Pages

Saturday, October 23, 2010

Indonesia akui seksa Papua


JAKARTA 22 Okt. - Indonesia hari ini mengaku anggota tenteranya melakukan penyeksaan terhadap penduduk Papua dengan memukul dan menghina mereka seperti yang terpampang dalam video yang diedarkan secara dalam talian, serta berjanji untuk menyiasat kes itu.
Anggota tentera Indonesia mencucuh bara kayu ke atas kemaluan seorang tahanan dan mengugut seorang lagi dengan pisau semasa disoal siasat mengenai tempat penyembunyian senjata, menurut video tersebut.
''Berdasarkan laporan awal, kami mendapati tentera kami telah bertindak melampau semasa mengendalikan orang yang ditahan,'' kata Menteri Hal Ehwal Keselamatan, Djoko Suyanto kepada pemberita hari ini.
"Apa yang mereka lakukan adalah tidak profesional," katanya.
Video tersebut mendatangkan kecaman antarabangsa terhadap dakwaan amalan menyeksa dan mendera para aktivis dan orang awam di wilayah bergolak Indonesia seperti Papua dan kepulauan Maluku.
Badan-badan hak asasi manusia termasuk Amnesty International menuntut Indonesia agar menyiasat dan menghukum tenteranya yang dikenal pasti dalam video tersebut.
Suyanto berkata, tentera yang didakwa terlibat dalam insiden itu pada Mei di wilayah Punjak Jaya di timur provinsi Papua, akan 'diuruskan dengan peraturan ketenteraan'.
"Ia telah mengundang perhatian umum dan dunia. Kita akan menyelesaikannya dengan cara sewajarnya,'' ujar beliau. - AFP

No comments:

Post a Comment