Pages

Wednesday, October 20, 2010

Sihir pecah belah institusi keluarga, masyarakat



Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

2010/10/20

Tiada peruntukan undang-undang untuk dakwa pihak pelaku punca aktiviti semakin berleluasa 

SIHIR ataupun ilmu hitam bukan perkara yang baru dalam dunia amnya dan di Malaysia khususnya. Sihir wujud sejak zaman berzaman seperti mana kisah Nabi Musa, ahli sihir menukarkan tali temali menjadi ular untuk berlawan dengan Baginda.Walaupun kita berada pada zaman moden dan menuju era globalisasi, amalan sihir masih diamalkan sesetengah pihak yang ingin memuaskan hawa nafsu tanpa memikirkan kesannya terhadap akidah diri dan orang yang disihirkan, asalkan tujuan pihak yang menyihir tercapai.Ahli sihir biasanya melakukan apa saja yang diminta pelanggan bagi memuaskan hati serta melunaskan dendam kesumat mereka. Asalkan bayaran diberikan lumayan, maka permintaan pelanggan tertunai. 

Oleh itu, berlakulah perbuatan sihir yang mengakibatkan mangsa jatuh sakit secara tiba-tiba tanpa sebarang sebab jelas, gila, bermusuhan, runsing yang kronik, bercerai-berai malah paling menakutkan sehingga boleh membawa maut. 

Sihir secara langsung akan memberi kesan kepada akidah pengamalnya kerana amalan sihir berkait rapat dengan pemujaan syaitan. Maksud sihir seperti mana ditafsirkan oleh Al-Laits, adalah perbuatan yang dapat mendekatkan diri kepada syaitan dengan bantuannya. 

Firman Allah yang bermaksud: “Akan tetapi syaitan itulah yang kufur, mereka mengajar kepada manusia ilmu sihir.” (Surah al-Baqarah, ayat 102) 
Jelas di sini amalan sihir sememangnya berkait rapat dengan syaitan sekali gus memesongkan akidah pengamalnya dan berlaku syirik terhadap Allah. 

Melihat situasi sihir di negara ini, sedar atau tidak amalan itu sememangnya wujud. Walaupun sering kali kita dengar orang yang disihir atau terkena ‘buatan orang’, tetapi tidak ada tindakan boleh dikenakan terhadap yang menyihir selain mengubati orang disihir itu. 

Ada kala kita mengetahui orang yang menyebabkan sihir tetapi tiada sebarang peruntukan undang-undang untuk mendakwa orang yang menyihir dan ini menyebabkan ketidakadilan serta penganiayaan terhadap orang yang kena sihir, kerana yang menyihir terlepas begitu saja. 

Selain kesan sihir daripada sudut akidah, amalan sihir turut memberi kesan terhadap institusi kekeluargaan yang akan menyebabkan perpecahan keluarga. 
Kesan atau pengaruh sihir boleh dilihat dalam kes Mustafa Batcha lawan Habeeba Abd Rahman (1990). Perayu dalam kes itu telah melafazkan talak sebanyak tiga kali. Perayu pada ketika itu mendakwa bahawa dia tidak berniat menceraikan isterinya tetapi melafazkan talak di bawah pengaruh sihir. 

Perayu kemudian mendakwa selepas pergi ke kantin sebuah kilang, fikirannya tidak tenteram. Perayu menyatakan dia selalu bergaduh dan sering memarahi serta memukul isterinya tanpa dia sendiri menyedarinya. 

Dalam keadaan tidak sedar, perayu bertindak membuat aduan kepada pihak berkenaan untuk menceraikan isterinya. Pada masa sama, perayu mendapati bungkusan kain putih di dalam kantin itu dan berusaha berubat secara tradisional berjumpa seorang dukun. Menurut dukun, perayu telah disihir kerana berjaya mendapatkan tender kantin itu. 

Semasa perbicaraan di Mahkamah Rendah, hakim memutuskan jatuh talak tiga terhadap isterinya berdasarkan ikrar yang dibuat perayu tanpa memanggil saksi dan melihat pada keterangan lain. 

Perayu kemudian merayu ke Mahkamah Rayuan Syariah dan memutuskan talak itu dikira sebagai talak satu kerana semasa perayu melafazkan ikrar, beliau dikatakan di bawah pengaruh sihir. 

Oleh itu, ikrar tadi berkait perkara lain sedangkan ikrar hendaklah dipastikan tidak berkait perkara lain. Selain itu, hakim Mahkamah Rendah juga tidak menyiasat dakwaan perayu bahawa semasa melafazkan talak, dia berada di bawah pengaruh sihir. 

Di sini, dapat dilihat kesan sihir boleh menyebabkan perpecahan sehingga membawa kepada perceraian terhadap orang yang tidak bersalah. Jika amalan sihir tidak dikekang, dikhuatiri kesan itu akan merebak dan berlarutan tanpa diketahui penghujungnya. 

Bagi mengatasi masalah ini, cadangan penggubalan undang-undang bagi mengheret pengamal sihir serta pengupahnya ke muka pengadilan adalah relevan. Kewujudan undang-undang sekali gus mengekang pengamalannya secara sewenang-wenangnya tanpa sebarang sekatan. 

Walaupun dikatakan pembuktian mungkin sukar kerana sihir adalah bersifat spiritual dan tidak boleh dilihat dengan mata kasar, namun penghuraian setiap kategori sihir perlu dilaksanakan secara profesional dan metodologi pembuktian perlu mengikut kaedah diiktiraf syariah dan sains. 

Selain itu, kita perlu melihat kesan sihir terhadap pesakit dengan kehadiran pakar dalam rawatan sihir atau perawat yang merawat mangsa sihir. Mereka ini akan memberi keterangan pakar seperti terkandung dalam undang-undang keterangan. Jadi, tidak mustahil dakwaan dapat dibuktikan. 

Pada masa sama, penubuhan satu institusi atau badan dianggotai pakar perubatan daripada bidang sihir diperlukan. Badan itu akan menjadi tempat rujukan mengenai perkara sihir seperti benar atau tidak jika ada pendakwaan sihir dilakukan. 

Bagaimana peruntukan undang-undang berkenaan sihir ingin diwujudkan, apa hukuman jika sabit kesalahan dan siapa boleh memperakui seseorang itu pakar? Penelitian dan perbincangan bersama pihak berkaitan seperti pengamal undang-undang, ahli agama dan pakar berkaitan diperlukan. 

Kewujudan peruntukan jenayah sihir perlu bagi mengekang pengamalan sekali gus menjaga akidah dan membuka mata masyarakat bahawa pengamalan sihir salah satu kesalahan jenayah dalam Islam dan pelakunya tidak boleh terlepas begitu saja. 

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)http://www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment