Pages

Thursday, October 7, 2010

Cucu Raja Arab Saudi dibicara




GAMBAR rakaman kamera litar tertutup yang ditayangkan di sebuah mahkamah kelmarin menunjukkan Saud Abdulaziz (kiri) memukul Bandar Abdulaziz di dalam sebuah lif di Hotel Landmark, London pada 22 Januari lalu.


LONDON - Seorang anggota kerabat diraja, Saud Abdulaziz Bin Nasir Al Saud yang merupakan cucu pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah II memukul sehingga mati seorang pembantu lelakinya dalam serangan ganas didakwa bermotifkan seks di sebuah hotel eksklusif di sini.
Pendedahan itu dibuat dalam perbicaraan di sebuah mahkamah kelmarin.
Juri sebuah mahkamah majistret di sini diberitahu bahawa Saud membunuh pembantunya, Bandar Abdulaziz selepas menderanya secara fizikal dan seksual selama beberapa minggu.
Kerabat diraja tersebut didakwa mencurahkan arak sebelum bertubi-tubi menumbuk kepala pembantunya yang berusia 32 tahun dengan menyebabkan beberapa giginya patah dan mangsa mengalami pendarahan otak di bilik suite Hotel Landmark, tempat mereka menginap, di sini.
Putera itu turut mencekik Bandar sehingga menyebabkan tulang lehernya retak selain menggigit kedua-dua pipi mangsa dalam serangan yang mempunyai hubung kait dengan dorongan seks.
Saud, 34, cuba menutup jenayahnya dengan membersihkan kesan darah dalam serangan tersebut sebelum menghubungi pihak berkuasa.
Pada mulanya, dia dilaporkan memberitahu polis bahawa Bandar cedera dalam satu insiden rompakan.
Kerabat diraja berkenaan kemudian mengaku membunuh pembantunya tetapi menafikan membunuh dengan niat atau berniat untuk mendatangkan kecederaan teruk terhadap mangsa.
Pasangan tersebut tiba di bandar raya ini pada Disember tahun lalu dalam percutian terakhir mereka mengelilingi dunia.
Juri diberitahu, Saud dilihat cuba menggoda krew bar dan menggunakan khidmat pelacur lelaki sekurang-kurangnya dua kali semasa percutiannya di sini.
Putera itu memberitahu polis beliau adalah rakan Bandar yang merupakan anak angkat sebuah keluarga golongan sederhana di Arab Saudi dan rakannya itu mengiringinya ke mana sahaja beliau pergi.
Namun, mahkamah dimaklumkan bahawa Bandar duduk dalam kelas ekonomi manakala Saud menaiki penerbangan kelas pertama.
Pembantu lelaki itu dikatakan berjalan dengan mengekori tuannya dan dia tidur di lantai bilik hotel mereka.
Ketua pasukan pendakwa raya, Jonathan Laidlaw berkata: "Hubungan mereka lebih kompleks berbanding apa yang diakui oleh defendan dan ia bukan hubungan yang sihat.
"Bandar dilayan seperti seorang pembantu atau amah dan terdapat unsur jahat dalam layanan defendan terhadap mangsa.
"Beliau akan memukul Bandar dan penderaan itu bukan sahaja melibatkan keganasan fizikal - ia turut melibatkan elemen seksual," tambahnya.
Juri berkenaan menonton rakaman kamera video litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan Saud berulang kali menumbuk Bandar di dalam lif hotel itu pada 22 Januari lalu.
"Apa yang jelas dalam kejadian ini adalah mangsa hanya menurut dan tidak melawan," kata Laidlaw.
"Dia langsung tidak mempertahan diri atau cuba melawan atau menaikkan tangannya terhadap defendan," ujar pendakwa raya itu.
Serangan tersebut menyebabkan telinga Bandar bengkak tiga kali ganda saiz asal dan memerlukan pembedahan pemulihan.
Pada 14 Februari lepas iaitu malam pembunuhan, pasangan itu makan malam sempena Hari Kekasih sebelum kembali ke hotel mereka sebelum tengah malam.
Seorang penginap di bilik bawah menyatakan, dia terdengar nada suara tinggi dan bunyi perabot jatuh.
Pada tengah hari esoknya, Saud menghubungi kenalan di Kedutaan Arab Saudi.
Kenalan itu tiba di bilik mereka dan menemuinya sedang sedih dan menangis di samping pembantunya.
Pakar-pakar polis menemui bukti forensik daripada seluar dalam Bandar.
Di sebalik penemuan itu, putera berkenaan berterusan menafikan bahawa dia adalah gay.
Namun, kata Laidlaw: "Bukti jelas menunjukkan bahawa dia adalah gay atau memiliki kecenderungan homoseks".
Pemeriksaan ke atas komputer riba putera itu mendapati beliau pernah melayari laman agensi teman sosial dan rumah urut gay.
Ibu Saud ialah anak perempuan Raja Abdullah.
Ayahnya, Putera Abdulaziz iaitu anak saudara Raja Abdullah, mengikuti perbicaraan tersebut di galeri awam mahkamah berkenaan.
Perbicaraan akan disambung. - Agensi

No comments:

Post a Comment