Pages

Thursday, October 21, 2010

Megi menghala ke selatan China


SEBAHAGIAN rumah di sebuah perkampungan di tepi pantai di bandar Maconacon, utara Filipina rosak teruk setelah dibadai taufan Megi, semalam. - AFP


HONG KONG 20 Okt. - Penduduk mula menyimpan bekalan makanan, sementara pihak berkuasa mengarahkan kapal-kapal supaya berada di limbungan, ketika selatan China hari ini bersiap sedia berhadapan taufan Megi selepas ia membunuh 15 orang dan merosakkan tanaman ketika melanda utara Filipina.
Ribut itu yang menghentam Filipina kelmarin sebelum ia bertukar lemah, dijangka menuju pantai di selatan China dan mencecah daratan Sabtu ini.
Taufan tersebut membawa angin selaju 225 kilometer sejam semasa melanda Filipina kelmarin, mengakibatkan rumah-rumah roboh dan merosakkan tanaman padi serta jagung.
Pihak berkuasa melaporkan 15 kematian di wilayah Cagayan, Isabela dan Pangasinan, termasuk beberapa mangsa yang lemas selepas dihempap pokok tumbang.
Biro kaji cuaca Filipina melaporkan, Megi hari ini berada di Laut China Selatan kira-kira 350 kilometer di barat Pulau Luzon, dengan kelajuan angin antara 175 hingga 210 kilometer sejam, namun ia diramal bergerak selepas 12 jam.
Biro Meteorologi Guangdong, China melalui laman webnya melaporkan, taufan itu dijangka mencecah daratan di bahagian tengah atau barat pantai wilayah Guangdong.
Agensi berita Xinhua melaporkan, di Guangdong, pegawai mengarahkan semua bot nelayan supaya kembali ke darat malam semalam, meletakkan ibu pejabat kawalan banjir wilayah dalam keadaan berjaga-jaga dan memberi amaran kepada kawasan tadahan supaya memerhatikan paras air.
Di hab perdagangan utama Hong Kong, penduduk diminta membatalkan aktiviti hujung minggu, namun tiada arahan berpindah dikeluarkan setakat ini.
Cuaca di sini agak mendung hari ini, tetapi balai cerap Hong Kong meramalkan, angin kencang dan hujan lebat bakal berlaku beberapa hari lagi.
Media tempatan memberi amaran kepada penduduk agar bersedia menghadapi situasi paling buruk dengan akhbar Apple Daily menyiarkan satu laporan di muka hadapan bertajuk 'Taufan paling kuat dalam sejarah, Megi, sedang menuju Hong Kong'. - AP

No comments:

Post a Comment