Pages

Saturday, October 2, 2010

Di Hujung Musim Darurat



Oleh Ismas Saring

2010/08/28

SUDAH lama dia tidak ke Kuala Lumpur. Bandar raya yang pernah dihuninya lebih 20 tahun dulu yang tidak pernah dijenguknya akhir-akhir ini kerana keadaan baginya yang sudah tidak begitu memerlukan lagi terutama dari segi kesihatannya yang usianya kini menongkah 72 tahun. 

Dalam usia emas itu tentunya fizikalnya tidak begitu mengizinkan untuknya bergelandangan di kota yang serba maju dan canggih dengan pembangunan pesat itu. Usia sedemikian bagi golongan berada tentu tidak menjadi masalah. Bagi golongan itu usia 72 tahun baru semacam anak remaja 27 tahun sahaja. Masih segak. Masih bergaya.
Tetapi dia bukan daripada golongan senang atau kaya dalam status kehidupan masa kini. Ketika usia mudanya dia bekerja keras membanting tulang. Melakukan pelbagai kerja kasar termasuk kerja kampung dan buruh binaan. Walaupun dia berkelulusan sekolah menengah Inggeris tahun lima puluhan, tetapi nasibnya kurang baik, dia tidak dapat menjawat jawatan yang baik ketika itu seperti menjadi kerani atau pegawai rendah di jabatan kerajaan. Itulah di antara pekerjaan paling tinggi dan mulia di kalangan orang Melayu biasa sewaktu zaman penjajah.
Bagaimanapun dia tak mengenal putus asa dan akhirnya dapatlah juga dia bekerja di Kota Besar Kuala Lumpur yang menjadi buah mulut masyarakat ketika itu. Masa itu jika seseorang bekerja dan tinggal di Kuala Lumpur, statusnya sudah bagaikan taukeh gula atau taukeh beras sekarang ini. Gula dan beras dua bahan makanan ruji rakyat. 

Entah bagaimana, hatinya bagai ditarik-tarik untuk berkunjung ke Kuala Lumpur dalam masa menyambut Hari Ulang Tahun (HUT) kemerdekaan tahun itu. Dia cuba menghubungi anaknya yang tinggal di Puchong Perdana agar dapat membawanya ke Kuala Lumpur pada hari sambutan kemerdekaan tahun itu diadakan. Ingin rasanya dia menyaksikan perayaan HUT kemerdekaan yang mana pernah disambutnya pada kali pertama pada 31 Ogos 1957, di Padang Besar Teluk Datuk Banting, Kuala Langat Selangor yang kini dinamakan Stadium Jugra. 

Lepas menelefon anaknya dan memberitahu hasratnya, dia kembali duduk dan ketika itu ingatannya mengetuk pintu hati dan terbukalah kenangan lamanya sewaktu dia masih lagi berkhidmat dalam pasukan keselamatan di hujung musim darurat. 

Kenangan kembali mengimbau di kepala otaknya yang seketul cuma. Sejak lahir dan hingga berusia 72 tahun hanya otak itu sahajalah yang dimiliki. Dia tidak tahu kalau orang lain mempunyai dua atau tiga otak yang berlainan dalam sepanjang jangka hayatnya. Tetapi baginya, itulah saja seketul otaknya yang telah merakam segala peristiwa dan pengalaman hidupnya. 
Bagaikan benang yang kusut, dia kembali menyelusuri dan memilihnya benang kenangan itu satu persatu. Segala tergambar jelas bagaikan baru semalam berlaku. Segala peristiwa dan kenangan mula terbungkah dan dia amat bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya dia terselamat daripada beberapa insiden pertempuran dengan pengganas komunis. Tuhan masih sayangkan dia dan memberinya peluang menyaksikan hasil perjuangan menghapuskan gerakan pengganas komunis bagi mendapatkan kemerdekaan negara. 

Kenangan kembali mengenang di satu senja berbunga. Ketika itu dia ditempatkan bersama anggota lain dalam satu pasukan operasi di Broooklyn Estate sebuah penempatan anggota keselamatan di kawasan hitam di Daerah Kuala Langat, Selangor. 

