Pages

Monday, October 11, 2010

Masih ramai taksub bomoh



TIDAK ada satu kajian yang membuktikan peralatan ini boleh menyembuhkan penyakit kanser atau buah pinggang.


DALAM satu kes pada tahun 1974, Halimah (bukan nama sebenar) mengadu berasa kebas di lengan kirinya. Rasa kebas itu kemudian merebak ke seluruh tangan hingga menyebabkan ia mengalami kelumpuhan.
Halimah walau bagaimanapun tidak mendapatkan rawatan di hospital sebaliknya pergi berjumpa bomoh yang mengatakan masalah itu disebabkan gangguan makhluk halus. Bomoh itu kemudian membekalkannya 'air jampi' dan ubat-ubatan.
Beberapa bulan selepas itu, sakit Halimah bertambah teruk dan dia terpaksa dikejarkan ke hospital. Doktor kemudian mengesahkan kepada anggota keluarganya bahawa Halimah menghidap kanser payu dara peringkat akhir. Tidak banyak yang dapat diselamatkan dan tidak lama selepas itu Halimah meninggal dunia.
Pada tahun 2004, Mohamad (bukan nama sebenar), mengadu sakit dada dan sukar bernafas. Dia dikejarkan ke sebuah pusat pakar di Damansara seterusnya dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur bagi menjalani pemeriksaan angiogram.
Mohamad kemudian diberitahu doktor tentang tiga arteri koronari di jantungnya yang tersumbat dan dinasihatkan agar segera menjalani pembedahan pintasan koronari.
Namun, kerana takut menjalani pembedahan, Mohamad lebih rela mendapatkan rawatan tradisional. Pada tahun yang sama, dia meninggal dunia kerana serangan jantung.
Faktor percaya
Walaupun mengetahui implikasi perkara ini, masih ramai rakyat negara ini membelakangkan rawatan profesional di klinik dan hospital. Mereka lebih percaya kepada bomoh bagi menyelesaikan masalah perubatan yang mereka alami. Malangnya, golongan pesakit itu termasuklah mereka yang berpelajaran tinggi.
Dr. Florence Lim, seorang pakar perubatan di hospital awam, menghuraikan beberapa faktor tentang isu ini.
"Ada yang lebih suka jumpa bomoh kerana rawatan yang disediakan bomoh lebih murah daripada kos rawatan di hospital. Contohnya bagi kes kanser, rawatannya mahal kerana pesakit pesakit perlu menjalani sesi kemoterapi, radioterapi dan juga pembedahan," ujar Florence.

DALAM masyarakat moden hari ini, masih ramai yang lebih mempercayai bomoh berbanding pakar perubatan dalam merawat penyakit mereka.


Menurut beliau, mereka yang tidak mampu akan mencari rawatan yang kosnya lebih murah, seperti mendapatkan rawatan tradisional. Ada juga pesakit yang tidak menyenangi keadaan sesak di institusi kesihatan awam terutama di hospital kerajaan.
Lazimnya, apabila pesakit datang ke hospital dan mengadu tentang sesuatu masalah yang mencurigakan, mereka dikehendaki menjalani prosedur pemeriksaan lengkap selain beberapa ujian yang diperlukan.
Ini termasuk pemeriksaan oleh pegawai perubatan di klinik sebelum dirujuk kepada pakar atau konsultan. Ujian seperti profil darah dan juga air kencing perlu dilakukan.
Begitu juga dengan pemeriksaan radiograf (sinar X dan juga pemeriksaan imbasan) yang dijalankan bagi membantu doktor mengenal pasti penyakit yang dialami.
"Tetapi ada pesakit yang tidak suka diminta pergi atau dirujuk dari satu jabatan ke jabatan yang lain. Bagaimanapun, ujian-ujian ini penting dan diperlukan untuk mengetahui sebab sebenar penyakit mereka," kata beliau sambil menambah bahawa ada pesakit yang tidak gemar menghadiri pemeriksaan lanjutan kerana dianggap memakan masa.
Menolak hakikat
"Ada juga pesakit yang menolak hakikat (tentang penyakit yang dihidapi). Kami memahami perkara ini. Kami tahu reaksi sesetengah pesakit apabila mereka diberitahu tentang penyakit kronik yang mereka alami seperti penyakit kegagalan ginjal.
"Ada yang tidak boleh terima. Ada pula yang berharap penyakit ini akan pulih selepas beberapa waktu. Situasi ini adalah suatu 'tahap penolakan'.
"Itulah sebabnya ada pesakit yang tidak mahu mendapatkan rawatan di hospital kerana takut berhadapan dengan kenyataan. Jadi, mereka lebih selesa dengan mendapatkan rawatan bomoh," terang Florence.
Ada juga pesakit yang menghadapi kesukaran dan tidak mahu pergi jauh ke hospital kerana dianggap rumit.
Hal itu ketara bagi mereka yang tinggal di luar bandar, sedangkan pada masa yang sama rumah mereka berdekatan dengan kediaman bomoh kampung.
RAWATAN di hospital atau klinik dijalankan mengikut prosedur.


"Dalam kemungkinan lain, ada juga yang takut pada wad di hospital dan peralatan yang digunakan seperti mesin radiograf dan mesin imbasan. Mereka juga takut pada prosedur pengambilan darah, infusi intravena atau pun pengambilan cecair tulang sum sum yang menyakitkan," kata beliau.
Tiada bukti
Seorang lagi pakar perubatan yang hanya mahu dikenali sebagai Dr. Tan memberitahu bahawa tiada bukti kukuh mengenai rawatan tradisional boleh merawat penyakit kronik seperti kegagalan buah pinggang dan hati.
"Pengamal perubatan tradisional mengatakan mereka ada ubat bagi penyakit kronik termasuk juga yang boleh membawa maut seperti kanser. Pesakit tidak sedar ubat tradisional hanya boleh memburukkan keadaan.
"Terdapat pesakit kanser yang lebih suka berjumpa bomoh daripada mendapatkan rawatan doktor di hospital tidak menyedari keadaan mereka menjadi lebih teruk," jelas Tan.
Tan juga mendedahkan tentang pesakit yang mengatakan bahawa mereka mahu pulang dulu untuk berbincang dengan keluarga apabila didiagnosis menghidap kanser. Sebenarnya, mereka berjumpa bomoh untuk dapatkan rawatan.
"Malangnya, apabila situasi bertambah buruk, ahli keluarga akan membawa pesakit ke hospital tetapi akhirnya keadaan mungkin sudah terlambat," tambah Tan. - Bernama

No comments:

Post a Comment