Pages

Sunday, October 24, 2010

JANGAN JADI ‘UNTA BUTA’

sumber http://www.businessjihad.com
Ketika berkunjung ke luar negara atas urusan rasmi, saya berpeluang bertemu dengan rakan bisnes dan tokoh korporat syarikat ternama. Di samping mencari peluang bisnes, pelaburan dan usahasama, kesempatan kerap juga saya gunakan untuk bertukar-tukar pandangan.
Satu pengalaman ketika berkunjung sebuah negara Arab masih segar dalam ingatan saya kerana berkait rapat dengan cabaran hebat yang dihadapi umat Islam hari ini.
Dalam kunjungan ke Kuwait sekitar hujung 1990an, saya diraikan dalam satu majlis makan tengah hari anjuran sebuah badan korporat ternama Kuwait. Di situ saya bertemu dengan seorang tetamu berketurunan Jerman yang memeluk Islam beberapa tahun sebelumnya.
Dalam perbualan kami, beliau ditanya bagaimana dan kenapa memilih Islam sebagai pegangan hidup. Jawapan diberikan cukup memeranjatkan. Dengan nada tegas dan serius beliau menjawab:”Not because of the Muslims!” (bukan kerana umat Islam!)
Beliau berasal daripada keluarga Katholik yang kuat beragama. Sebagai anak muda yang dahagakan kebenaran dan berminat mencari makna dan pengertian hidup sebenar, beliau tidak senang dengan kontradiksi yang jelas terdapat dalam ajaran agama serta pegangan hidup yang diwarisi dari keluarganya sebelum ini.
Sebagai seorang bekas duta Jerman yang telah berkhidmat di seluruh dunia, termasuk di beberapa negara Islam, beliau berpeluang berinteraksi dengan ramai orang tanpa mengira bangsa, kedudukan ekonomi, latarbelakang budaya dan agama yang berlainan.
Katanya, jika dilihat kepada kehidupan rata-rata umat Islam yang miskin, daif, rendah budaya dan akhlak, cetek ilmu, kotor dan tidak teratur, tidak akan terlintas di hati beliau untuk memeluk Islam.
Namun, beliau bersyukur kerana menemui kebenaran Islam dari sumber lain. Setelah dewasa, beliau membaca lebih 200 buku mengenai semua jenis agama dan falsafah hidup. Beliau paling bersyukur kerana mampu membaca Al Quran dan memahami maksudnya. Tegasnya, tanpa mengenali Al Quran dan kalau hanya melihat kepada keadaan kedaifan umat Islam hari ini beliau tidak langsung akan tergerak untuk mendekati Islam.
Hakikatnya kini, rata-rata kehidupan umat Islam masih daif, miskin, menderita dan melarat, rendah tahap pencapaian ilmu, budaya dan tamadun, yang menyebabkan bukan saja umatnya, malah agamanya yang tinggi dan suci mulia itu dipandang rendah oleh orang lain.
Sekalipun terdapat negara Arab dan negara Islam lain kaya raya, malah lebih kaya daripada sesetengah negara Barat, kekayaan tidak langsung dirasai oleh golongan besar masyarakat dan tidak berupaya membela nasib majoriti umat.
Laporan Projek Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) menyatakan bagi setiap lima orang di dunia Arab kini, dua daripadanya miskin dan melarat dengan pendapatan tidak sampai AS $2 (RM6.80) sehari. Ia jelas menunjukkan kedaifan dan keadaan hidup sebahagian besar bangsa Arab berbanding imej kemewahan dan persepsi kekayaan orang lain terhadap mereka.
Laporan juga menyatakan kerajaan negara-negara Arab kelihatan tidak berupaya menyelesaikan masalah cabaran hidup yang dihadapi majoriti penduduknya. Menjelang 2020, UNDP menganggarkan dunia Arab perlu menyediakan 50 juta peluang kerja untuk generasi baru remaja Arab yang akan dewasa.
Dengan kedudukan politik, ekonomi, bisnes dan korporat Arab yang bergolak dan kini semakin bercelaru, tuntutan itu dikatakan mustahil. Jelas negara Arab tidak bersedia berubah dan membawa pembaharuan dalam sistem kehidupan mereka.
