Pages

Friday, October 8, 2010

Balangay selami masa silam





Kapal layar balangay dari Filipina ini mengelilingi rantau Asia Tenggara dalam ekspedisi antarabangsa pertama yang disertai 36 pelayar.


KUALA TERENGGANU 7 Okt. - Diwata ng Lahi, Masawa Hong Butuan dan Sama-Tawi-Tawi singgah di sini baru-baru ini dalam pelayaran dari Filipina ke negara di rantau Asia Tenggara yang keseluruhannya sejauh 14,000 kilometer.
Ketiga-tiganya merupakan kapal layar yang dibina mengunakan bahan, teknik reka bentuk kapal dikenali sebagai 'balangay' di negara itu yang lenyap dan ditemui di Butuan Mindanao, dipercayai berusia lebih 1,600 tahun.
Ekspedisi pelayaran antarabangsa pertama yang disertai 36 pelayar itu merupakan misi bersejarah bagi penganjurnya, Yayasan Kaya ng Pinoy (Filipina Boleh) dan rakyat negara itu umumnya.
Ia membawa bersama mesej persahabatan dan perpaduan di samping berkongsi kebanggaan serantau dengan kapal yang pernah membawa peranan penghubung pada masa silam.
Sebahagian daripada anak kapal itu adalah pembina kapal replika balangay di samping anggota tentera laut, pengawal pantai Filipina dan sukarelawan.
Malah mereka menggunakan kaedah pelayaran lama bagi menyelami dan membuktikan keupayaan masyarakat silam mengharungi cabaran meredah lautan luas menjengah dunia.
Tempat persinggahan mereka di sini sebelum meneruskan pelayaran ke Thailand adalah berhampiran Pulau Duyong di mana sejak berabad lamanya tukang-tukang di sini membina perahu dan kapal layar tradisonal yang begitu menarik perhatian masyarakat pelayaran dunia.
Justeru, mereka menemui banyak persamaan termasuk teknik pembinaan yang tidak menggunakan sebarang paku, ketahanannya di samping turut mengagumi keunikan reka bentuk kapal layar Bedar dan Pinis di mana pada masa silamnya meredah batasan perairan negara.
Kemunculan balangay tentunya mengingatkan kapal layar tradisional tempatan yang dikatakan sukar ditandingi itu, kini menjadi bahan pelengkap pameran di Muzium Negeri Terengganu.
Juga ketika generasi terakhir yang mewarisi kemahiran itu semakin lenyap dan memadam tradisi kegemilangan perkapalan Melayu.
Ketua ekspedisi itu, Arturo T. Valdez ketika ditemui berkata, keunikan pembuatan tradisional kapal di negeri ini sememangnya diketahui.
Justeru, katanya, ia menarik mereka untuk memasukkan Terengganu sebagai salah satu destinasi persinggahan.
Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Pengangkutan dan Komunikasi Filipina itu memberitahu, mereka bermula di Manila pada 1 September tahun lalu dengan mengelilingi negara kepulauan itu.
Selepas 11 bulan, mereka kemudiannya memulakan pelayaran antarabangsa dengan persinggahan pertama di Sandakan, Sabah pada 15 Ogos lalu.
Ia disusuli dengan menyusuri, Sarawak dan Brunei, mereka tiba di Pulau Duyong, di sini pada 1 Oktober lalu sebelum ke Thailand dan Vietnam.
"Ekspedisi tersebut timbul daripada penemuan kapal berkenaan di Butuan
"Bot ini dipercayai digunakan pelayar Filipina dan pedagang Indo-Melayu pada waktu itu untuk berdagang dengan China dan negara sekitarnya.
"Bagaimanapun, penggunaan kapal ini pupus selepas Filipina dijajah oleh Sepanyol," katanya.
Beliau berkata, kolonialisme menyebabkan kemahiran membuat kapal tersebut hampir pupus dan kini ia hanya dimiliki dua kumpulan tukang daripada puak Ivatan di utara negara itu, Batanes dan puak Sama yang tinggal di Tawi-Tawi, Butuan, kawasan paling selatan di negara itu.
"Kedua-dua kumpulan penduduk itu berjaya mengekalkan kemahiran mereka kerana tinggal jauh dari kawasan dijajah dan penjajah," katanya.
Katanya, Yayasan Kaya ng Pinoy mengambil inisiatif untuk menceritakan mengenai kapal berkenaan kepada masyarakat Filipina yang melupakan atau tidak tahu langsung mengenai kewujudan kapal balangay.
Beliau menambah, apabila merangka perjalanan antarabangsa, mereka dimaklumkan mengenai Terengganu yang mempunyai kemahiran membuat kapal yang hampir sama.
"Mungkin juga kita mewarisi kaedah sama dalam pembuatan kapal ini di samping menunjukkan wujudnya hubungan rakyat melalui laut dengan kegiatan perdagangan atau penghijrahan.
"Kami ingin melihat bagaimana penduduk Terengganu melaksanakan kaedah berkenaan dalam membina kapal," katanya.
Beliau berkata, pelayaran tersebut turut disertai anggota puak Sama yang diketuai Prof. Jubail Mubong dari Universiti Mindanao.
"Jubail merupakan orang memantau pembinaan balangay yang kami gunakan dalam ekspedisi mencabar ini," katanya.
Arturo berkata, pihaknya dimaklumkan usaha sedang dijalankan kerajaan negeri untuk menghidup dan memperluaskan kemahiran berkenaan.
"Ia tentunya satu perkembangan baik. Di Filipina, kemahiran membuat kapal secara tradisional juga semakin hilang.
"Pembuatan semula kapal ini tidak mendapat sebarang bantuan daripada kerajaan dan mereka terpaksa berjalan sendiri untuk mengekalkan kemahiran tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment