Pages

Friday, October 8, 2010

Hijrah Rasulullah ke Yathrib



KETIKA Rasulullah SAW dan sahabat mengalami tekanan di Mekah, baginda telah memberi keizinan kepada umat Islam di Mekah supaya berhijrah ke Yathrib bagi memulakan kehidupan baru di sana. Maka umat Islam di Mekah pun keluar dengan senyap dan berhati-hati agar tidak disedari oleh Musyrikin Quraisy.
Mereka keluar tanpa sebarang jaminan kehidupan yang bakal ditempuh di Yathrib melainkan jaminan yang diberikan oleh Rasulullah SAW. Oleh kerana itulah Allah SWT memuji mereka atas dasar keimanan yang kukuh.
Manakala Rasulullah SAW pula masih berada di Makkah menunggu wahyu daripada Allah untuk berhijrah. Apabila wahyu daripada Allah turun, dalam masa yang sama kaum Musyrikin Quraisy telah merancang untuk membunuh Rasulullah di Darul Nadwah. Dengan melantik wakil setiap kabilah untuk membunuh baginda, mereka berkumpul dan mengepung rumah Rasulullah SAW pada waktu malam. Namun dengan kuasa Allah, mereka tertidur dengan nyenyaknya lalu Rasulullah SAW pun keluar dengan menaburkan pasir di atas kepala mereka. Manakala tempat tidur baginda diganti oleh Ali bin Abu Talib yang sangat berani.
Maka berangkatlah Rasulullah ke rumah Abu Bakar as-Siddiq. Dengan perancangan yang teliti, mereka pun bergerak menuju ke Yathrib sebelum fajar menyingsing. Mereka melalui jalan yang jarang dilalui orang ramai, lalu singgah di Gua Thur di pertengahan jalan ke arah Yaman. Abu Bakar mendahului Rasulullah SAW untuk masuk ke dalam gua kerana risaukan keselamatan baginda. Apabila Rasulullah masuk, baginda pun berehat sambil menunggu masa yang sesuai untuk bertolak.
Kaum Musyrikin Quraisy yang terjaga daripada tidur telah tertipu apabila orang yang disangka Rasulullah rupanya Ali bin Abu Talib. Maka mereka pun bertindak mengejar Rasulullah sehinggalah sampai di Gua Thur. Abu Bakar mula panik apabila kaum kafir mengepung gua tersebut lalu ditenteramkan oleh Rasulullah. "Janganlah takut dan janganlah sedih sesungguhnya Allah bersama kita." Lalu Allah memerintahkan labah-labah dan merpati membuat sarang di pintu gua. Kaum kafir sekali lagi tertipu. Mereka tidak menyangka ada orang yang bersembunyi di dalam gua tersebut apabila melihat sarang labah-labah dan merpati tidak terusik.
Setelah kaum kafir jauh beredar, Abdullah bin Uraiqit pun tiba dengan membawa dua ekor kuda yang sangat pantas. Beliau sendiri diupah sebagai jurupandu untuk membawa Rasulullah dan Abu Bakar ke Yathrib.
Lalu mereka bergerak ke arah selatan Yaman, apabila sampai di jalan yang tidak dilalui orang mereka pun beralih ke utara menghampiri Laut Merah. Tujuan mereka berbuat demikian adalah supaya pergerakan mereka tidak dapat dijejaki oleh kaum kafir Quraisy sebelum mereka selamat tiba ke Yathrib.
Rasulullah SAW tiba di Quba' iaitu terletak di pinggir kota Yathrib pada 8 Rabiul Awwal 14 tahun kerasulan baginda. Di sana baginda mendirikan masjid yang terawal sepanjang menyebarkan dakwah Islam. Umat Islam yang mendapat berita ketibaan Rasulullah SAW di pinggir Kota Yathrib berasa amat gembira kerana Rasulullah telah selamat sampai. Mereka berkumpul beramai-ramai di tanah lapang Hurrah. Mereka begitu sabar menunggu walaupun panas terik kerana ingin melihat insan mulia yang diberitakan dalam kitab-kitab terdahulu. Justeru itu, bergemalah takbir memuji kebesaran Allah.
Mereka menyambut ketibaan Rasulullah dengan selawat dan puji-pujian. Anak-anak pula mengalunkan puisi-puisi indah. Rasulullah menamakan Yathrib dengan 'Madinah Al-Munawwarah' yang bermaksud 'Kota Yang Bercahaya'.
lPetikan daripada buku 366 Kisah dari Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment