Pages

Saturday, October 16, 2010

Nenek 13 cucu nikah pemuda

KODIANG: Perkenalan selama enam bulan melalui laman sosial Facebook membawa ke jenjang pelamin seorang nenek yang mempunyai 13 cucu dengan pasangannya yang 34 tahun lebih muda.
Munah Ishak, 68, berkata, dia dan suami, Mohd Reduan Mohd Noor, 34, berpendapat perbezaan usia bukan penghalang menyatukan mereka malah, menganggapnya sebagai takdir apabila bertemu jodoh dengan lelaki lebih muda.
Malah, dia sudi menerima cinta Mohd Reduan kerana percaya lelaki itu ikhlas mengahwininya walaupun usianya sudah lebih separuh abad.

Pengurus kafe di sebuah institut pengajian tinggi itu berkata, dia memilih 10.10.10 sebagai hari pernikahan di Masjid Jamek pekan Kodiang kerana tarikh itu istimewa dan mudah diingati.

“Saya tertarik dengannya kerana dia seorang lelaki bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap diri saya. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Damai, di sini, semalam.

Menceritakan detik perkenalan dengan pasangan itu, Munah berkata, selepas kematian suami pertama lima tahun lalu akibat sakit jantung, hidupnya sunyi tanpa lelaki bergelar suami.

“Saya mengenali suami melalui Facebook selama enam bulan lalu. Bermula dari situ, kami mengenali hati budi masing-masing sebelum dia menyatakan hasrat mengahwini saya.

“Saya ada berterus terang dengannya yang saya sudah tua dan tidak sesuai dengannya, namun dia tetap berkeras mahu mengahwini saya. Justeru, saya mempelawa dia bertandang ke rumah pada Aidilfitri keempat untuk berkenalan lebih dekat,” katanya yang terkejut dan tidak menyangka Mohd Reduan sanggup datang ke Kodiang seorang diri sebelum terus menyuarakan hasrat hatinya.

Menurutnya, dia kemudian memberi peluang Mohd Reduan berfikir supaya tidak menyesal berikutan faktor perbezaan usia antara mereka selain tidak mungkin dapat memberikannya zuriat.

“Bagaimanapun, dia beritahu tidak kisah kerana pasangan muda yang berkahwin juga tidak dikurniakan zuriat,” katanya yang mempunyai enam anak berusia antara 31 hingga 50 tahun serta 13 cucu hasil perkahwinan pertamanya.

Katanya, semua anak-anaknya tidak membantah keputusannya untuk mendirikan rumah tangga kerana faham keadaannya yang tinggal seorang diri di rumah.
“Semua anaknya tinggal jauh dan ada di Singapura dan Brunei,” katanya.

Sementara itu, Mohd Reduan yang sebelum ini bekerja sendiri di Kelantan ketika ditanya mengapa memilih Munah sebagai teman hidup berkata, sudah tertulis jodohnya dengan Munah kerana wanita itu sungguh istimewa.

“Saya terima dia seadanya... bukan kerana harta, sebaliknya keikhlasannya dan kesediaan menerima saya sebagai suami dan bapa kepada enam anak dan cucu-cucunya,” katanya.

No comments:

Post a Comment