Tugas unitnya ialah menjalankan operasi keluar masuk hutan bagi menjamin keselamatan penduduk kampung dan memastikan tiada pengganas komunis berkampung di kawasan hutan dan di pinggir perkampungan itu. 

Waktu itu dia baru sahaja kira-kira enam jam balik daripada satu operasi di hutan Sepang selama lima hari. Kesempatan balik ke berek digunakan sepenuhnya oleh semua anggota berehat setelah selama kira-kira seminggu bukan sahaja tidak mandi tetapi juga berembun di bawah naungan pepohon hutan yang menyeramkan dan menjadi umpan nyamuk. 

Sedang dia masak untuk menyiapkan makanan malam menjelang waktu Maghrib dan memang tidak terlintas di hatinya bakal ada arahan keluar lagi menjalankan operasi baru kerana lazimnya setelah seminggu di hutan akan rehat sekurang-kurangnya tiga hari baru diberi arahan baru. 

Tiba-tiba dia mendengar loceng gila berbunyi. Berdenting berkali-kali memanggil anggota pasukan operasi berkumpul berbaris untuk mendengar dan menerima arahan baru. 

“Ada arahan baru, kita terpaksa keluar semula operasi ke kawasan 69. Semua mesti siap sedia sekarang juga,” Sarjan Parman memberitahu anggota sebaik mereka semua beratur dan mendengar pengumuman dengan berdebar, sepuluh minit dari sekarang semua mesti siap dan berada di sini,” perintah lagi Sarjan Parman. Tegas. 

Tanpa membantah kesemua anggota operasi bersiap sedia dan sebelum 10 minit mereka sudah siap sedia dengan senjata masing-masing. Mereka menaiki dua buah kenderaan GMC dan mula bergerak meninggalkan berek menuju kawasan 69 yang tidak tahu di mana letaknya. Suasana senja mula melabuhkan tirainya pada hari yang damai. 

Kenderaan berhenti di sebuah kawasan pinggir hutan dan hari sudah malam. Mereka meredah masuk kawasan hutan dan bermalam setelah kira-kira sejam perjalanan dalam rimba yang sudah menjadi sandang pangan anggota pasukan yang lazimnya bertilamkan bumi dan berpayungkan langit. 

Tiga hari tiga malam berikutnya dia dan anggota operasinya di hutan itu terpaksa balik ke berek kerana dua orang daripada anggota pasukan mengalami kecederaan dalam pertempuran dengan pengganas komunis pada hari yang ketiga. Bagaimanapun kedua-dua mereka terselamat daripada maut akibat penangan peluru rifel .303 komunis dan hanya singgah di bahu serta di bahagian paha anggota terbabit. Mereka diganti dengan unit lain bagi meneruskan operasi di kawasan itu. 

Sepanjang perkhidmatan di hujung musim darurat itu, dia bernasib baik tidak mengalami mala petaka. Sehinggalah Kuala Langat diisytiharkan kawasan putih dan pasukannya di tukar ke satu lagi kawasan hitam di daerah Hulu Selangor. Dia masih ingat, daerah Hulu Selangor adalah daerah terakhir di Selangor diisytiharkan kawasan putih. Ertinya selepas itu seluruh negeri Selangor bebas daripada kawasan hitam. Berakhirnya perjuangan pengganas komunis di Selangor walaupun masih ada tempiasnya sehingga 1962, tetapi sudah mulai terkawal. 

“Jika umur panjang, ke mana kau nak pergi selepas tamat perkhidmatan tiga tahun kita ini?” tanya Barjo anak dari Tanjung karang, “nak sambung jadi polis?” sambungnya lagi. 

“Aku? Aku tak tahu lagi. Nak sambung jadi polis pun, kalau asyik 24 jam dalam uniform jelak aku dan nyawa terus-terusan terancam,” jawab Kudus spontan sambil membersih senjatanya jenis Carbine .22, “kau bagaimana?” Tanyanya balik pada Barjo. 