Andainya benar kajian UNDP ini, keadaan umat Islam, khasnya di dunia Arab dijangka bertambah buruk. Kita boleh menjangka bahawa keadaan kemelaratan umat Islam seperti yang dikatakan oleh duta Jerman Muslim tadi tidak akan ada penghujungnya. Andainya ini berlaku, bermakna seluruh dunia Islam akan terus tergugat kestabilannya, bergolak, berkonflik serta semakin tidak menentu kedudukan umatnya.
Ini membawa implikasi besar terhadap kehidupan umat di seluruh dunia lebih-lebih lagi apabila diambil kira keadaan umat Islam di negara-negara lain seperti Afrika, Afghanistan, Pakistan, Bangladesh, India, Asia Tenggara dan Asia Tengah serta barat China yang masih menantikan pembelaan. Masalah ini sangat membimbangkan kerana Islam dengan tegas dan dari awal mengingatkan umatnya menerusi sebuah hadis Rasulullah SAW bahawa kefakiran membawa kepada kekufuran. Mugkin kemiskinan dan kefakiran berpanjangan inilah punca utama umat Islam berkonflik sesama sendiri, sehingga kini berlaku pembunuhan di dalam masjid sekalipun.
Lebih membimbangkan hakikat umat Islam, termasuk di beberapa negara Arab yang kaya-raya, terdapat sikap dan minda yang hanya akan menambahkan kegawatan dan kecelaruan.
Dalam penulisan sebelum ini, saya pernah menyarankan umat Islam supaya tidak “membabi buta“ dan berebut-rebut menciplak sistem ekonomi Barat yang berteraskan kapitalisme rakus dan tamak. Dalam konteks bangsa Arab pula, jelas sekali mereka perlu mengelakkan diri mereka daripada menjadi “unta buta” - berebut-rebut membina sistem ekonomi dengan menciplak bulat-bulat kaedah sistem kapitalisme rakus dan tamak itu.
Malangnya, inilah yang kita saksikan berlaku di kebanyakan negara Arab dan negara Islam lain (termasuk Malaysia sendiri). Lihat sahaja keghairahan negara-negara Islam memburu tempat dan nama dengan membina bangunan pencakar langit sebagai simbol pencapaian dan ikon kejayaan ekonomi mereka di mata dunia. Menara kembar KLCC di Malaysia boleh disifatkan sebagai mencerminkan aspirasi yang sama. Bangunan pencakar langit telah tumbuh seperti cendawan selepas hujan di seluruh dunia Islam.
Keghairahan membina shopping mall, pusat-pusat hiburan, gedung-gedung dan prasarana industri disaksikan di mana-mana. Semua ini mencerminkan peniruan atau penciplakan gaya hidup mewah dengan budaya membeli-belah sebagai ciri utamanya, iaitu budaya materialistik, cenderung menunjuk-nunjuk yang akhirnya menggalakkan hidup keterlaluan kebendaan, individualistik, gemarkan pembaziran, asyikkan hiburan, hedonisme dan nafsu-nafsi.
Di Dubai, kesan dan impak sikap “unta buta” ini jelas sekali kelihatan. Dubai pernah disanjung tinggi sebagai antara kota Arab paling ke depan khasnya dalam pembangunan berlandaskan amalan kapitalis Barat.
Kebelakangan ini, setelah dunia dilanda krisis berpunca daripada kelemahan ekonomi yang bermula di Amerika Syarikat, (dikatakan akibat kerakusan dan ketamakan pemimpin korporat dan bank Amerika), ekonomi Dubai turut terjejas teruk.
Dunia bisnes masih meneliti sejauh mana krisis Dubai ini akan membawa kesan terhadap sistem ekonomi global. Paling menakutkan ialah andainya sektor bisnes dan korporat Dubai muflis, ianya akan turut menumbangkan beberapa bank besar di peringkat global dan merosakkan seluruh sistem. Pinjaman besar-besaran ini telah Dubai gunakan sebelum ini untuk membina beratus bangunan dan kompleks pencakar langit, membina prasarana termasuk lebuhraya 12 lorong, membina pulau-pulau buatan manusia, lengkap dengan rumah dan bangunan paling mewah untuk dibeli jutawan dan bilionair seluruh dunia.
