Pages

Saturday, October 16, 2010

Hos The View tinggal pentas bela orang Islam


Whoopi Goldberg (kiri) dan Joy Behar bergambar bersama sebelum bermula program bicara The View, di New York. - AP

sumber
NEW YORK 15 Okt. - Joy Behar dan Whoopi Goldberg bertindak meninggalkan pentas rancangan The View, semalam apabila mereka bertengkar dengan hos Fox News Channel, Bill O'Reilly berhubung rancangan untuk membina sebuah pusat kebudayaan Islam dan masjid dekat bekas tapak Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang runtuh dalam serangan pada 11 September, 2001.
Kedua-dua wanita tersebut yang merupakan hos bersama The View, membantah kenyataan O'Reilly yang menyelar orang Islam. Mereka kembali ke pentas selepas tokoh konservatif itu memohon maaf.
O'Reilly yang muncul pada rancangan wawancara popular itu untuk mempromosi bukunya, Pinheads and Patriots: Where You Stand in the Age of Obama, berkata, membina Pusat Islam begitu dekat dengan Ground Zero adalah tidak wajar 'kerana orang Islam membunuh kita pada 11 September'.
Goldberg membalas dengan mengeluarkan kata makian, sambil Behar bangun dari tempat duduknya meninggalkan pentas.
"Saya tidak mahu duduk di sini. Saya meluat dengan kenyataan itu," kata Behar yang meninggalkan pentas, disusuli oleh Goldberg.
Sejurus kemudian penerbit rancangan, Barbara Walters berkata, rakan-rakannya itu tidak sepatutnya meninggalkan pentas.
"Kita sepatutnya boleh mengadakan perbincangan tanpa mengambil sikap lepas tangan, menjerit-jerit dan meninggalkan pentas," kata Walters.
Beliau turut menegur O'Reilly dengan berkata, sekumpulan pelampau melakukan keganasan pada 11 September itu.
"Kita tidak boleh melibatkan semua penganut sebuah agama dan menghina mereka," kata Walters.
"Saya tidak menghina sesiapa," kata O'Reilly yang disangkal oleh Walters.
Selepas kedua-duanya bertikam lidah lagi, O'Reilly akhirnya berkata, 'jika ada sesiapa yang merasakan saya menghina semua orang Islam, saya memohon maaf'.
Behar dan Goldberg kembali ke pentas, dengan Behar berkata, 'kami datang balik kerana awak memohon maaf'. - AP

No comments:

Post a Comment