Pages

Friday, October 29, 2010

Balqis ke rumah kenalan, bukan ghaib dilarikan jin



Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin, Azman Mahmood, Haryanti Ahmad Rodzidan Mohammad Ishak 
bhkt@bharian.com.my 
2010/10/29

Norwaniza Ramli
Norwaniza Ramli
Misteri konon disorokkan di Gunung Jerai terbongkar 

KUALA TERENGGANU: Misteri kehilangan Siti Balqis Mohd Nor yang didakwa keluarganya disorok ‘Jin Islam' di Gunung Jerai, Kedah, sejak Ahad lalu, terungkai selepas gadis itu ditemui polis di rumah keluarga seorang kenalannya di Kampung Batu 18, Ulu Klawang, Kuala Klawang, Negeri Sembilan, pagi semalam.
Siti Balqis sebenarnya keluar seorang diri dari rumahnya di Kampung Gong Nangka, Jertih dan menaiki bas ekspres ke Shah Alam pada jam 9 malam, sebelum ke Seremban dan meneruskan perjalanan menaiki teksi ke Kuala Klawang.
Ketika di situ, Siti Balqis, 22, tinggal di rumah seorang sahabat pena perempuan yang dikenalinya menerusi laman berkenalan sebuah majalah remaja pada 2005, tetapi tidak pernah bertemu sebelum ini. 

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, berkata Siti Balqis juga sudah membeli tiket untuk pulang ke kampungnya esok. 

“Dengan penemuan ini, polis menganggap kes ini selesai dan polis tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak,” katanya pada sidang media sebelum menyerahkan Siti Balqis kepada ibunya, Norizan Said, 47, di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, di Kampung Raja di sini, semalam. Hadir sama sahabat penanya, Norwaniza Ramli, 19. 

Kamaruddin berkata, polis mendapat maklumat mengenai gadis itu apabila bapa sahabat pena Siti Balqis menghubungi polis daerah Jelebu selepas terbaca berita kehilangan misteri gadis itu dalam akhbar ini. 
Polis juga mendapat petunjuk gadis itu berada di Negeri Sembilan selepas semakan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada ibunya pada jam 5 pagi Isnin lalu mendapati pencawang terakhir ialah di Kuala Klawang. 

Pada Isnin lalu, Norizan memberitahu menerima SMS daripada anaknya pada jam 5 pagi yang mendakwa berada di Gunung Jerai selepas dibawa jin berbulu lebat. 

Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata laporan Norizan di Balai Polis Jertih pada jam 1.30 pagi Isnin lalu, antara lain menyebut melihat anaknya menaiki kereta Perodua Kembara milik keluarga pada jam 8 malam. 

"Berikutan laporan itu, kita menjalankan siasatan kes orang hilang dan meliputi semua aspek termasuk sama ada gadis berkenaan melarikan diri atau dilarikan," katanya sambil menambah kereta itu ditemui di Stesen Bas Jertih pada jam 1 tengah hari Isnin. 

Norizan ketika ditemui terkejut dengan penemuan itu kerana sebelum ini anaknya menghantar SMS dan memberitahu berada di Gunung Jerai dan dibawa jin berbulu serta yakin anaknya berada di gunung berkenaan berdasarkan gerak hatinya. 

Norwaniza pula berkata, dia selalu berutus surat dan menghubungi Siti Balqis tetapi hanya bertemu selepas kenalannya itu datang sendiri ke rumahnya Isnin lalu. 

"Saya tidak menduga pertemuan ini rupanya dengan seorang gadis yang sering dilaporkan ghaib kerana sebelum ini Siti Balqis tidak pernah menceritakan kisahnya,” katanya. 

Di KUALA KLAWANG, ibu Nurwaniza berkata gadis itu mengajaknya dan anaknya ke Seremban, Selasa lalu dan menggunakan wang sendiri membeli pelbagai makanan dan pakaian bernilai RM279, termasuk tiket bas untuk pulang ke Terengganu. 

Ramlah Meon, 60, berkata beliau pelik melihat Siti Balqis kerap SMS dan apabila ditanya dimaklumkan ia di hantar kepada kawannya. 

“Siti Balqis beritahu dia tinggal bersama ibu saudaranya selepas ibunya meninggal dunia dalam kemalangan November tahun lalu. Dia turut beritahu rumahnya besar dan ada tujuh bilik lengkap dengan pembantu rumah dan kolam renang," katanya. 

Ramlah berkata, pembohongan Siti Balqis terbongkar apabila anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu datang ke rumahnya, kelmarin, berikutan SMS diterima ibu Siti Balqis menggunakan nombor telefon yang didaftarkan atas nama Nurwaniza. 

Beliau berkata, ketika menyelongkar beg pakaian Siti Balqis, mereka menemui lebih 20 kad sim yang masih aktif, sejumlah wang, beberapa kad ATM dan sebuah kotak kecil berisi 10 batu delima dalam kain kuning.

No comments:

Post a Comment