Pencapaian Dubai sungguh luar biasa dan menakjubkan. Apa yang ditakuti ialah kemungkinan Dubai akan menjadi punca keruntuhan sistem ekonomi global, atau setidak-tidaknya mengakibatkan kegawatan berpanjangan, merosakkan sistem dengan membawa impak negatif terhadap semua negara. Semua ini akhirnya akan memburukkan lagi keadaan penduduk di negara-negara miskin dan negara Islam khasnya.
Atas dasar inilah semakin banyak kritikan dilemparkan terhadap Dubai dan pendekatan negara Arab sepertinya yang seolah-olah telah membawa sikap “unta buta”, berlumba-lumba memburu kemewahan ekonomi menggunakan kekayaan hasil minyak pemberian tuhan dengan pelaburan yang sangat menjolok mata dan diragukan manfaatnya.
Sesungguhnya banyak yang tidak kena dengan cara umat Islam dan Arab menggunakan harta kekayaan mereka. Mereka berebut-rebut menandingi, melebihi dan mendahului Barat sedangkan cara Barat yang angkuh dan rakus itu sendiri selama ini tidak disenangi oleh semua orang lain dan jelas tidak selaras dengan anjuran Islam yang tegas menganjurkan ditegakkan keadilan dan dimakmurkan muka bumi. Islam juga sangat tegas menganjurkan supaya jangan dibiarkan harta kekayaan berputar cuma di kalangan orang kaya sahaja dalam masyarakat dan semua yang fakir dan miskin diberi hak untuk menuntut bahagian mereka daripada semua harta kekayaan ini.
Semua umat Islam tidak akan senang melihat Dubai lebih mengutamakan penciplakan gaya Barat, misalnya seperti yang dipamerkan menerusi papan-papan iklan gergasi dan slogan angkuh dan materialistik. Contoh-contoh terdapat pada kata-kata: “Selamat datang ke segala-galanya – Welcome to everything”; “Di mana membeli-belah satu gaya hidup – Where shopping is a lifestyle”; “Segala-galanya boleh – Where everything is possible”; dan “Tanpa had dan halangan – Be unlimited” jelas mempamerkan nilai yang sebenarnya tidak serasi dengan jiwa Islam!
Andainya tidak diawasi, sikap ”unta buta” ini diumpamakan kekayaan yang boleh membawa kepada kekufuran!’.
Majalah The Economist yang diterbitkan di London baru-baru ini menyifatkan fenomena Dubai sebagai “satu empayar yang dibina atas pasir … satu monumen kerakusan besar dan angkuh dan menjolok mata tidak berkelangsungan”.
Akhbar itu melihat Dubai sebagai “Planet Dubai”, iaitu satu “monumen kepada sikap berlebihan melampau, satu berhala konsumerisme – a monument to excess, a temple of consumerism” dan sebagai “satu hasil besar perahan daripada kapitalisme semasa – a super-sized distillation of present-day capitalism”. Sungguh membimbangkan.
Dalam keadaan dua daripada setiap lima umat Islam kelaparan, tergamak pula yang kaya di kalangan mereka ghairah melayani selera dan memuaskan nafsu mengikut anjuran kerakusan dan keserakahan Barat. Terdapat juga di kalangan jutawan dan bilionair Arab yang sanggup berlumba melabur berbilion dolar membeli kelab bola sepak Inggeris – dan tidak berlumba untuk membuat kebaikan (fastabiqul khairat) seperti yang dianjurkan oleh Islam!
Jika dibiar berleluasa dan dicontohi pula negara Islam maju yang lain, apakah nasib masa depan umat Islam? Apakah sikap seperti ini harus dibiarkan menguasai suasana hingga mengakibatkan umat Islam berpecah dan hilang kepercayaan sesama sendiri? Apakah harus dibiarkan mereka menggelapkan dan mengaburi pandangan orang bukan Islam terhadap agama Islam?
Akhirnya kita terpaksa menerima dan bersetuju dengan pendirian bekas duta Jerman Muslim tadi.
Kita harus berbuat sesuatu segera mengelakkan situasi di mana bukan Muslim lain yang tidak cekal dan tidak besar jiwa sepertinya hilang minat dan terpesong daripada menemui kebenaran dan kesucian Islam serta menikmati rahmat sebagaimana yang dijanjikan kepada semua umat manusia cuma kerana kelemahan dan ”kebutaan” kita sendiri.
Muhammad Ali
9 Disember, 2009

No comments:

Post a Comment