Pages

Tuesday, October 12, 2010

Penumpang dakwa bas ekspres dipandu laju


pix_gal0
Pemandu dikatakan sentiasa berada di lorong kanan

SEREMBAN: Beberapa penumpang bas Ekspres Delima yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) kelmarin, mendakwa kenderaan itu dipandu laju hingga hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.Pelajar kolej swasta, Shanor Amir, 18, dari Padang Temu, Melaka, berkata dia sedar ketika kejadian berlaku dan dapat merasakan bas berpusing selepas melanggar penghadang jalan.
“Saya tidak tidur seperti sebahagian penumpang lain dan dapat merasakan bas dipandu laju, sebelum berpusing dan terbabas ke laluan bertentangan. 

Kejadian berlaku terlalu pantas dan ramai penumpang tidak menyedarinya kerana ramai yang tidur,” katanya yang cedera muka dan badan ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS), selepas lawatan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. 

Aisyah Mohd Nor, 18, dari Sungai Udang Melaka, juga mendakwa bas dipandu laju, sebaik memulakan perjalanan dari Stesen Melaka Sentral. 

“Bas memang dipandu laju sebaik memulakan perjalanan dan kemudian memasuki lebuh raya,” katanya yang kali kedua menaiki bas itu dari Melaka ke Kuala Lumpur. 
Tox Xue Hui, 23, yang mengakui bas bukan saja dipandu laju, malah sejak awal perjalanan, pemandu dilihat sentiasa mahu berada di lorong kanan dengan memotong kenderaan lain. 

“Sehari sebelum kejadian, saya menaiki bas yang sama untuk ke Melaka dan perasan, ia dipandu pemandu sama. Ketika perjalanan, dia juga memandu laju dan saya anggarkan perjalanan hanya mengambil masa sejam setengah untuk sampai ke Melaka,” katanya yang menerima rawatan di Hospital Pantai Keroh, Melaka. 

Kemalangan menyebabkan Tok Xue dari Ayer Hitam, Batu Pahat dan bekerja di Kuala Lumpur, menerima 15 jahitan pada kepala, selain retak tulang pinggang dan patah tulang selangka. 

Sementara itu, polis tidak menolak kemungkinan faktor kelajuan antara punca bas berkenaan terbabit dalam kemalangan. 

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom, berkata ia akan dikaji pasukan teknikal dengan menghantar bas menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM). 

“Kelajuan memang dalam perkiraan polis, tetapi kita juga melihat faktor lain seperti kerosakan mekanikal yang boleh menyebabkan kemalangan,” katanya. 

Ketua Bahagian Komunikasi dan Pembangunan Perniagaan PUSPAKOM, James Lee, berkata walaupun tiada kotak hitam, kaedah lain boleh digunakan untuk mengetahui kelajuan bas berdasarkan keadaan di lokasi kejadian seperti kesan brek pada jalan dan keterangan saksi. 

No comments:

Post a Comment