Pages

Sunday, October 10, 2010

Buang keratan tubuh

PADA malam 8 Mac 2009, Jeffrey Howe (berusia 48 tahun) meleteri kawannya, Stephen Marshall, 38, dan kekasihnya, Sarah Bush, 21. Howe bengang dengan sikap Marshall yang tidak mahu membayar sewa dan enggan membantunya membayar bil elektrik dan air, sedangkan pasangan itu hampir enam bulan menumpang di rumahnya di Southgate, utara London.

Ketika Howe menuju ke dapur, Marshall mengejar sahabatnya sebelum menikamnya dua kali. Selepas menyedari Howe sudah mati, Marshall memenggal kepalanya sebelum memotong kaki dan tangannya.

Lebih mengerikan, Marshall yang berhati kering itu mencungkil mata dan memotong telinga mangsa. Sisa-sisa tubuh sahabat yang dibunuhnya kemudian dibuang di dua daerah berhampiran kediaman mereka iaitu Hertfordshire dan Leicestershire.

Bahagian kaki dan tangan mangsa yang disumbatkan ke dalam beg plastik sampah dibuang di tiga kawasan berasingan manakala badan mangsa dibuang ke dalam parit, semuanya di sekitar Hertfordshire.

Kepalanya pula dicampakkan ke pinggir hutan di Asfordby, Leicestershire. Marshall membuang sisa tubuh mangsa ini dengan bantuan Bush.

Jenayah Marshall terbongkar apabila penduduk di sekitar Cottered, Hertfordshire menemui kaki kiri mangsa yang dibuang berhampiran kawasan hutan kediaman mereka pada 22 Mac, dua minggu kemudian. Sehingga 11 April berikutnya, saki baki anggota badan mangsa ditemui, kecuali tangan.
Ketika ditahan polis, Marshall menafikan dia melakukan jenayah itu, namun pelbagai bukti yang ditemui menunjukkan suspek satu-satunya pelaku pembunuhan kejam terbabit.

Pegawai polis, Michael Hanlon yang menyiasat kes ini berkata, suspek nekad membunuh Howe untuk mendapat ‘keuntungan’ daripada kematian mangsa.

“Dia (Marshall) enggan membayar sewa rumah, mencuri makanan dan tidak mahu keluar dari rumah mangsa bersama kekasihnya.

“Dengan membunuh mangsa, dia mengambil alih kediaman itu. Niat jahatnya jelas kerana dia juga menggunakan wang mangsa untuk berbelanja dan menjual barang berharga di rumah berkenaan,” katanya.

Ketika kes dibicarakan, Mahkamah Diraja St Albans mendedahkan Marshall didakwa bukan kali pertama membunuh dan memotong mangsa bunuh sebagaimana ng dilakukannya terhadap Howe.

Seorang saksi yang tidak didedahkan namanya memberitahu mahkamah, Marshall banyak terbabit dengan jenayah bunuh dan dia akan memotong mangsa sebelum menanamnya untuk melupuskan bukti.

Saksi berkenaan juga mendedahkan, suspek biasanya membunuh mangsa dengan pisau dapur yang panjang sebelum memotongnya menggunakan mesin gergaji berantai atau gergaji biasa.

Daripada siasatan polis, Marshall mengaku melakukan sekurang-kurang empat pembunuhan, termasuk kes Howe, dengan modus operandi sama dilakukan terhadap mangsa.

Mangsa pertamanya adalah gangster, Gilbert Wynter yang dibunuh akibat persengketaan berkaitan pengedaran dadah. Mangsa seterusnya seorang lelaki yang dinamakan John Manchester yang dibunuh selepas mangsa menipu wang milik keluarga suspek sebanyak £100,000 (RM493,855).

Kedua-dua mangsa diperlakukan seperti Howe dan sisa tubuh mereka ditanam sekitar utara England.

Selain itu, suspek juga dikaitkan dengan pembunuhan pemuda, Minesh Nagrecha. Pemuda itu ditikam 12 kali tetapi ketika tangkapan, suspek berjaya menyembunyikan jenayahnya dan terlepas tindakan undang-undang.

Pembongkaran jenayah ini mendapat liputan meluas di England. Media menggelar Marshall sebagai Pembunuh Jigsaw atau ‘Jigsaw Killer’.

Pada Januari lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap kesalahan dilakukan Marshall dengan minimum 36 tahun penjara.

Kekasihnya, Bush yang juga pelacur turut dikenakan hukuman penjara tiga tahun sembilan bulan kerana didapati bersubahat dan memberi keterangan palsu.


INFO

MANGSA: Jeffrey Howe

UMUR: 48 tahun (ketika kejadian)

SUSPEK: Stephen Marshall, 38, dan Sarah Bush, 21

FAKTA JENAYAH: Bagi mendapat kepentingan peribadi, Marshall membunuh sahabatnya, Howe semata-mata untuk dapat mengambil alih rumah dan menggunakan wang simpanan mangsa. Suspek menikam mangsa dari belakang, kemudian memotong kepala, kaki dan tangan sebelum membuangnya di dua daerah berhampiran kediaman mereka iaitu Hertfordshire dan Leicestershire, England. Penjenayah terbabit turut mencungkil mata dan memotong telinga mangsa

FAKTA KES: Siasatan polis mendapati Marshall melakukan sekurang-kurang empat pembunuhan, termasuk kes Howe, dengan modus operandi sama. Januari lalu, Mahkamah Diraja St Albans menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap kesalahan dilakukan Marshall dengan minimum 36 tahun penjara. Kekasihnya, Bush turut dikenakan hukuman penjara tiga tahun sembilan bulan kerana didapati bersubahat dan memberi keterangan palsu

No comments:

Post a Comment