“Aku rasa, jika susah sangat dapat kerja lain, baik aku sambung. Bukan senang nak dapat tawaran seperti ini,” Barjo membayangkan hasratnya. Kerana baginya kalau balik kampung pun tiada kerja yang boleh menjamin masa depannya ketika itu. Baik dia sambung jadi polis dan hanya perlu menjalani latihan lanjutan untuk diserap menjadi anggota polis biasa. 

Memang ketika itu ada tawaran kepada semua anggota keselamatan bantuan dalam pasukan Special Constable (SC) untuk diserap ke dalam pasukan polis biasa kepada yang berkelayakan dan hanya perlu menyambung perkhidmatan dengan terus mengikuti latihan lanjutan di Polis Depot sebagai anggota polis biasa (Regular Police). 

“Aku. Aku masih muda. Kalau ditakdirkan usia aku panjang dan tak mampus dibaham komunis, aku ingat aku nak melanjutkan pelajaran semula,” jawab Kudus tenang, “jika tamat perkhidmatan, umur aku baru 21 tahun. Aku boleh sambung pelajaran. 
Kerjalah apa-apa yang boleh tanggung sara hidup dan meneruskan pelajaran aku,” sambung Kudus melahirkan cita-citanya. Dia tidak mahu perjuangan menentang pengganas komunis selama kira-kira tiga tahun itu tidak bakal merasai erti perjuangan yang dilakukan dan dialami. 

Akhirnya dia berhenti dan meneruskan hidupnya dengan bekerja sebagai buruh dan melanjutkan pelajaran di sekolah swasta di Kuala Lumpur. Dia tersenyum mengingat segalanya dan bersyukur masih hidup dan menyaksikan HUT kemerdekaan negara tahun itu dalam usia emas dengan segala rakaman peristiwa dan pengalaman di hujung musim darurat. 

Kudus tersenyum menatap sekeping surat penghargaan yang diterimanya daripada Kementerian Dalam Negeri yang diterimanya bersama wang sagu hati RM1,000. 
Itulah satu-satunya terima kasih dan penghargaan negara kepada perjuangan separuh matinya. Dia terus membelek surat penghargaan yang berbunyi: 

“Saya bagi pihak Kerajaan Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa dan khidmat bakti pengorbanan tuan yang telah disumbangkan bagi mempertahankan keselamatan dan keamanan negara semasa darurat (1948-1962). Sesungguhnya perjuangan dan pengorbanan yang diberikan amat besar kepada agama, bangsa dan negara. Saya berdoa semoga tuan senantiasa dilimpahkan kebahagiaan hidup dan berada di dalam sihat sejahtera.” 

Dia menatap surat penghargaan itu sepuas-puasnya. Dia bersyukur negara kini tidak lagi diganggu oleh ancaman dan keganasan pengganas komunis dan dia tidak tahu berapa ramai rakan seperjuangannya yang gugur dengan tulang-tulang berserakan dalam menghapuskan perjuangan pengganas komunis untuk membebaskan negara bukan sahaja daripada penjajah British tetapi juga daripada ancaman pengganas komunis yang tidak pernah dialami oleh pemimpin dan generasi hari ini. 

Dan dia tersenyum sinis menjadi salah seorang daripada beribu pejuang sisa darurat yang masih bernafas dan dilupakan dalam gema dan gelombang teriakan “MERDEKA!’. 

INFO 

ISMAS Saring atau nama sebenarnya, Saring Sirad, berpengalaman sebagai Polis Khas (SC) ketika darurat 1956 hingga 1959. Dilantik sebagai Penolong Pengarang Angkatan Baru Kuala Lumpur pada 1966 hingga 1967 dan Penolong Pengarang Syarikat Karyawan Kuala Lumpur (1968). Berkhidmat sebagai wartawan Berita Harian pada 1977 hingga 1993 sebelum beralih sebagai Penulis Kembara (1994-2003). Menerima Anugerah Tokoh Kebudayaan (media massa) Negeri Selangor pada 2005 dan Anugerah Tokoh Kewartawanan Negeri Selangor (2006).

No comments:

Post a Comment