Pages

Sunday, October 10, 2010

Menderita dek sihir pelalau



MURUNG dan suka menyendiri berkemungkinan simptom terkena sihir.


WANITA berusia 44 tahun ini baru bertemu jodohnya dua tahun lalu. Bukan sengaja menolak jodoh atau ingin digelar andartu, namun guru yang mengajar di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur ini menjelaskan ada satu cerita pahit di sebalik kehidupannya.
“Setiap kali pulang ke kampung dan berkumpul dengan saudara-mara, soalan bila mahu kahwin pasti ditanyakan kepada saya.
“Saya memang tidak pernah berniat untuk menolak jodoh tetapi apakan daya, tidak ada seorang pun yang datang meminang saya, melainkan suami saya sekarang,” kata wanita yang mahu dikenali sebagai Jemilah ini.
Dengan usia yang semakin bertambah, naluri anak perempuan tunggal dalam lima beradik ini sudah lama terseksa. Semuanya dikatakan berpunca daripada sihir pelalau yang dititipkan kepadanya melalui rojak buah 22 tahun lalu.
Yang paling menyedihkan, sihir itu dihantar oleh rakan baiknya sendiri.
Murung
“Benda itu ada dalam diri saya sejak di bangku sekolah lagi. Pada mulanya saya fikir saya lemah semangat dan mudah tertekan, sebab itu saya pernah diserang histeria di sekolah beberapa kali.
“Rupa-rupanya saya ialah mangsa sihir. Saya sendiri tidak tahu tapi keluarga dan rakan-rakan rapat yang beritahu,” katanya.
Menurut Jemilah, semasa proses pengubatan, ustaz yang merawatnya mengatakan dia terkena sihir pelalau.
“Pada mulanya saya tidak tahu telah disihir, malah saya tidak percaya kerana seingat saya, saya tidak mempunyai musuh.
“Namun, selepas beberapa kali meracau dan menjadi pemurung, emak dan ayah tidak senang duduk dan mula mengikhtiarkan pelbagai cara untuk mengubati saya.
“Kebanyakan pengamal perubatan tradisional itu memberitahu saya disampuk benda ghaib, namun tidak dapat dipastikan apakah bendanya.
“Sejak itu, kehidupan saya berubah 180 darjah. Saya lebih suka menyendiri. Tidur malam saya tidak lena kerana rasa seperti ditindih dan sering bermimpi perkara yang mengerikan. Kulit saya mula rasa kering dan pedih.
“Mujur sihir itu tidak menjejaskan pelajaran saya. Kalau diingatkan semula, saya tidak tahu bagaimana saya boleh fokus dalam pelajaran sedangkan fikiran saya selalu runsing ketika itu,” kata graduan Universiti Jordan ini.
SIHIR pelalau dipercayai menyebabkan sesetengah wanita lambat mendapat jodoh. - Gambar hiasan


Mula terkena sihir pada tahun 1988 pada usia 22 tahun, jin yang dikatakan bersarang dalam tubuh Jemilah hanya keluar pada tahun 1999.
“Saya sudah puas berubat. Dengar saja ada orang yang pandai mengubat, saya pergi. Kadang-kadang sampai tak larat nak pergi berubat.
“Keadaan saya beransur pulih tetapi ‘benda ghaib’ itu masih ada dalam badan,” ceritanya.
“Sampailah pada tahun 1999, saya berubat dengan seorang ustaz di Rawang, Selangor. Alhamdulillah, berkat usaha dan doa yang tidak pernah putus, dia dapat membebaskan saya daripada sihir tersebut,” imbas Jemilah.
Ditanya bagaimana dia ini mendapat tahu dikenakan sihir pelalau, Jemilah yang berasal dari Klang, Selangor memberitahu, apabila berubat dengan ustaz terbabit, dia pernah meracau.
“Saya tidak sedar apa yang berlaku, tetapi rakan dan emak yang menemankan saya berubat menceritakan semula apa yang terjadi.
“Sebenarnya, selepas ‘dipaksa’ oleh ustaz itu, jin tersebut berterus terang. Siapa yang menghantarnya, melalui cara apa, mengapa dan apa tujuannya,” ujar Jemilah.
Dari situ baru Jemilah tahu segala-galanya.
“Jin yang memasuki badan saya dihantar oleh rakan baik saya. Namanya tidak perlulah saya sebutkan.
“Menurut mereka yang menyaksikan pengubatan itu, jin berkenaan mengaku dia mengacau saya kerana tiga sebab.
“Pertama kerana saya selalu cepat menjawab apabila cikgu bertanya soalan di dalam kelas.
“Kedua, kerana sifat saya yang periang dan disenangi oleh guru dan rakan. Ketiga, kerana saya aktif dalam persatuan dan sering mewakili sekolah dalam pelbagai pertandingan.
“Tujuan saya disihir supaya hubungan saya dingin dengan semua orang yang rapat dengan saya.
“Tidak hairanlah, ramai yang mengatakan muka saya seperti orang kebingungan, mudah marah dan cepat tersentuh,” jelas Jemilah yang baru dua tahun bergelar isteri kepada seorang anak murid ustaz yang mengubatinya dahulu.
Muntah darah
Ceritanya lagi, saat jin itu dikeluarkan, dia memuntahkan semula rojak buah yang dimakan 22 tahun lalu yang diberikan oleh rakannya itu.
ROJAK buah yang dimakan 22 tahun lalu dimuntahkan semula oleh Jemilah. - Gambar hiasan


Mendalami apa itu sihir pelalau, kata Jemilah, sihir jenis itu digunakan untuk menghalang seseorang terutama perempuan daripada dipinang atau dikahwini.
“Mereka yang terkena sihir pelalau dikatakan lambat menerima jodoh kerana apabila ada lelaki yang ingin berdampingan dengannya, mereka akan nampak muka pesakit pucat seperti mayat ataupun tidak berseri,” tambahnya yang bersyukur kerana keluarga memahami masalahnya dan tidak pernah memaksanya berkahwin.
Walaupun pada mata kasar Jemilah boleh dianggap sudah sembuh dan jauh daripada cengkaman pelalau, dia masih dapat merasakan ada benda lain yang menumpang di tubuhnya.
“Ada masanya saya dapat merasakan saya sedang bertarung dengan makhluk lain dalam diri saya. Saya berharap ia cuma ilusi kerana saya sudah tidak sanggup menanggung seksa disihir lagi.
“Bagi wanita di luar sana, jika anda seorang periang dan keletah anda sering menarik perhatian ramai, seeloknya dikurangkan. Takut ada yang busuk hati,” nasihatnya sebelum meminta diri petang itu.

No comments:

Post a Comment