12, 2010

Sikap pengguna bagai 'dirasuk'


KESESAKAN teruk di bandar raya Johor Bahru apabila warga Singapura yang seakan-akan menunjuk-nunjuk kereta mereka sering mewarnai jalan di negeri ini. - gambar hiasan


Saudara Pengarang,
WALAUPUN rakyat Malaysia terkenal dengan sikap bersopan-santun, namun apabila memandu di jalan raya, sikap itu hilang begitu sahaja.
Ada segelintir yang seperti 'dirasuk' dengan memandu tanpa mempedulikan keselamatan diri dan pengguna lain.
Bukan menuduh tetapi ramai yang pasti mengakui cara pemanduan rakyat Malaysia memang berbahaya.
Tindakan memotong barisan, memintas dan memecut laju di kawasan bahaya menjadikan angka kemalangan sentiasa meningkat.
Apabila berlaku kemalangan, baru hendak menyesal. Kalau hanya melibatkan kecederaan ringan, mungkin ia boleh menjadi pengajaran, tetapi kalau mengakibatkan kecederaan parah atau kematian, keluarga tercinta yang menjadi beban.
Lebih mendukacitakan, pengguna lain yang tidak berdosa turut menjadi mangsa.
Bukan menuduh melulu, tetapi sikap pemandu di Johor antara yang agak 'bahaya' berbanding kawasan lain.
Tindakan memandu laju dan memotong barisan serta tidak bertolak ansur dengan pengguna lain sering dilihat setiap hari terutama pada waktu puncak.
Sikap pemandu dari Singapura yang seakan-akan menunjuk-nunjuk kereta mereka yang lebih gah juga sering mewarnai jalan-jalan di negeri ini.
Memang tidak dinafikan, tugas penguatkuasaan penting dalam membentuk sikap pemandu yang lebih berhemah.
Di sinilah cabaran besar bagi pegawai penguat kuasa yang bertugas. Memang bukan mudah, tetapi pemandu yang tidak bertanggungjawab ini perlu dididik dan diberi teguran.
Contohnya jelas, semalam saya memandu balik ke rumah di Permas Jaya. Memang laluan agak 'menyesakkan dada' sejak beberapa lama ekoran pembinaan jalan baru dan lebuh raya di kawasan itu. Terdapat beberapa buah kereta yang memotong barisan dalam keadaan bahaya.
Kebetulan terdapat sebuah kereta peronda polis yang turut dipotong oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Pada anggapan saya, pasti kereta peronda ini akan menahan untuk memberi teguran kepada pemandu berkenaan, namun apa yang mendukacitakan, tiada tindakan diambil dan pemandu itu terlepas begitu sahaja.
Walaupun dalam kereta peronda itu bukan anggota polis trafik, tetapi mereka juga bertanggungjawab untuk menahan dan menegur pemandu yang bersikap kurang ajar dan membahayakan orang lain.
Mudah-mudahan dengan teguran ini, ia akan berikan keinsafan kepada pemandu itu atau setidak-tidaknya beri amaran supaya tidak melakukan tindakan sama.
Diharap, pihak berkuasa sentiasa memantau keadaan seperti ini.
INGAT - malang tidak berbau!
PEMANDU JB

No comments:

Post a Comment