Pages

Saturday, October 9, 2010

Banduan dari China dianugerah Hadiah Nobel Keamanan

GAMBAR yang disiarkan agensi berita Reuters semalam menunjukkan
Liu Xiaobo (kanan) bersama isterinya, Liu Xia.

OSLO, Norway - Seorang banduan China, Liu Xiaobo, 54, semalam dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan atas usahanya memperjuangkan hak-hak asasi manusia, kata Jawatankuasa Nobel di Norway.
"Beliau dihargai atas usaha kerasnya yang tidak melibatkan keganasan untuk memartabatkan hak-hak asasi manusia di China.
"Jawatankuasa Nobel di Norway sudah lama percaya bahawa wujud hubungan yang rapat antara hak asasi dan keamanan," kata Presiden Jawatankuasa Nobel, Thorbjoern Jagland.
Xiaobo yang berusia 54 tahun telah dipenjarakan pada 2008 kerana membantu menganjurkan protes dan menulis satu dokumen dikenali sebagai Charter 08.
Dokumen tersebut menyeru pembaharuan politik di China.
Antara desakan Xiaobo ialah kebebasan untuk berhimpun, meluahkan ekspresi dan beragama.
Isteri banduan itu, Liu Xia berasa sangat teruja ekoran penganugerahan yang diberikan ke atas suaminya.
Xia menuntut suaminya dibebaskan dan mengucapkan terima kasih kepada semua para penyokongnya ekoran penghargaan tersebut.
"Saya mahu berterima kasih kepada jawatankuasa Nobel, Vaclav Havel, Dalai Lama (pemimpin Tibet dalam buangan) dan semua yang menyokong Xiaobo," katanya.
Xiaobo yang merupakan bekas pensyarah kesusasteraan Universiti Beijing Normal pernah ditahan selama hampir dua tahun kerana mempertahankan para pelajar yang menyertai protes prodemokrasi di Tiananmen pada tahun 1989.
Pada Disember lalu, dia dihukum penjara 11 tahun lagi atas tuduhan subversi.
Hukuman itu mendapat kutukan masyarakat antarabangsa.
Sementara itu, pemerintah China menyifatkan jawatankuasa Hadiah Nobel Norway telah merosakkan tujuan asal pemberian anugerah tersebut selain memberi amaran hubungan China dengan Norway mungkin akan terjejas ekoran penganugerahan tersebut.
"Hadiah Nobel Keamanan sepatutnya diberikan kepada mereka yang mempromosikan keharmonian etnik, hubungan antarabangsa, pelucutan senjata atau menganjurkan mesyuarat mengenai keamanan," kata jurucakap Kementerian Luar China, Ma Zhaoxu. - Agensi, KOSMO

No comments:

Post a Comment